Halaman

22 June 2009

Golongan Korporat Diminta Bantu OKU

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Ustaz Khazan melancarkan Tabung Bantuan PDK Batu Rakit di Gem Beach Resort, Batu Rakit. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan negeri berharap lebih banyak badan korporat tampil membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menghulur sumbangan sama ada wang atau barang keperluan lain, bagi kegunaan mereka.

“Masyarakat normal perlu bersikap prihatin dan menunjukkan sikap memahami mereka yang istimewa ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat pada majlis Program Bersama Anak-Anak Kurang Upaya di Gem Beach Resort, Batu Rakit, Setiu semalam (20 Jun).


YB Ustaz Khazan menyertai gotong-royong pada majlis pelancaran Program Bersama Orang Kurang Upaya di Gem Beach Resort, Batu Rakit.

Turut hadir, Pengurus Besar, Gem Beach Resort Batu Rakit, Mohamed Fuad Abdul Latif dan Pengerusi Pusat Dalam Komuniti (PDK) Batu Rakit, Haji Abdul Razak Mat Amin.

Haji Kazan berkata, langkah Gem Beach Resort menganjurkan program sehari bersama penghuni PDK ini perlu dicontohi badan korporat lain agar sama-sama mengambil bahagian menjaga kebajikan anak-anak kurang upaya.


Golongan kurang upaya turut menyertai gotong-royong membersih pantai berhampiran Gem Beach Resort.

Menurutnya, kerajaan negeri menyumbangkan RM10,000 sebagai geran tahunan kepada PDK untuk belanja pengurusan dan pentadbiran manakala gaji kakitangan petugas dan sewa bangunan dibiayai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

PDK Batu Rakit merupakan sebuah pusat jagaan anak kurang upaya tertua di negara ini dan kini menempatkan 48 penghuni berusia lapan hingga 27 tahun.

Pada majis itu, Gem Beach Resort melancarkan tabung untuk mengumpul dana bagi membiayai pengurusan anak-anak kurang upaya dan serentak itu diselitkan dengan acara sukaneka dan gotong-royong membersih kawasan pantai.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)