Halaman

05 June 2009

Pandu Puteri Pra Tunas Diwujudkan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Permaisuri Nur Zahirah bersalaman dengan pemimpin Persatuan Pandu Puteri Malaysia. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bertitah, anak-anak yang terlibat dengan aktiviti kepanduan dari usia muda, berada di platform yang melatih mereka tentang ketahanan mental dan fizikal serta lebih bersedia dalam menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.

Pelbagai aktviti yang dijalankan termasuk mewujudkan aktiviti baru iaitu Pandu Puteri Pra Tunas untuk kanak-kanak pra sekolah. adalah untuk memastikan ahli-ahli kepanduan yang berada di sekolah bukan sahaja terlibat dengan aktiviti di peringkat daerah dan negeri malah hingga ke peringkat antarabangsa.

Permaisuri Nur Zahirah bertitah demikian di majlis perasmian Mesyuarat Agung 2008/2009, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu hari ini (4 Jun).

Turut berangkat, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Intan Zaharah dan Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah; Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Yang Amat Mulia,Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.


Sebahagian Pesuruhjaya dan perwakilan yang hadir pada mesyuarat agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kuala Terengganu.

Turut hadir, Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu, Yang Amat Mulia, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia, Datin Zalillah Mohd Taib; Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said serta Isteri To’ Puan Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan isteri.

Titah Baginda, sebagai sebuah badan sukarela usaha berterusan persatuan untuk menyemai dan memupuk perpaduan serta semangat kesukarelaan di kalangan semua ahli dengan melibatkan mereka dalam pelbagai projek serta persetiaan dan undang-undang kepanduan menjadi sumber rujukan utama untuk memastikan program persatuan dapat memenuhi visi dan misi yang telah ditetapkan.

“Beta merasa bangga menjadi penaung persatuan ini dan berharap ianya terus maju disamping berbakti kepada agama, bangsa dan Negara malah beta sukacita dan berpuas hati dengan kejayaan yang telah dicapai selama ini,” titah Permaisuri Nur Zahirah selaku Penaung DiRaja Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Baginda Bertitah dalam usia persatuan yang telah menjangkau usia 92 tahun, persatuan ini telah berjaya meningkatkan penyertaan ahli sebanyak 79,847 orang termasuk 5,138 ahli sukarelawan.

“Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua ahli kerana telah memenuhi misi Persatuan Pandu Puteri dan Pengangkap Puteri Sedunia dan meletakkannya di persada yang dikenali ramai,” titah Permaisuri Nur Zahirah.

Permaisuri Nur Zahirah kemudiannya berkenan menyampaikan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada 59 penerima seluruh Negara termasuk Johor (7), Negeri Sembilan (6), Pahang (50, Pulau Pinang (8), sabah (6), Selangor (10), Terengganu (10) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7).

Bersempena dengan majlis ini juga seramai 43 orang menerima Anugerah Kepanduan 2009, seperti Pingat Bintang Kehormat (8), Pingat Layang-layang (1), Pingat Agok Bakti Lebah (12) dan Pingat Jasa (22) manakala 27 penerima Anugerah Asia Pacific.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

berita penuh

04 June 2009

Lantik Penyiasat Bebas Luar Negara Yang Berkaliber

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad ketika menjawab soalan wartawan mengenai runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di pejabat beliau di Wisma Darul Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan negeri akan melantik badan perunding bebas dari luar negara yang berkaliber dan berkemampuan dengan segera bagi mengenalpasti punca kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak runtuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, tiba-tiba runtuh dan menimpa beberapa kenderaan berhampiran kawasan itu, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sedang mencari perunding bebas yang tidak diragui, sebaliknya badan itu dapat diyakini serta berkemampuan termasuk mempunyai prestasi baik, hebat dan berpengalaman dalam menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

Katanya, badan perunding itu tidak diberi tempoh masa tertentu bagi menyiapkan laporan punca kejadian bagi memastikan mereka dapat memberi laporan secara menyeluruh, tepat serta keputusan yang tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Menurut Menteri Besar, Kementerian Kerja Raya turut melantik badan perunding bebas yang berasingan bagi menyiasat perkara itu.

“Kita akan ada dua perunding bebas yang akan menilai (kejadian bumbung runtuh). Sampai satu masa nanti, kita boleh tengok daripada dua ini, kalau ada persamaan, pendapat yang sama boleh terima kalau ada perbezaan mengapa perbezaan ini berlaku supaya lebih selamat dan tidak bergantung kepada satu pandangan perunding sahaja.

“Saya beritahu Dato’ Setiausaha Kerajaan mencari badan perunding yang boleh diharap dan berkemampuan kerana apabila kita buat pemeriksaan, mestilah perunding itu lebih hebat daripada apa yang dia buat,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, (3 Jun).

Selain itu, Menteri Besar turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat bangunan lain yang baru siap dibina termasuk Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Stadium Tertutup Gong Badak dan Kolam Renang di Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan mahu supaya tidakan susulan dilakukan terhadap bangunan baru siap serta dilaporkan mengalami kerosakan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Dalam mesyuarat exco tadi saya meminta supaya exco kemudahan awam berhubung dengan JKR supaya membuat siasatan terperinci berkenaan bangunan-bangunan yang kita buat,” katanya.

Menteri Besar juga menolak kemungkinan kejadian bumbung runtuh itu berlaku kerana bangunan yang dibuat secara tergesa-gesa, berikutan tempoh masa menyiapkan projek stadium itu adalah mencukupi dan berdasarkan jadual sebenar.

“Kita tidak tahu sama ada kontraktor bersalah, kalau bersalah adakah dia melakukan tidak mengikut spesifikasi, tidak mengikut dari segi teknikal, rekabentuk tidak betul, kiraan tidak betul, atau dari segi badan perunding.Kita tidak tahu terjadi daripada sesiapa dan sebab itu kita mintak supaya siasatan badan bebas dibuat mengenalpasti apakah punca sebenar.

“Kita tidak boleh salahkan sesiapa dan kita terima hakikat ia telah roboh dan perlu adakan badan penyiasat bebas bagi mengenalpasti mengapa ini terjadi,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

berita penuh

03 June 2009

NGO Mampu Lahirkan Golongan Berinformasi

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad berbual mesra dengan pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan persatuan itu di Primula Beach Resort. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diminta melipatgandakan usaha bagi memastikan setiap matlamat dan dasar kerajaan sampai di hati rakyat dan mampu menggerakkan aktiviti dan keupayaan mereka dengan lebih positif.

“Harap usaha tersebut mampu membantu kerajaan untuk melahirkan golongan yang berinformasi dan bermaklumat,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Peringkat Kebangsaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Primula Beach Resort hari ini (2 Jun).


Datin Zalillah menyampaikan cenderahati kepada Dato` Ahmad.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong; Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia, Datin Zalillah Mohd Taib dan Yang Dipertua Pesatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu, Datin Seri Tengku Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dato’ Ahmad kemudiannya mencabar kepimpinan Pandu Puteri supaya dapat laksanakan aktiviti yang lebih mencabar minda dan keupayaan persatuan agar ianya terserlah bukan di peringkat negeri malah internasional.

Katanya, majlis ini juga memberi makna besar kepada semua dalam usaha mengembleng tenaga untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang proaktif, bertenaga dan berwawasan demi kemajuan negeri dan Negara.


Sebahagian pesuruhjaya dan perwakilan Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang hadir pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan persatuan itu di Primula Beach Resort.

“Melalui potensi yang positif dan idea yang bernas pasti dapat meningkatkan lagi kemajuan persatuan ke arah yang lebih membanggakan sesuai dengan usianya yang telah mencecah 92 tahun penubuhannya dan seterusnya menjadi sebuah persatuan yang kukuh dan relevan sepanjang masa,” katanya.

Dato’ Ahmad kemudiannya menegaskan agar semangat jatidiri tidak diabaikan dan perlu diutamakan terutama dalam kita bergerak pantas mengikut peredaran masa dan diselaraskan dengan kemajuan yang dicapai.

Katanya, melalui pergerakan dan kepimpinan yang baik ia dapat menjana semula minda ahli-ahli dengan sesuatu yang lebih baik serta menjadi ejen kerajaan dengan memberi penerangan meluas kepada masyarakat keseluruhannya.

“Saya harap melalui persatuan atau NGO seperti ini akan dapat menyumbang idea yang konstruktif kepada kerajaan negeri untuk membentuk dasar dan mampu memberi faedah kepada rakyat secara keseluruhannya serta mampu membentuk Terengganu terbilang di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Persidangan Pandu Puteri akan berlangsung selama lima hari bermula 1 Jun dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah, lawatan ke tempat bersejarah serta demonstrasi kuih tradisional.

Majlis penutup persidangan akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yang juga Penaung DiRaja Persatuan Pandu Puteri Malaysia, pada Rabu ini di Primula Beach Resort.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

berita penuh

Terengganu Jadi Model Bidang Pendidikan

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera



Langkah Kerajaan Terengganu memperkenalkan kegunaan e-Book kepada murid-murid sekolah rendah di negeri ini, menarik minat negeri-negeri lain untuk mengikuti kaedah pembelajaran tanpa menggunakan buku teks itu kepada pelajar mereka.

Sehingga ini, dua negeri iaitu Melaka dan Sarawak menghantar wakil bagi meninjau kaedah tersebut dan menunjukkan minat menjadikan Terengganu sebagai model bagi meningkatkan mutu pendidikan negeri masing-masing.



Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri tiada halangan untuk berkongsi pengalaman dengan negeri lain bagi meningkatkan bidang pendidikan menggunakan teknologi yang lebih canggih.

Malah, katanya, syarikat Top IT yang bertanggungjawab membekalkan e-Book kepada murid sekolah rendah negeri ini, akan diarah membekalkan kemudahan tersebut kepada negeri-negeri lain yang berminat.

“Kita sedia membekalkan kemudahan e-Book ke sekolah-sekolah di seluruh negara jika Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menggunakan e-Book di sekolah-sekolah menggantikan buku teks,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini (28 Mei).

Menteri Besar berharap penggunaan e-Book akan menjadikan masyarakat negeri ini ‘celik komputer’ dan pada masa yang sama mahir melakukan ajaran agama seperti solat dan solat jenazah melalui penggunaan teknologi berkenaan.



Pada majlis itu, bekas Pengarah Pelajaran, Dato’ Mohamed Che Hamid, diisytiharkan sebagai Tokoh Guru 2009 negeri Terengganu.

Menteri Besar turut menyampaikan insentif kemenangan berupa wang tunai kepada pelajar cemerlang dan semua atlit yang muncul juara Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) baru-baru ini.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

berita penuh