Halaman

20 June 2009

e-Book Jadi Tarikan Dalam Dan Luar Negara

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Ahmad Razif menerima tabik hormat pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Teknik Terengganu. -Foto Ihsan SINAR HARIAN

Kementerian Pelajaran Malaysia sedang membuat pemantauan mengenai perkembangan pengeluaran e-Book yang dirintis oleh kerajaan negeri untuk dikembangkan ke negeri-negeri lain seluruh negara.


Umumnya kerajaan bersedia untuk membekalkan e-book ke sekolah-sekolah seluruh negara jika mendapat permintaan dan perkara tersebut telah disuarakan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Kuala Terengganu hari ini (18 Jun).

Di samping itu katanya, beberapa negeri juga telah menyatakan minat untuk membeli e-Book ini daripada kita termasuk Melaka dan Sarawak dan kita tidak ada masalah untuk membekalkannya.

“Apa yang membanggakan, negara Brunei Darul Salam juga turut mengikuti perrkembangan pendidikan yang berlaku di negeri kita dan menyatakan minatnya terhadap penggunaan e-Book,”.

“Sehubungan itu kerajaan negeri telah menghadiah e-Book kepada Kerajaan Brunei untuk diteliti kepenggunaannya,” katanya.

Kerajaan negeri telah dan akan mengadakan beberapa Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat luar negara dalam usaha untuk menginternasionalkan bidang kemahiran pendidikan di negeri ini.

Salah satunya ialah MOU dengan The Welding Institut (TWI) di Cambridge, London untuk bekerjasama dengan Tesdec dalam bidang welding under water yang membabitkan minyak dan gas.

Beberapa perkara lagi yang sedang diperhalusi ialah program Training of Trainer (TOT) dan akan menghantar beberapa wakil dari Tesdec untuk mengikuti kursus dengan TWI.

Selepas ini Insyaalah kita akan menawarkan kursus welding kepada anak-anak negeri ini manakala sijil tamat kursus akan dikeluarkan oleh TWI di Cambridge, London dan moga dengan memperolehi kemahiran tinggi ini membuka peluang pelajar kita mendapat pekerjaan yang baik.

Untuk makluman juga katanya, pihak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut berminat untuk membuka kampusnya di sini dan kita membuat cadangan di Taman Ilmu, Besut.

Wakil UniKL akan datang dalam masa terdekat ini untuk melihat lokasi yang dicadangkan oleh kerajaan dan sekaligus mengadakan perbincang berkait perkara tersebut.

Sementara itu, Haji Muhamad Awang, 58 dan Puan Fazilah Abdul Rahman, 57 telah diistiharkan sebagai Tokoh Guru Daerah Kuala Terengganu yang masing-masing menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan plak.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

MB Lawat ITC

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said meneliti kecacatan bumbung ketika membuat tinjauan ke ITC Kemaman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) yang dibina mengikut konsep Harvard Business School di Teluk Kalong, Kemaman memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat digunakan kerana terdapat beberapa kerosakan yang perlu diperbaiki segera.



Menteri Besar Dato’ Ahmad Said ketika membuat tinjauan ke ITC petang semalam (16 Jun) berkata kolej ini perlu diteliti semula kerana terdapat kecacatan yang jelas terutama pada kayu penyokong bumbung serta beberapa bahagian lain.

“Setelah diteliti terdapat 200 hingga 300 item yang perlu diperbaiki semula.atau ditukar kerana tidak mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita sebaik selesai meninjau ke beberapa bangunan ITC.


Keadaan bilik penginapan yang lebih selesa di ITC Kemaman.

ITC yang mempunyai 216 bilik lengkap dengan kemudahan ICT bertaraf dunia ini telah dibina pada Mei 2005 dan dijangka siap pada Februari 2008 namun sehingga kini ianya masih belum dapat digunakan lagi kerana beberapa masalah yang timbul dan memerlukan pemantauan rapi.

“Saya dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti dan memantau projek ini dari masa ke semasa dan berharap ianya dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.


Pusat Latihan Antarabangsa di Teluk Kalong Kemaman memerlukan sedikit masa lagi untuk dibuka kerana terdapat beberapa kecacatan pada pembinaannya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

17 June 2009

722 Pelajar Pertama Terima E-Book

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada seorang daripada 722 pelajar Tahun Lima seluruh sekolah dalam DUN Kijal.

Seramai 722 orang murid tahun lima dari 10 Sekolah Kebangsaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman menjadi kumpulan pertama menerima E-Book yang diagihkan oleh kerajaan negeri.

Buku elektronik berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato Ahmad Said, di Dewan Sekolah Kebangsaan Ibok, Kemaman , semalam (16 Jun).


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir. Rosli Othman dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Mohd Zuber Embong.


Guru Sekolah Kebangsaan Ibok, Kemaman memberikan penerangan mengenai cara menggunakan komputer e-Book kepada pelajar Tahun Lima sekolah itu selepas majlis penyerahan oleh Menteri Besar Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Dengan pengagihan ini bermulalah fasa baru pada pelajar-pelajar tahun lima di negeri ini dan ianya akan merubah senario pembelajaran mereka kepada kaedah baru yang lebih baik,” katanya.

Katanya, selepas ini pelajar-pelajar yang telah menerima e-book dapat belajar dengan lancar dan boleh mengikuti modul pelajaran seperti biasa serta tidak perlu membawa beg yang berat ke sekolah.

Menurut Dato’ Ahmad, pengagihan seterusnya akan dibuat oleh Exco diikuti wakil rakyat di kawasan masing-masing yang akan dibuat secepat mungkin.


Seorang pelajar yatim piatu Tahun Lima menunjukkan komputer e-Book kepada neneknya selepas menerimanya daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kalau tak ada aral pengagihan ini akan selesai sehingga akhir bulan ini dan mana-mana pelajar yang telah menerima e-book boleh terus digunakan kerana semua program telah dimuatkan di dalamnya,” katanya.

Pengagihan pertama melibatkan 10 sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kalong (57), SK Kijal (120), SK Seri Bandi 2 (66), SK Ibok (60), SK Meraga Beris (42), SK Bukit Anak Dara (17), SK Bukit Kuang (183), SK Padang Kubu (47), SK Payoh (45) dan SK Seri Bandi (85).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

Penglibatan Peserta Rancakkan Projek TIDS

Oleh : SURIATI BINTI ALI


YB Rozi menunjukkan ikan air tawar yang siap dimasak pada Majlis Pelancaran Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como Tasik Kenyir di Dataran Shahbandar. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Dana RM800,000 kepada 20 peserta projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar (TIDS) di Sungai Como, Tasik Kenyir, dijangka merancakkan lagi projek itu.


Pembiayaan pinjaman kepada peserta terpilih itu membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti, termasuk menghasilkan makanan sejuk beku berasaskan ikan peliharaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Rozi Mamat, berkata buat permulaan, TIDS adalah projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) dengan membabitkan kos RM50 juta. Projek berskala besar itu dilancarkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Jun 2006.

Bagi merancakkan projek, kerajaan negeri memilih 20 peserta yang berminat menjayakan program di bawah bimbingan Terengganu Agrotech Development Corprotion Sdn Bhd (TADC).

“Mereka bukan hanya diberi kemudahan pinjaman, malah turut ditawarkan tempat kediaman bertujuan membantu dan memberi semangat kepada peserta menjayakan program secara serius.

“Bagi meningkatkan pengetahuan, kursus berkaitan turut disediakan, termasuk kaedah menghasilkan makanan sejuk beku dan pelbagai jenis menu berasaskan ikan peliharaan,” katanya.

YB Rozi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como Tasik Kenyir, di Shahbandar Kuala Terengganu, hari ini (16 Jun).

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu, termasuk pertunjukan dan pertandingan memasak, pameran dan gerai jualan.

YB Rozi berkata, TIDC memberi impak positif kepada peserta dan ekonomi negeri.
“Apa yang membanggakan, sehingga kini projek kelolaan TADC itu mampu menambah kira-kira 1,800 sangkar daripada 200 sangkar sejak dilancarkan,

“Setiap bulan, lebih 400,000 benih ikan iaitu tilapia, siakap dan patin dilepaskan dan hasilnya dipasarkan kepada pemborong tempatan, Kuala Lumpur, Johor dan terbaru di luar negara iaitu Singapura,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

Bantuan Maidam Ubah Kehidupan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Haji Wan Harujan menyampaikan bantuan enjin bot kepada Kasim Ismail. -Foto SHUHAIMI AHMAD

“Saya memang nelayan tulen dan bantuan enjin bot dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini mampu mengubah hidup saya ke arah lebih baik.

“Terima kasih kerajaan. Saya gembira sangat hajat saya sejak beberapa tahun lalu memiliki enjin bot baru tercapai jugak hari ini,” kata seorang nelayan, Kasim Ismail, 59, dari Kampung Pantai Batu Buruk, Jalan Haji Busu, Kuala Terengganu, ketika ditemui wartawan TeganuKita, hari ini (16 Jun).


Kasim merupakan seorang daripada enam penerima bantuan modal berdikari yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman di Majlis Penyerahan Bantuan Modal Berdikari Maidam 2009, di Perkarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Kuala Terengganu.

Seorang remaja, Nor Shahida Ramli, 20, dari Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu, berkata dia memohon bantuan mesin jahit daripada Maidam sejak setahun lalu bagi memudahkan kerjanya sebagai tukang jahit sepenuh masa.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat mesin jahit yang sudah lama saya pohon dan selepas ini pasti saya dapat menjahit dengan lancar dan tidak perlu ke tempat lain bagi mendapatkan khidmat jahit tepi baju pelanggan saya,” katanya yang pernah mendapat latihan jahitan di Yayasan Pembangunan Keluarga selama enam bulan.

Manakala seorang surirumah, Suzilawati @ Suhaila Abdullah, 25, dari Kampung Baloh, Manir pula mahu membantu suaminya meningkatkan pendapatan keluarga dengan mengambil upah menjahit pakaian di rumah sambil menguruskan keluarga.

“Saya ada anak kecil, jadi apabila ada mesin jahit, saya dapat ambil upah menjahit sambil menjaga anak. Sekurang-kurangnya saya dapat membantu suami dengan menggunakan kemahiran belajar menjahit yang ditimba dari Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) pada 2003 dan Kolej Komuniti pada tahun lalu, untuk tingkat pendapatan kami sekeluarga,” katanya.

Selain enam penerima bantuan modal, seramai 113 lagi melibatkan penerima bantuan bulanan (60 penerima), bantuan persekolahan (27 penerima) dan bantuan sara hidup 26 penerima.

Menurut Haji Wan Harujan, majlis penyerahan wang bantuan dan modal berupa enjin bot, mesin jahit serta basikal untuk sesi keempat kali ini melibatkan 119 penerima dengan peruntukan berjumlah RM76,690.

Katanya, bantuan enjin bot berharga antara RM5,000 hingga RM6,000, manakala empat mesin jahit untuk pelbagai fungsi jahitan berharga RM2,000 hingga RM3,000 setiap unit.

Beliau berkata, bantuan yang diperolehi itu diharap tidak disalahguna oleh penerima dengan menjual semula barangan atau menggunakan wang bantuan membeli sesuatu yang tidak sepatutnya untuk kepentingan peribadi.

“Kalau kita dapat mengesan penerima bantuan didapati menyalahguna bantuan, kita akan tarik balik bantuan yang diberi. Kalau beri mesin jahit, mereka tidak menggunakannya dengan betul, sekadar disimpan tanpa mengusahakannya, Maidam akan bertindak mengambil semula mesin berkenaan.

“Bagaimanapun, jika dalam tempoh tiga tahun sebagaimana dalam surat perjanjian mereka dapat menggunakan modal yang diberi untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan, Maidam akan memberikan barangan berkenaan sebagai hak milik mereka,” katanya.

Malah, beliau juga mahu memastikan hasil penerima bantuan modal berkenaan dapat memajukan diri mereka serta keluarga, selain berupaya pula menjadi pembayar zakat bagi membantu mereka yang miskin satu masa nanti.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

16 June 2009

Rakyat Syukur Terima Bantuan

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said melambai ke arah ribuan penduduk sekitar DUN Ajil, Hulu Terengganu yang hadir di perkarangan LPP Kampung Bukit Diman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Bantuan yang diterima mampu meringankan beban sekaligus memberi semangat untuk terus berbudi kepada tanah.



“Tanpa bantuan dari kerajaan negeri, sukar bagi saya untuk memiliki mesin pemotong rumput ini kerana harganya agak tinggi,” kata penerima bantuan separuh, Encik Raimi Ibrahim, 60.

Katanya, mesin ini akan digunakan sebaik mungkin bagi membersih kebun pisang seluas lebih satu ekar.

“Kebun diusahakan secara berkelompok itu cukup bermakna bagi diri saya kerana hasil yang diperolehi memuaskan serta menjadi punca rezeki utama keluarga,” katanya.

Encik Raimi berkata demikian ketika ditemui TeganuKita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-31/2009 di perkarangan Pertubuhan Peladang, Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu, hari ini (15 Jun).

Majlis dihadiri kira-kira 3,000 ahli itu dirasmikan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said.



Penerima lain, Salim Hassan, 70, berkata pendapatan utama keluarganya adalah daripada hasil berkebun.

Oleh itu, dia berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat hasil setimpal. Pelbagai jenis tanaman termasuk pisang, nanas dan ubi diusahakan secara berkelompok.

“Kesungguhan yang ditunjukkan dalam bidang ini memudahkan diri saya mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

“Sejak mengusahakan kebun, pelbagai bantuan diterima, antaranya mesin penyiram, baja dan terbaru mesin pemotong rumput.

Sementara itu, Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Pasar Raya Rakyat (PRR) bertujuan membantu penduduk mendapat barangan berkualiti dengan nilai harga rendah.


Dato' Ahmad melihat jentera bajak yang dipemerkan di gerai pameran.

Katanya, pasar raya bernilai kira-kira RM4 juta itu bakal ditempatkan di pekan Kuala Berang dan ia diusahakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

“Pembinaan pasar raya itu dijangka bermula awal tahun depan selepas siap kerja-kerja terakhir oleh agensi dilantik.

“Pembinaan PPR jelas dapat meringan beban pengguna berikutan pelbagai produk jualan di pasar raya itu nanti diperoleh daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan petani tempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis itu.

Menurutnya, apabila mendapat impak positif daripada pengguna, kerajaan negeri akan berusaha membuka pasara raya sama di setiap daerah.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

Pengakap Bantu Atasi Masalah Sosial

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Dr Abdul Latrif bersalaman dengan pemimpin pengakap pada majlis perasmian Hinger Institution Expedition and Camping (Hinex Camp) Ke-9, di TATiUC, Kemaman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai badan beruniform harus mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah sosial dengan mengajak rakan sebaya yang bermasalah ke arah hala tuju kehidupan yang lebih baik.


Ilmu dan latihan yang diprartikkan menerusi pembabitan dalam badan beruniform seperti Pengakap mampu dimanfaatkan apabila berdepan dengan masyarakat luar.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Institut Latihan Teknikal Terengganu (TATiUC), Dato’ Dr Abdul Latiff Awang, berkata apabila mahasiswa dan mahasiswi berkenaan pulang ke kampung masing-masing mereka haruslah bergaul dengan rakan-rakan yang tidak berpeluang menjejakkan kaki ke universiti.

Katanya, dengan cara itu, mereka dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang ditimba terutama dalam badan beruniform bagi mengajak rakan mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah.


Sebahagian pengakap yang menyertai Hinger Institution Expedition and Camping (Hinex Camp) Ke-9, di TATiUC, Kemaman.

“Lebih separuh lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan mereka terlibat dengan kegiatan rempit yang memberi masalah kepada masyarakat sekitar.

“Bagaimanapun, semua anak-anak di sini bernasib baik dapat menempatkan diri di IPT, bergelar mahasiswa dan dapat pula menyertai Pengakap. Mahasiswa haruslah sama-sama berfikir cara membantu golongan yang disebut tadi ke arah kehidupan yang lebih baik,” kata beliau ketika merasmikan pembukaan Hinger Institution Expedition and Camping (Hinex Camp) Ke-9, di TATiUC, Kemaman, kelmarin (10 Jun).

Hadir sama, Rektor TATiUC Dr Mohd Rozailan Mamat dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dato’ Kaharudin Mo’min.

Seramai 220 Pengakap dari seluruh IPT menyertai perkhemahan dwi tahunan yang pertama kali diadakan di TATiUC sebagai kesinambungan dan keberkesanan program kepengakapan di peringkat IPT.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh