Halaman

25 August 2009

Redagri Cadang Buka Cawangan Perusahaan Kambing Di Kertih

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos (Bernama) -- Redagri Industries, yang terlibat dalam perusahaan berasaskan kambing, akan melabur kira-kira RM250,000 untuk membuka cawangannya di Bandar Baru Kertih, Kemaman dalam usaha mengembangkan sayapnya ke seluruh Terengganu.

Pengarah Urusannya, Zakaria Abdul Rahman berkata idea bagi membuka cawangannya itu menjelang akhir tahun ini, timbul setelah melihat sambutan menggalakkan orang ramai terhadap produk kambing yang diedarkan Redagri di Bazar Mara, Rhu Renggeh, Marang.

"Sambutan itu menyuntik semangat kita untuk memperluaskan lagi penjualan produk kambing di bandar pula seperti di Kertih, yang menjadi pusat pertumbuhan ekonomi di daerah Kemaman khususnya dan Terengganu amnya," katanya semasa dihubungi Bernama di sini Isnin.

Zakaria, 30, yang merupakan lulusan dalam Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Petronas (UTP), berkata Redagri mula membuka kedainya di Bazar Mara di Rhu Renggeh, pada 17 Ogos lepas.

Katanya kedai tersebut menjual pelbagai produk berasaskan kambing seperti satay, karipap sejuk-beku, susu segar, dadih dan daging basah.

Beliau berkata pihaknya telah melabur kira-kira RM250,000 untuk membuka kedai di Rhu Renggeh dan beberapa agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu dari segi modal dan lain-lain.

Pada masa ini, katanya kedai tersebut beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada bulan biasa dan pukul 5 petang hingga 12 tengah malam pada bulan Ramadan.

Zakaria berkata pihaknya bersedia menerima tempahan terhadap satay kambing muda, yang kini mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya tempahan dibuka mulai sekarang dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 019-9871860 atau 09-6871233.

-- BERNAMA