Halaman

01 September 2009

Sambutan Merdeka Sederhana Namun Meriah

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Sambutan Hari Kebangsaan ke-52 peringkat negeri pada tahun ini disambut secara sederhana, namun tetap meriah walaupun tanpa perarakan mahupun percikan bunga api sebagai menghormati keberkatan Ramadan.

Majlis sambutan yang diadakan di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, malam semalam (30 Ogos), dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti tahlil serta solat hajat.


Dato' Ahmad, YB Ahmad Razif dan ketua jabatan membaca Yasin pada majlis bacaan Yasin dan Tahlil sempena Kemerdekaan ke 52 di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Sejurus selesai acara berkenaan, lebih 1,000 rakyat yang hadir kemudiannya menikmati majlis Jamuan Berbuka Rakyat dan selesai kira-kira sejam kemudian.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Exco-Exco dan pemimpin masyarakat.


Sebahagian ketua jabatan dan orang ramai yang hadir pada majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan Kemerdekaan ke 52 di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai.

Sementara itu, Program Sahur Rakyat Merdeka peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu turut dilaksanakan dengan pengisian dan pelbagai acara bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan.

Di Dataran Taman Tema Waterfront Balik Bukit, Kuala Terengganu lebih 1,000 rakyat khususnya dari sekitar Kuala Terengganu berkampung di situ sejak jam 11.30 malam hingga jam 1 pagi bagi menyertai pelbagai acara yang disediakan.

Majlis anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) dan UMNO Bahagian Kuala Terengganu diserikan dengan sambutan memotong kek hari lahir kemerdekaan negara.

Dua tetamu bertuah, Rozy Mohd Rosidi, 38 dan Wan Muliadi Wan Efendi, 31, menjadi tetamu istimewa apabila dijemput ke pentas utama untuk meraikan sambutan hari lahir mereka yang berkongsi dengan tarikh sambutan kemerdekaan negara.

Hadir sama memeriahkan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Timbalan Ketua UMNO bahagian, Encik Mohd Sabri Alwi dan Naib Ketua UMNO bahagian, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Sejurus kemudian, hadirin dihiburkan dengan persembahan deklamasi sajak kemerdekaan dan koir lagu patriotik sebelum mereka menikmati juadah bersahur di khemah yang disediakan.

Pada masa yang sama, di Besut dan Setiu, sambutan diadakan di Dewan Terbuka Penyelaras UMNO DUN Kota Putera Kampung Raja (Kota Putera); Pejabat DUN Hulu Besut (Hulu Besut); Dataran Kuala Besut (Kuala Besut) dan Depan Pejabat APMT, Pekan Renek (Jabi).

Manakala bagi DUN Permasuri, sambutan dijalankan di Perkarangan Stesen Bas Permaisuri Dataran Pengkalan Masjid Telong (Langkap) dan Dataran Bestari Batu Rakit.

Sementara di Parlimen Kuala Nerus, acara diadakan di Dewan Sivik Buluh Gading dan Dataran Bukit Tunggal.

Sambutan di Marang pula diadakan di perkarangan Masjid Kampung Surau Haji Daud (Bukit Payong); perkarangan Masjid Sultanah Nur Zahirah (Rhu Rendang); Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Tapai (Pengkalan Berangan) dan Pejabat penyelaras Pulau Bahagia (Manir).

Di Hulu Terengganu, majlis berlangsung di Pejabat Penyelaras Pulau Bahagia (Manir); Tapak pasar Malam Kg Kuala Telemong (Telemong); perkarangan Masjid Kampung Pengkalan Ajal (Ajil) dan Dataran Kampung Getang (Kuala Berang).

Manakala di Dungun, sambutan di depan Masjid Serdang (Rantau Abang); Dewan Terbuka Sekolah Menengah Paka (Paka) dan bangunan kedai persimpangan Bukit Besi (Bukit Besi).

UKOM