Halaman

24 June 2009

Kajian Daya Saing Terengganu Tangga Ke-29

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


YB Ahmad Razif menyampaikan anugerah emas kepada peserta ketika menutup Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penyertaan pertama kali Terengganu dalam kajian daya saing menghasilkan keputusan membanggakan apabila berada di kedudukan 29 daripada 57 negara seluruh dunia yang menyertai kajian di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ketua Pengarah MPC, Dato’ Nik Zainiah Nik Abd Rahman, berkata kedudukan itu amat membanggakan berikutan Terengganu pertama kali menyertai kajian yang dijalankan dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sejak tahun lalu.

Beliau berkata, hasil laporan kajian daya saing merangkumi empat faktor utama iaitu prestasi ekonomi, prestasi kecekapan kerajaan, infrastrktur dan keberkesanan sektor swasta, sudah dibentangkan kepada Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada 12 Mei lalu.

“Pertama kali kajian dibuat di Terengganu, kalau ambil angka daripada 57 negara seluruh dunia, Terengganu nombor ke-29, manakala Malaysia ke-18.

“Kita (MPC) laksanakannya dengan Institute Of Management Development bertempat di Lausanne, Switzerland. Ini pertama kali dan kedudukan begitu amat membanggakan,” kata beliau selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif (ICC), di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (23 Jun).


Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman. Beliau merasmikan majlis itu mewakili Menteri Besar.

Dato’ Nik Zainiah berkata, Terengganu memiliki banyak kelebihan dalam daya saing termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi kerana hasil bumi seperti minyak dan gas, selain produktiviti pekerja yang tinggi serta kestabilan harga.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan UPEN dan ketua jabatan kerajaan untuk melaksanakan inisiatif tertentu yang mengambil kira beberapa perkara untuk meningkatkan lagi kedudukan daya saing pada masa depan.

Menurut beliau, hasil laporan daya saing akan diaplikasikan secepat mungkin dengan menubuhkan lima kumpulan sasaran yang akan memberi penekanan terhadap sistem serta bahagian yang perlu dipertingkatkan dalam pentadbiran kerajaan.


Peserta yang mengambil bahagian Konvensyen ICC di Primula Beach Resort Kuala Terengganu.

Terengganu merupakan negeri keenam menjalankan kajian itu selepas Selangor, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

Sementara itu, kedudukan daya saing Malaysia meningkat daripada tangga ke-19 ke tangga ke-18 berbanding tahun lalu dengan mengatasi beberapa negara maju yang lain seperti Itali, Korea, Jepun dan Britain.

Menurut Dato’ Nik Zainiah, buat pertama kali Malaysia mencapai nilai indeks 77 peratus menunjukkan bahawa perkara asas yang terlibat dan urusan peningkatan daya saing negara berada dalam keadaan yang sangat baik dan harus kekalkan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)