Halaman

30 August 2009

Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-12 (Hari Pertama)

Oleh: AIDA ABD RAHMAN / SURIATI ALI/Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Tiada Kematian Daripada 895 Kes Influenza A (H1N1)


Sehingga kini, tiada kes kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan di Terengganu walaupun Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan terdapat 895 kes jangkitan wabak itu dikesan di seluruh negeri ini sehingga semalam (24 Ogos).

Daripada keseluruhan kes, hanya enam kes penularan import, manakala selebihnya merupakan kes penularan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Abdul Rahman Mokhtar menjelaskan demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan YB Dr Alias Razak Pas-Bukit Tunggal) di Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada hari pertama, hari ini (25 Ogos).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, daripada keseluruhan penularan kes yang dikesan di Terengganu, Dungun mencatat kes tertinggi iaitu 180 kes, diikuti Kuala Terengganu (146 kes); Marang (145 kes) ; Hulu Terengganu (136 kes); Kemaman (99 kes) dan Besut mencatat 56 kes.

“Setiap individu perlu menjarakkan sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan, mengamalkan etika batuk yang baik atau menggunakan sapu tangan ketika batuk, menjaga kebersihan tangan dan mencuci dengan cara yang betul serta lebih kerap,” kata beliau.


Adun Batu Rakit, Yb Ustaz Khazan, Adun Chukai, Dato' Mohamed berbual mesra dengan Adun Manir (Pas), Dato' Harun Taib selepas selesai persidangan DUN hari pertama di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Selain itu, solat hajat perlu dilaksanakan di semua masjid di negeri ini bagi menolak bala dan menghebahkan dalam khutbah Jumaat mengenai bahaya dan cara mengatasi penularannya, agar semua rakyat terhindar daripada ancaman penyakit itu.

Bagi kes yang berkomplikasi dan berisiko tinggi pula, YB Dr Abdul Rahman menjelaskan, pesakit perlu dirawat segera di hospital bagi memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimumkan.

Pada masa yang sama, pihak majikan dan juga institusi perlu memantau kehadiran pekerja mereka termasuklah mereka yang tidak hadir bertugas kerana sakit.

Sementara bagi mereka yang bersimpton ringan dan tiada masalah kesihatan, mereka digalakkan hanya berehat di rumah dan ke klinik atau hospital jika didapati simpton itu menjadi lebih berat.

“Kehadiran kes ringan di klinik boleh membebankan keupayaan klinik bagi merawat kes-kes yang berisiko tinggi.

“Kejadian kes bersimpton influenza perlulah dilaporkan segera ke pejabat kesihatan daerah terdekat,” katanya.

Katanya, mereka yang bersimpton serta berisko tinggi seperti pesakit asma, obesiti, wanita mengandung, diabetes, penyakit kronik dan paru-paru perlu memakai penutup mulut dan hidung bagi mengelak penularan serta risiko kematian akibat jangkitan.

Sementara itu, YB Dr Abdul Rahman menjelaskan sehingga kini, tiada vaksin khusus Influenza A (H1N1) dijual di pasaran kecuali vaksin untuk demam dan selsema biasa, di mana vaksin itu diragui mampu memberi perlindungan sepenuhnya daripada penyakit berkenaan.

Bagaimanapun, Jabatan kesihatan Negeri akan memastikan pelalian vaksin khusus itu nanti akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit itu apabila ia mula berada di pasaran kelak.

Hamie Enterprise Patuhi Spesifikasi Bekalan Pakaian Sekolah

Kerajaan negeri melantik pembekal tempatan, Syarikat Hamie Enterprise dengan dikecualikan daripada proses tender terbuka bagi membekal peralatan dan pakaian sekolah selepas mendapati syarikat itu mampu mencapai spesifikasi dan kualiti yang dikehendaki.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman, berkata syarikat itu memperolehi pengecualian tender daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi membekal peralatan dan pakaian sekolah kepada 53,300 pelajar sekolah rendah dengan peruntukan RM7,995,000.

“Kerajaan negeri hanya mengagihkan peralatan dan pakaian sekolah secara percuma kepada keluarga pelajar yang berpendapatan RM1,200 dan ke bawah, serta layak diterima tidak lebih dua orang pelajar dalam satu keluarga,” kata beliau ketika menjawab soalan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang), di Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Seberang Takir berkata, Hamie Enterprise juga diterima sebagai pembekal kerana syarikat itu menyediakan peralatan dan pakaian sekolah dengan jenama Ganu Kite dan berkualiti.

Malah, berdasarkan perundingan harga dengan syarikat pembekal lain, Mysutera Sdn Bhd yang membekalkan pakaian sekolah jenama Canggih, kerajaan mendapati Hamie Enterprise menawarkan harga lebih rendah iaitu RM150 bagi set pakej, berbanding MySutera Sdn Bhd dengan harga RM161 (set pakej pelajar lelaki) dan RM173.90 (set pakej pelajar perempuan).

“Hamie Enterprise juga menyediakan tambahan dua helai anak tudung bagi pelajar perempuan berbanding tiada tambahan peralatan yang disediakan pembekal lain.

“Kerajaan negeri yakin dengan kualiti pakaian yang dibekalkan adalah mengikut spesifikasi, di mana selepas agihan awal di Parlimen Kuala Terengganu, tiada rungutan mengenai kecacatan kualiti kain dibangkitkan ibu bapa pelajar,” katanya.

Bagaimanapun, YB Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan memastikan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang ditawarkan tender pembekalan peralatan dan pakaian sekolah itu sebelum ini dan menolaknya kerana belum bersedia, dapat memenuhi permintaan kerajaan untuk pembekalan yang sama pada tahun depan.

UKOM