Halaman

23 December 2009

Sanggup berlapar untuk rawat anak

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad dan isteri melawat kanak-kanak jantung berlubang, adik Muhammad Idham Izuan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Demi permata hati tercinta, saya dan suami Zamri Muda, 37, sanggup berkorban segalanya sehingga kadang kala terpaksa menahan kelaparan sehari suntuk.

“Duit yang ada terpaksa didahulukan bagi merawat penyakit anak bongsu Muhammad Idham Izuan, 9 bulan, yang menghidapi jantung berlubang kerana tidak sanggup mendengar rengekkan dan tangisan”, keluh seorang ibu Norazura Yusof, 26.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kujungan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, bersama Isteri To’ Puan Norliza Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Agama Negeri, YB Encik Khazan Che Mat di rumahnya, Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Terengganu (19 Disember).


Dalam kunjungan itu, Dato’ Ahmad menghulurkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban.

Adik Muhammad Idham bukan sahaja menghidap penyakit jantung berlubang malah turut dikesan mempunyai saluran darah terbalik dan saluran penafasan sempit sebaik dilahirkan awal April lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Doktor yang merawat adik Idham mengesahkan penyakit itu selepas tiga hari dilahirkan dan ketika berusia lapan hari dinasihatkan supaya mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Apabila genap usia 27 hari, pembedahan pertama dimulakan untuk merawat saluran penafasan sempit dan kemudiannya merawat saluran darah terbalik pada usia empat bulan.

Kos rawatan bagi penyakit itu yang dianggarkan RM70 ribu ditanggung Tabung Kebajikan IJN.

Sekiranya mempunyai tahap kesihatan memuaskan, adik Idham bakal dibedahkan untuk kali terakhir pada Februari ini bagi memulihkan penyakit jantung berlubang. Kos bagi tujuan itu RM46,000.

Menteri Besar menghulurkan bantuan peribadi bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak jantung berlubang.

Lebih memilukan, komplikasi daripada tiga penyakit itu, anak Norazura turut dikesan menghidapi paru-paru berair.

Norazura berkata, kunjungan menteri besar bersama rombongan memberi seribu rahmat kepada keluarganya yang sebelum ini buntu mencari sumber kewangan bagi merawat penyakit Idham.

“Kata-kata Dato’ Ahmad yang berjanji akan menangung kos perjalanan bagi berulang alik merawat anak di IJN diucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga.

“Sebelum ini suami terpaksa tebalkan muka mengharapkan belas ihsan sanak-saudara dan jiran untuk tujuan itu terutama ketika kesuntukan duit kerana tidak dapat meraih rezeki di laut,” katanya.

Katanya, rezeki suami sebagai nelayan tidak menentu, sekiranya dapat banyak ikan, legalah sedikit perbelajaan harian kami, jika sebaliknya dan musim tengkujuh, ia cukup menyeksakan sehingga terpaksa mencatu makanan.

“Dalam masa sama, kami terpaksa memikirkan sumber kewangan untuk merawat Idham di klinik swasta jika mengalami demam serta asma dan perbelanjaan sekolah tiga lagi anak.

“Walaupun harga rawatan dan ubat tidak sampai RM50, tetapi jumlah itu cukup berharga bagi kami yang sentiasa kesuntukkan duit,” katanya mempunyai empat cahaya mata berusia 9 bulan hingga 10 tahun.


Dato' Ahmad dan isteri serta YB Ustaz Khazan Che Mat meniti titian usang selepas melawat kanak-kanak jantung berlubang.

Norazura berkata, setiap bulan dia terpaksa mendapatkan rawatan susulan Idham di HSNZ dengan menaiki bas.

“Walaupun menyedari anak tidak selesa dengan keadaan itu, saya terpaksa kerana tidak mempunyai kenderaan lain untuk berulang alik ke hospital selain segan untuk meminta pertolongan jiran,” katanya.

Kunjungan penulis TeganuKita turut terharu kerana rumah milik ibu saudara yang didiami keluarga itu tidak mempunyai bekalan air dan terpaksa menggunakan air perigi untuk melaksanakan tugas harian.

Sementara itu, Dato’ Ahmad berkata, dia berharap keluarga Norazura tabah menghadapi kesukaran hidup kerana percaya ada hikmah disebaliknya.

“Bagi meringankan bebanan, kerajaan negeri akan membantu apa yang diperlukan termasuk kos perjalanan. Bagi kos rawatan penyakit Idham ditanggung sepenuhnya oleh IJN,” katanya.

UKOM