Halaman

11 June 2009

Jangan Memanipulasi Cerita

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Mokthar Nong ketika berucap pada perhimpunan bulanan warga Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kakitangan awam di negeri ini dingatkan supaya menjaga rahsia kerajaan dan jangan membiarkan segala keputusan kerajaan yang masih di peringkat rahsia, terlepas ke tangan pihak luar.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mokhtar Nong, berkata kakitangan awam perlu mematuhi sepenuhnya peraturan berkaitan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan dan tidak membenarkan orang luar memperolehi sebarang dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.


Pengarah Tanah dan Galian, Dato' Haji Abdul Razak Ismail menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangan Wisma Darul Iman, Alfa Alias.

Pada masa yang sama berliau turut meminta masyarakat tempatan, khususnya kakitangan kerajaan supaya tidak memanipulasi cerita mengenai kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sebaliknya, kata beliau, perkara itu perlu diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyiasat secara terperinci bagi memastikan punca sebenar kejadian itu berlaku.

“Kita sebagai masyarakat tidak wajar putar belit cerita sehingga timbul pelbagai spekulasi yang kurang enak didengar.

“Tidak patut menuduh kontraktor , Jabatan Kerja Raya (JKR) atau mana-mana pihak yang bersalah tanpa sebarang bukti,” katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (10 Jun).



Warga Wisma Darul Iman yang hadir pada perhimpunan bulanan di Dewan Besar.

Seramai 10 kakitangan WDI dipilih menerima Anugerah Pekerja Cemerlang bagi Mac dan April.

Kakitangan cemerlang bagi Mac adalah Hajah Norazimi Sulong dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Encik Rani Mat (Pejabat SUK bahagian Pembangunan Manusia), Encik Alfa Alias (Unit Perhubungan dan Komunikasi Negeri), Encik Mohd Nasir (Perbendaharaan) dan Encik Azman Wahab (Unit Audit Dalam).

Manakala April, Nadia Mat Amin (Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu), Encik Uzir Salleh (Pejabat Pembangunan Negeri). Norini Tunggal (Kerajaan Tempatan), Norizan Che Muda (Unit Perancang Ekonomi Negeri) dan Hajah Laili Razita Abdullah (Pejabat Dewan Undangan Negeri).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

berita penuh

10 June 2009

RTB Banggol Atasi Masalah Tapak Kediaman

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad bermesra dengan OKU selepas majlis Jamuan Rakyat di Saujana, Setiu, sambil ditemani Datuk Mohd Jidin (kanan). - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Masalah mendapatkan tanah tapak kediaman yang dihadapi 170 penduduk di Permasuri, Setiu bakal diatasi apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membangunkan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Banggol, Permasuri selewat-lewatnya Oktober ini.


Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata kawasan seluas 60 hektar sedang dibersihkan bagi tujuan membina infrastruktur seperti jalan dan sistem perparitan sebelum 170 peserta layak menduduki RTB berkenaan.

“Kerajaan akan sediakan serba-serbi kemudahan, kemudian barulah peserta akan masuk dan boleh memohon mana-mana bantuan pinjaman atau bantuan kerajaan ataupun buat sendiri, bagi membolehkan pembinaan rumah yang cepat.

“Kita tidak mahu lagi bertangguh dan tidak mahu lagi perumahan ini menjadi satu masalah dan tumpuan RTB Banggol ini kepada golongan muda yang lebih ramai dan sebahagian lagi kita akan bahagi-bahagiakan mengikut keperluan,” katanya kepada media di majlis Jamuan Rakyat sempena Perasmian Berkelompok UMNO Cawangan Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, di Sekolah Menengah Saujana, Bandar Permaisuri, Setiu, hari ini (8 Jun).


Hadirin yang menghadiri Perasmian Berkelompok UMNO DUN Permaisuri di Sekolah Menengah Saujana, Setiu.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dan barisan kepimpinan UMNO dan sayap UMNO Bahagian serta DUN Permaisuri. Menteri Besar merasmikan majlis berkenaan.

RTB Banggol merupakan RTB kedua yang dibangunkan dalam tempoh dua tahun selepas 412 lot tapak rumah dibangunkan di RTB Penarik pada tahun lalu.

Dato’ Mohd Jidin berkata, kerajaan sudah mengenalpasti setiap peserta yang layak memperolehi tapak tanah rumah seluas 0.1 hektar. Semua peserta berkenaan adalah mereka yang belum memiliki tanah pemberian kerajaan.

“Proses menyelesaikan hak milik dalam masa sebulan kepada mereka yang belum memiliki tanah pemberian kerajaan.

“Kalau dulu kita beri tempoh dua tahun, sekarang kerajaan tidak menunggu, apabila lulus pada bila-bila masa, selepas bayar Jadual 5, kita akan keluarkan hak milik bagi tempoh 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan ini membuktikan kerajaan negeri serius dalam menyelesaikan masalah penduduk dan tidak sekadar bercakap tetapi menyempurnakan janji-janji bagi kepentingan rakyat.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu




berita penuh

1Malaysia Kesinambungan Pemimpin Silam - MB

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad


Dato' Ahmad ketika berucap menutup Seminar Gagasan Satu Malaysia di Primula Beach Hotel.- Foto SHUHAIMI AHMAD.

Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, merupakan cetusan kesinambungan perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang mahu melihat rakyat negara ini hidup dalam suasana aman dan harmoni.


Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menegaskan menjadi kewajipan setiap rakyat untuk mempertahankan gagasan itu bagi memastikan suasana tersebut berkekalan dan negara ini tidak ditimpa malapetaka.


Sebahagian peserta yang hadir pada Seminar `Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan' di Primula Beach Hotel.

“Tidak ada orang yang mahu peristiwa 13 Mei berulang kembali. Apakah tindakan kita untuk memastikan perkara ini tidak berlaku semula?,” katanya ketika berucap pada majlis penutup seminar ‘Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan’ di Primula Beach Resort, semalam (7 Jun).

Seminar sehari anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu dihadiri ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan wakil pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau berkata, konsep 1Malaysia bukan sekadar slogan semata-mata, tetapi ia lebih kepada usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang berinovasi.

“Apabila kita melihat kepada kejayaan sehingga mencapai kemerdekaan , gagasan ini bermakna kita perlu meneruskan perjuangan demi masa depan kita, selepas kita lihat banyak kekurangannya.


Dato' Ahmad bergambar bersama pembentang kertas kerja pada Seminar `Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan di Primula Beach Hotel.

“Apatah lagi kita melihat hari ini setiap kepartian, keturunan dan sesuatu bangsa itu masing-masing ingin menegakkan hak dan dengan ini, kita bukan sahaja menjurus kepada satu bangsa untuk membendung sesuatu perkara,” katanya.

Menteri Besar berkata, bukan senang bagi tuan punya sesuatu resepi memberi kepuasan kepada semua pelanggan kerana mereka memasak mengikut ramuan dan cita rasa sendiri sedangkan selera orang ramai berbeza.

“Begitu juga Malaysia adalah sebuah negara majmuk, mempunyai pelbagai bangsa, bagi saya itu adalah contoh terbaik, sebab kita mempunyai budaya dan identiti berbeza, kalau kita rangkumkan,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

berita penuh