Halaman

19 October 2009

Deivee cemerlang pengajian Islam


J. Deivee menunjukkan Anugerah Khas Presiden, yang diterimanya kepada ibu bapanya, K. Muniamah (kiri) dan S. Jayakumaran di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.Itulah semangat yang dipegang oleh salah seorang penerima Anugerah Khas Presiden sempena Konvokesyen Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Terengganu, J. Deivee dalam mengikuti kursus Diploma Psikologi.

Gadis berusia 21 tahun itu bukan sahaja cemerlang dalam mata pelajaran asas kursus tersebut malah mata pelajaran melibatkan agama Islam termasuk Penghantar Akidah, Pengajian Islam, Fiqh Ibadat dan Bahasa Arab.

Deivee yang merupakan penganut Hindu bersama 240 lagi pelajar menerima Diploma Psikologi masing-masing pada majlis konvokesyen itu yang diadakan di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menyampaikan sijil kepada graduan.

Deivee berkata, dia pada mulanya tidak mengetahui diwajibkan untuk mengambil mata pelajaran berkaitan agama Islam ketika mendaftar di kolej tersebut.

''Namun, kerana ingin mencuba sesuatu yang baru, saya mengambil keputusan untuk terus mengikuti kursus ini.

''Minat juga mendorong saya berusaha keras untuk berjaya,'' katanya ketika ditemui.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia berjaya mencapai kejayaan itu atas galakan dan dorongan yang diberikan oleh ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan.

''Untuk mata pelajaran berkaitan agama Islam, saya mempelajarinya seperti saya belajar mata pelajaran Sejarah iaitu dengan cara menghafal.

''Saya selalu belajar bersama rakan-rakan. Semasa peperiksaan dekat, mereka memberi saya buku dan menyuruh saya tulis dan hafal,'' katanya yang memperoleh 3.6 Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA).

Anugerah dan kejayaan itu menjadikan sambutan Deepavali kali ini paling bermakna buatnya dan keluarga.

''Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama rakan-rakan yang banyak membantu saya dalam mencapai kejayaan ini,'' katanya.

Dipetik daripada Utusan Malaysia Online