Halaman

20 October 2009

i-Iqra jadi kebanggaan semua pihak

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Kanak-kanak tadika seluruh negeri Terengganu di majlis Khatam dan Pintar al-Quran di Stadium Tetutup Gong Badak. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memperkenalkan satu lagi teknologi baru dikenali sebagai i-Iqra dalam usaha memudahkan pembacaan al-Quran di kalangan masyarakat Islam.

I-Iqra merupakan buku elektronik, dilengkapi 30 juzuk al-Quran yang menggunakan teknologi skrin sesentuh.

Teknologi baru itu berupaya mengeluarkan suara bagi memudahkan pembaca mengikut setiap rentak dan alunan yang dibaca.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bangga kerana teknologi yang diperkenalkan itu bakal melahirkan lebih ramai masyarakat celik al-Quran sekaligus usaha murni ini mendapat berkat daripada Allah S.W.T.

Katanya, teknologi i-Iqra telah berada di pasaran sejak tiga bulan lalu dan mendapat sambutan mengalakkan di kalanggan pengguna terutama yang kurang mahir berkaitan pembacaannya.

“Selepas kejayaan menyediakan kemudahan e-Book untuk pembelajaran di sekolah rendah, kini i-Iqra diperkenalkan kepada masyarakat agar mereka mahir membaca al-Quran terutama kepada generasi muda.



“Melalui kaedah yang diperkenalkan ini, masyarakat perlu mengambil peluang untuk mendalami al-Quran dan tidak perlu lagi memberi pelbagai alasan untuk tidak membacanya termasuk tiada guru dan kurang mahir,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Majlis Khatam dan Pintar al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, kelmarin (17 Oktober).

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mokhtar Nong, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, YB Ahmad Razif Abd Rahman, Pengarah YIT, Haji Mohd Zulkifli Abu Bakar dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu melibatkan 4,622 kanak-kanak tadika di seluruh negeri Terengganu.

Kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun itu adalah dari empat gabungan tadika iaitu YIT, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.


Menteri Besar, Dato' Ahmad membaca al-Quran Digital ketika merasmikan majlis berkenaan.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, program kali ke tiga dan mendapat pujian pelbagai pihak berjaya mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR) di mana mendapat penyertaan berganda daripada kanak-kanak berbanding tahun sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri berharap, dengan ilmu yang dimiliki kanak-kanak ini dapat menjadi contoh kepada masyarakat luar dan bangsa lain.

UKOM