Halaman

23 December 2009

Bajet 2010 Seimbang Berdasar Hasil

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said ketika membentangkan bajet 2010 di Dewan Undangan Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan Terengganu membentangkan dasar pengurusan bajet seimbang membabitkan peruntukan RM1.881 billion bagi 2010.

Peruntukan itu bertambah RM1.45 juta atau 0.08% jika dibanding dengan peruntukan tahun lalu dan mencerminkan dasar perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemah berpandukan kepada keupayaan pungutan hasil negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata peruntukan ini disediakan untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perbelanjaan Tanggungan dan Perbelanjaan Pembangunan sejajar dengan anggaran hasil bagi 2010.

Katanya, anggaran hasil sebanyak RM1.881 bilion pada 2010 dijangka meningkat sebanyak 81.90 juta ringgit atau 4.55% berbanding anggaran hasil 2009.

Daripada jumlah anggaran hasil itu, RM1.731 billion atau 92% adalah diunjurkan diperolehi dari sumber Kerajaan Pusat termasuk royalti petroleum, sementara bakinya RM163 juta atau 8% adalah daripada sumber negeri sendiri.

Dato’ Ahmad berkata, bajet berkenaan akan diperuntukkan untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus RM64.4 juta melibatkan Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan RM1.817 billion untuk Perbelanjaan Bekalan.


Dato' Ahmad ketika membuat telaah terakhir sehari sebelum membentangkan bajet 2010.

Bagi Perbelanjaan Bekalan, sejumlah RM1.401 billion diperuntukkan bagi pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM208.77 juta untuk Emolumen, RM168.99 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, manakala RM37.27 juta untuk Aset dan RM1.16 juta lagi bagi lain-lain perbelanjaan.

Menteri Besar berkata, peruntukan yang besar disediakan menerusi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap terutama bagi pemberian caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (RM500 juta), caruman kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri (LTAWNT) (RM230 juta), caruman kepada penguasa-penguasa tempatan & agens kerajaan (RM266 juta).

Manakala bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat melibatkan RM49 juta dan pemberian bagi pelbagai program di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Vote B32-pelbagai perkhidmatan pula melibatkan peruntukan RM267.72 juta.

“Membelanjakan kesemua hasil yang bakal diperolehi adalah perlu demi menjana pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memberi penekanan kepada kesan (outcome) dan impak kepada rakyat.

“ Pada masa yang sama Kerajaan akan memastikan perbelanjaan dilakukan secara lebih berhemat dan melaksanakan langkah berjimat cermat tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan penjawat awam serta program dan projek yang telah dirancang dilaksanakan mengikut jadual,” katanya dalam pembenatangan Bajet 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman, hari ini ( 21 Disember).

Menurut beliau, langkah berkenaan bertepatan bagi membendung perbelanjaan daripada meningkat dengan ketara di samping memperbaiki kedudukan akaun kerajaan sesuai dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Dalam pada itu, Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit sebanyak RM424.96 juta pada tahun 2008 berbanding defisit RM278.42 juta tahun 2007.

“Seperti yang saya jelaskan pada tahun lalu semasa pembentangan Bajet 2009, defisit ini adalah disebabkan kerajaan tidak menerima sepenuhnya Pemberian Dana Khas daripada Kerajaan Persekutuan sebagaimana anggaran dalam Bajet 2007 dan 2008,” kata beliau.

Kekurangan dalam Akaun Hasil Disatukan ini telah menyebabkan baki Kumpulan Wang Disatukan Negeri susut dari RM492.35 juta pada 2007 kepada RM404.65 juta pada 31 Disember 2008.

Bagaimanapun, kerajaan berharap defisit dalam akaun ini akan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan penerimaan Dana Khas dari Kerajaan Persekutuan.

Kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan telah menjadi lebih baik kerana baki defisit RM79.16 juta pada 2007 dapat dipulihkan dan menjadi positif RM28.62 juta pada 31 Disember 2008 setelah mengambil kira RM713.35 juta perbelanjaan pembangunan pada tahun berkenaan.

Sementara Kumpulan Wang Bekalan Air pula terus mengekalkan baki positif tetapi menurun sedikit daripada RM134.72 juta pada 2007 kepada RM128.43 juta pada 31 Disember 2008.

Penurunan ini disebabkan perbelanjaan pembangunan projek bekalan air yang meningkat kepada RM86.52 juta pada 2008 berbanding RM46.92 juta pada 2007.


Pemberita mendapatkan maklumbalas daripada Menteri Besar selepas pembetangan bajet 2010.

“Dalam menghadapi situasi yang mencabar ini, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah proaktif dan berdaya saing bagi memastikan hasil Kerajaan Terengganu dan kesejahteraan hidup rakyat tidak akan terjejas.

“Bagi kerajaan negeri, cabaran utama ialah perbelanjaan yang sangat besar dan kebergantungan hasil kerajaan terhadap royalti minyak atau pada masa sekarang pemberian Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu pendapatan yang dipengaruhi oleh perubahan harga minyak mentah di pasaran dunia dan sumber minyak yang tidak kekal selama-lamanya,” kata beliau.

UKOM