Halaman

29 September 2009

Jangan Beri Kesempatan Kepada Pembangkang

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Tindak-tanduk seseorang pemimpin parti haruslah tidak sehingga memberi manfaat dan diambil kesempatan oleh pihak pembangkang dan jika perkara itu berlaku sebenarnya individu terbabit tidak ikhlas dalam perjuangannya.


Dato' Seri Hishammuddin dan Dato' Ahmad tersenyum melihat penerima anugerah Tokoh Jasa Mu Di Kenang pada Majlis Aidilfitri Peringkat Negeri Terengganu di bandar Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Umno Perhubungan Terengganu dan perjumpaan tertutup dengan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ketua-ketua Umno Bahagian di Hotel Seri Malaysia, Marang, hari ini (28 September 2009).


Dato' Seri Hishamuddin bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Aidilfitri Peringkat negeri Terengganu di bandar Marang.

“Dalam apa juga keadaan pemimpin parti perlu berhati-hati dalam tindak tanduk mereka dan jangan sampai memberi ‘bonus’ pula kepada parti lawan,” katanya.

Dato’ Seri Hishammuddin berkata, keikhlasan dan kejujuran adalah asas perjuangan serta harus meletakkan pertimbangan parti melebihi kepentingan peribadi.
“Sekiranya pertimbangan itu berkisar kepada kepentingan peribadi saya tidak akan membantu, jika sebaliknya saya akan membantu dan ada tempat dalam kepimpinan parti dan negara,” tegasnya.

Dalam perjuangan parti, semua pihak perlu berkorban dan pengorbanan itu perlu seimbang untuk kepentingan parti.

Ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai kemelut yang berlaku di negeri ini, Dato’ Seri Hishammuddin tidak melihat isu yang digembar-gemburkan ramai pihak itu sebagai `kemelut’ yang boleh menjejaskan parti.

“Sebenarnya perkara yang timbul adalah perkara biasa yang berlaku dalam parti dan kita perlu duduk dan menangani bersama-sama setiap perkara yang berbangkit,” katanya.
Beliau juga memaklumkan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Terengganu membincangkan persiapan gerak kerja dan hala tuju Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Dalam pada itu, pelantikan biro-biro yang diwujudkan juga bersandarkan kelangsungan politik Umno di negeri ini dan merasa gembira kerana perjuangan asas dalam Umno tidak pernah berubah. Malah, semua pihak terus bersemangat untuk bergerak dalam satu pasukan bagi memastikan parti sentiasa relevan kepada orang ramai.

“Masa telah sampai untuk merapatkan barisan dan hari ini kita menjemput semua ahli dewan rakyat untuk duduk bersama pucuk pimpinan negeri untuk membuktikan Umno tidah berpecah untuk menyelesaikan setiap perkara yang perlu ditangani,” katanya.

Beliau berkata, setiap pihak perlu melihat kepada kedudukan bangsa, agama dan negeri yang memerlukan pembelaan daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) dan rakyat telah meletakkan harapan yang tinggi termasuk melibatkan tugas beliau sebagai pengerusi yang bertindak bagi memudahkan tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam parti.

“Kita juga sedang membuat persiapan untuk mengadakan konvensyen Perpaduan Melayu pada November depan dan berharap kita dapat membuktikan Umno Terengganu tetap kukuh dan mampu memimpin parti di negeri ini sampai bila-bila,” katanya.

Sehubungan itu dalam pelantikan pengerusi biro-biro, Dato’ Seri Hishammuddin mempengerusikan Biro Politik, Dato’ Ahmad Said (Biro Pengurusan); Dato’ Rosli Mat Hassan (Perancangan Strategi); Dato’ Wan Ahmad Farid (PindaanPperlembagaan); YB Ustaz Khazan (Agama dan Pendidikan); YB Yahya Khatib (Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih); Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Perancangan dan Penerangan).

Manakala Dato Seri Idris Jusoh dilantik pengerusi Biro Pengundi Luar; Dato’ Mohd Jidin (Ekonomi); YB Muhamad Pehemi (Sekteriat Bilik Gerakan); Senator Fatimah Hamat (Perayu Undi dan Gerak Mesra) dan Saiful Bahari dan Asfalinda dilantik jawatankuasa pengundi muda dan belia.

UKOM