Halaman

08 July 2009

Anjur Aktiviti Mampu Tarik Minat Pelancong

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kuala Terengganu - 6 Julai 2009

Muzium Negeri Terengganu antara agensi kerajaan yang aktif menganjurkan aktiviti bertujuan memupuk semangat pelancong cintakan seni dan warisan Terengganu.



Datuk Za'abar diberi penerangan mengenai lukisan yang dilukis peserta oleh Ketua Juri Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2009, Prof Madya Porinin Amin. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Pelbagai aktiviti tahunan anjuran agensi kerajaan dan swasta berupaya menarik minat jutaan pelancong luar dan tempatan berkunjung ke negeri ini.

Terbaru, Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2009 antara alternatif untuk tujuan sama selain dapat mencungkil bakat masyarakat terutama peminat seni lukis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato Za’abar Mohd Adib, berkata pertandingan itu menjadi strategi untuk menggalakkan pelancong domestik datang ke Terengganu seterusnya melawat muzium negeri.


Peminat lukisan melihat lukisan yang dilukis oleh peserta Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2009 di Muzium Negeri, Bukit Losong.

“Pertandingan dianjurkan ini, termasuk dalam 10 aktiviti tetap tahunan yang dianjurkan agensi kerajaan itu.

“Kira-kira 150 peserta dari pelbagai negeri menyertainya. Berdasar sambutan menggalakkan dan meningkat setiap tahun itu, muzium negeri bersetuju meneruskan pertandingan sama pada masa akan datang,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan itu di muzium negeri, Kuala Terengganu, semalam (6 Julai).

Hadiah keseluruhan bagi pertandingan itu berjumlah RM46,000 bagi dua kategori iaitu spontan dan karya siap.

Dato’ Za’abar berkata, melalui pertandingan yang dianjurkan itu pihak muzium secara tidak langsung dapat membantu menggiatkan karyawan seni yang selama ini ketandusan aktiviti selain dapat menambah koleksi lukisan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

Kuaters Imigresen Negeri Dibangunkan di Marang

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Marang, Terengganu - 7 Julai 2009

Kuaters Imigresen Negeri Terengganu yang mampu menempatkan kira-kira 300 kakitangan jabatan itu bakal dibina di persimpangan Kampung Jenang, Marang menerusi projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh, tidak lama lagi.



Seorang murid Tahun Lima mendaftar selepas menerima e-Book daripada YB Yahya di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata kemudahan kepada kakitangan Imigresen Depot Ajil dan Penjara Marang, akan dimajukan di atas tanah seluas 6.8 hektar, di mana lokasinya berada di tengah-tengah antara dua jabatan persekutuan berkenaan.

“Secara tidak langsung pertambahan pembangunan berkenaan, selain kem FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) di Wakaf Tapai (Marang) yang akan siap pada tahun depan dan kemasukan anggota kerjanya pada akhir tahun depan.

“Saya difahamkan antara 500 hingga 1,000 anggota FRU. Sedikit sebanyak dapat menambahkan pengundi baru di Pengkalan Berangan dan Marang, antara 1,000 hingga 1,500 pengundi,” kata beliau selepas menyampaikan 405 unit e-Book kepada murid Tahun Lima di empat sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Berangan, Marang, hari ini (7 Julai).


YB Yahya menyampaikan e-Book kepada seorang murid Tahun Lima pada majlis penyampaian e-Book DUN Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang.

Daripada jumlah itu, seramai 115 murid dari SK Merchang, SK Bukit Sawa (141 murid), SK Wakaf Tapai (87 murid) dan SK Pengkalan Berangan melibatkan 62 murid yang menerima e-Book masing-masing dengan diiringi ibu atau bapa masing-masing.

Menurut YB Yahya, Dun Pengkalan Berangan merupakan Dun pertama yang menerima e-Book daripada keseluruhan hampir 2,000 penerima buku elektonik berkenaan di daerah itu.

Sementara itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka dan mengawal tindak-tinduk anak mereka yang proaktif dan bertindak negatif dengan menyalahguna penggunaan buku elektronik terutama memasukkan bahan lucah atau sebagainya.

“Dari segi pengisian, khusus untuk aspek sukatan pembelajaran, namun tidak dinafikan kecanggihan teknologi maklumat menyebabkan pelajar menggunakan e-Book ke arah negatif.

“Kita harap kerjasama ibu bapa supaya dapat mengawal dan membendung daripada proaktif anak kita dari segi penggunaan internet dan juga perkhidmatan selular komunikasi,” katanya.

YB Yahya berkata, kerajaan tidak mampu mengawal penggunaan e-Book walaupun sudah dimasukkan perisian sukatan pembelajaran dan mengharapkan kerjasama ibu bapa selain kawalan pihak sekolah.

Beliau berkata, kecanggihan bahan komunikasi seperti `broadband’ yang membolehkan pelajar menerokai pelbagai perkara tanpa had perlu dibendung oleh ibu bapa dan memastikan tidak berlaku penyalahgunaan buku elektonik berkenaan.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh

06 July 2009

Sembilan Teras Utama Jana MPPT

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kuala Terengganu - 5 Julai 2009

Ilmu, amanah, cakna, keterbukaan, setia, muafakat, cemerlang, istikamah dan bersyukur menjadi sembilan teras bagi mencapai agenda `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang menjadi landasan utama menjayakan pentadbiran kerajaan hari ini.



Peserta terdiri daripada pegawai kanan kerajaan berbincang ketika menyertai bengkel Anjakan Paradigma Mencapai Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kesemua teras yang digariskan menjadi asas bagi memastikan agenda kerajaan itu digerakkan secara bersepadu oleh semua pihak dan pada masa yang sama prinsip berkenaan haruslah dihayati secara menyeluruh, bukan sahaja di kalangan jentera kerajaan tetapi juga oleh rakyat.

Demikian antara rumusan yang dicapai peserta bengkel Anjakan Paradigrama Mencapai Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, pada hari kedua program itu, hari ini (5 Julai).

Seramai 60 peserta dari kalangan pegawai kanan kerajaan menyertai bengkel tiga hari bermula 4 Julai lalu yang bertujuan menggariskan prinsip utama agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.

Manakala tujuan kedua program, membincangkan secara terperinci setiap prinsip merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta menghasilkan modul utama agenda sama ada dalam bentuk dokumentasi atau modul rujukan utama yang menghuraikan secara lengkap agenda merakyat pentadbiran dan pembangunan.

Matlamat terakhir adalah supaya prinsip merakyatkan pentadbiran dan pembangunan dapat difahami dan dibudayakan oleh jentera kerajaan dan seluruh rakyat.

Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Encik Wan Ahamad Wan Muda, berkata prinsip yang digariskan haruslah berdasarkan teguran pucuk pimpinan terutama Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Katanya, sebagai rakyat Terengganu, mereka harus faham agenda yang mahu direalisasikan oleh Menteri Besar yang bertujuan mengutamakan rakyat dalam segala aspek sama ada pentadbiran atau pembangunan.

Malah beliau turut memetik ucapan Menteri Besar, iaitu `kalau rakyat mahu berubah, kita perlu berubah dan mesti mengubahnya’.


Bengkel berjaya menggariskan sembilan teras bagi mencapai agenda `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan'.

“Setiap program yang dilaksanakan oleh kerajaan haruslah dapat dinikmati secara terus oleh rakyat selain mendatangkan faedah kepada mereka. Sebagai contoh, program pembangunan dalam bentuk ekonomi `chain-reaction’ akhirnya dapat dinikmati secara terus oleh rakyat,” kata beliau.

Malah, sepuluh teras pembangunan sesebuah kerajaan adalah pendidikan dan sumber manusia; pembasmian kemiskinan dan penjanaan pendapatan rakyat; pembangunan sktor ekonomi secara lebih fokus; industri kecil sederhana dan keusahawanan.

Lain-lain teras pembangunan termasuklah infrastruktur, kemudahan asas dan komunikasi; penyediaan perumahan; pembangunan bandar dan pusat pertumbuhan; alam sekitar dan sumber asli; pembangunan masyarakat dan sosial serta pengurusan awam.

Katanya, fokus kerajaan negeri pada hari ini adalah memberi keselesaan kepada rakyat di semua peringkat.

Pada masa yang sama, jentera kerajaan juga harus mengambil berat dan menekankan teguran dan pesanan Menteri Besar terutama pentadbiran yang mesra rakyat; pegawai yang sentiasa turun padang untuk berjumpa rakyat; menjaga amanah; tidak menangguh kerja; memendekkan masa menunggu; disiplin dan menepati masa; kebersihan; kepentingan ilmu dan perubahan sikap.

Malah, kelemahan pekerja kerajaan akan diterjemahkan oleh rakyat sebagai kelemahan kerajaan dan jentera kerajaan harus menjalankan peranan masing-masing dengan bertanggungjawab supaya kerajaan yang ada akan terus dihormati dan mewujudkan sebuah pentadbiran yang kuat.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)

berita penuh