Halaman

09 October 2009

Salak Terengganu Berdaya Saing

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Rozi melihat hasil salak Terengganu ST1 selepas melancarkan klon berkenaan di Mardi Jerangau, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Satu lagi sejarah direkodkan apabila tiga klon salak Terengganu - ST1, ST2 dan ST3 hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang baru dilancarkan dijangka berupaya mewujudkan industri buah-buahan yang berdaya saing di negeri ini.

“Rasanya yang unik iaitu lemak, manis dan sekata dengan isi lebih tebal mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani, sekaligus kepada pembangunan ekonomi negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Rozi Mamat di Majlis Pelancaran Klon Salak Terengganu 1, (ST1) ST2,ST3 dan Teknik Aruhan di Stesen Mardi Jerangau, Hulu Terengganu, hari ini (6 Oktober).



Turut hadir, Ketua Pengarah Mardi, Dato’ Dr Abd Shukur Abd Rahman; Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Aziz Mamat dan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, Tengku Abdul Malik Tengku Maamum.

Katanya, matlamat utama perancangan pembangunan sektor pertanian di negeri ini adalah untuk memastikan setiap petani memperolehi pendapatan melebihi RM500 sebulan. Oleh yang demikian, kerajaan optimis bahawa matlamat itu boleh dicapai berasaskan program dan aktiviti yang dirancang serta dilaksanakan.

Menurut YB Rozi, untuk menanam salak petani tidak perlu mencari kawasan baru, sebaliknya memadai dengan menanam dicelah-celah dusun kelapa atau getah di mana 200 pokok boleh ditanam di setiap hektar serta mampu menambah pendapatan.

“Sehingga ini kawasan tanaman salak hanya seluas 1,990 hektar dengan pengeluaran yang terhad iaitu 4,000 metrik tan (mt) sahaja dan penanaman salak klon baru ini telah ditanam di Agro Resort Setiu, Jabatan Pertanian Sekayu, Perkaya Kemaman dan beberapa petani di Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya.



Manakala teknik pembiakan tampang salak (teknik aruhan sulur) yang diperkenalkan oleh pihak Mardi membuka peluang kepada semua pengusaha dan petani yang berminat untuk dikomersialkan sekaligus dapat membangunkan industri salak tempatan.

Sementara permintaan domestik salak tempatan ini amat memberangsangkan dan meningkat dari tahun ke tahun iaitu 1,872 mt (2003) kepada 2,738 mt (2007) dan anggaran permintaan akan terus meningkat menjelang 2010 iaitu 3,000 mt.

UKOM