Halaman

08 July 2009

Kuaters Imigresen Negeri Dibangunkan di Marang

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Marang, Terengganu - 7 Julai 2009

Kuaters Imigresen Negeri Terengganu yang mampu menempatkan kira-kira 300 kakitangan jabatan itu bakal dibina di persimpangan Kampung Jenang, Marang menerusi projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh, tidak lama lagi.


Seorang murid Tahun Lima mendaftar selepas menerima e-Book daripada YB Yahya di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata kemudahan kepada kakitangan Imigresen Depot Ajil dan Penjara Marang, akan dimajukan di atas tanah seluas 6.8 hektar, di mana lokasinya berada di tengah-tengah antara dua jabatan persekutuan berkenaan.

“Secara tidak langsung pertambahan pembangunan berkenaan, selain kem FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) di Wakaf Tapai (Marang) yang akan siap pada tahun depan dan kemasukan anggota kerjanya pada akhir tahun depan.

“Saya difahamkan antara 500 hingga 1,000 anggota FRU. Sedikit sebanyak dapat menambahkan pengundi baru di Pengkalan Berangan dan Marang, antara 1,000 hingga 1,500 pengundi,” kata beliau selepas menyampaikan 405 unit e-Book kepada murid Tahun Lima di empat sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Berangan, Marang, hari ini (7 Julai).


YB Yahya menyampaikan e-Book kepada seorang murid Tahun Lima pada majlis penyampaian e-Book DUN Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang.

Daripada jumlah itu, seramai 115 murid dari SK Merchang, SK Bukit Sawa (141 murid), SK Wakaf Tapai (87 murid) dan SK Pengkalan Berangan melibatkan 62 murid yang menerima e-Book masing-masing dengan diiringi ibu atau bapa masing-masing.

Menurut YB Yahya, Dun Pengkalan Berangan merupakan Dun pertama yang menerima e-Book daripada keseluruhan hampir 2,000 penerima buku elektonik berkenaan di daerah itu.

Sementara itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka dan mengawal tindak-tinduk anak mereka yang proaktif dan bertindak negatif dengan menyalahguna penggunaan buku elektronik terutama memasukkan bahan lucah atau sebagainya.

“Dari segi pengisian, khusus untuk aspek sukatan pembelajaran, namun tidak dinafikan kecanggihan teknologi maklumat menyebabkan pelajar menggunakan e-Book ke arah negatif.

“Kita harap kerjasama ibu bapa supaya dapat mengawal dan membendung daripada proaktif anak kita dari segi penggunaan internet dan juga perkhidmatan selular komunikasi,” katanya.

YB Yahya berkata, kerajaan tidak mampu mengawal penggunaan e-Book walaupun sudah dimasukkan perisian sukatan pembelajaran dan mengharapkan kerjasama ibu bapa selain kawalan pihak sekolah.

Beliau berkata, kecanggihan bahan komunikasi seperti `broadband’ yang membolehkan pelajar menerokai pelbagai perkara tanpa had perlu dibendung oleh ibu bapa dan memastikan tidak berlaku penyalahgunaan buku elektonik berkenaan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)