Halaman

22 December 2009

Kerajaan Belanja RM21 Juta Baiki Kerosakan Akibat Banjir

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri membelanjakan RM21 juta untuk memperbaiki pelbagai kerosakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan sebagainya akibat banjir yang berlaku di negeri ini baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan wakil Barisan Nasional (BN) Kemasik, Ir Rosli Othman dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini (22 Disember).

“Peruntukan tersebut adalah untuk memperbaiki jalan-jalan negeri manakala jalanraya persekutuan menerima peruntukan RM35 juta dan semuanya akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Katanya, kerajaan akan membuat kajian secara menyeluruh mengenai sistem perparitan yang ada disamping menaik taraf jalan yang sentiasa ditenggelami air serta menambah pembentung air yang ada bagi mengelak air bertangkung.

“Namun jaminan tidak boleh diberikan kepada rakyat bahawa banjir tidak akan berlaku kerana apabila kadar hujan lebat yang datang ianya adalah diluar kuasa kita,” katanya.

Tambahnya, kekurangan kawasan yang baik untuk dijadikan tapak perumahan sejak kebelakangan ini turut menyumbang kepada berlakunya banjir apabila kawasan tadahan air dan kawasan paya dibangunkan untuk projek perumahan.

“Kecenderungan individu yang berlawan sesama sendiri juga tidak dapat dihalang apabila masing-masing menambun tanah lebih tinggi daripada rumah jiran terdahulu dan akhirnya sama-sama tenggelam bila datang musim hujan,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, pada masa akan datang setiap projek perumahan akan dikenakan syarat apabila membabitkan penambunan tanah untuk dijadikan tapak mengikut kelulusan Jabatan Parit dan Saliran.

Dato’ Ahmad turut melahirkan rasa tidak puas hati kerana pembinaan longkang yang dibina terlalu sempit sedangkan kawasan tadahan semakin berkurang dan ini membuatkan jalanraya ditenggelami air.

Namun katanya, kerajaan tidak pernah lari dari tanggung jawab dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mengatasi sebarang masalah yang timbul namun kita yang merancang Tuhan yang menentukannya.

UKOM