Halaman

06 September 2009

Umno Terengganu Masih Mampu Pertahan Negeri : Hishammuddin

SETIU, 4 Sept (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Barisan Nasional (BN) masih berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kerajaan Terengganu walaupun Umno negeri menghadapi masalah dalaman.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata keyakinannya itu bersandarkan kepada kedudukan Umno negeri itu yang bertambah baik berbanding sebelum ini disebabkan sekumpulan wakil rakyat BN tidak sehaluan dengan Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

"Memang tidak dinafikan ada satu, dua perkara yang perlu ditangani. Namun kedudukan Umno Terengganu kini jauh lebih baik berbanding sebelum (kemelut politik) ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis gotong royong membina wakaf di pantai Kampung Penarik di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian Besut.

Hishammuddin berkata di negeri lain, Umno turut menghadapi beberapa masalah namun dengan bantuan daripada pucuk pimpinan parti, kemelut yang timbul dapat diselesaikan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah dalaman Umno Terengganu.

"Saya berterima kasih sangat jika Timbalan Perdana Menteri sendiri boleh membantu menyelesaikan satu, dua perkara (dalam Umno Terengganu) manakala yang lain, saya dan Menteri Besar boleh selesaikan.

"Ini kita akan buat cara kitalah...senyap-senyap dan berhubung terus dengan personaliti pemimpin tertentu," katanya.

Semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu di Hulu Terengganu, Muhyiddin menawarkan diri membantu Hishammuddin bagi menyelesaikan kemelut membabitkan sekumpulan wakil rakyat BN yang tidak sehaluan dengan Menteri Besar itu.

Ditanya mengenai sebahagian besar wakil rakyat BN yang tidak hadir pada perjumpaan dengan Muhyiddin, Hishammuddin berkata perkara itu berlaku disebabkan terdapat tiga acara berasingan yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri di negeri itu, semalam.

"Semalam ada tiga program iatu mesyuarat dengan empat peringkat Umno Terengganu, majlis berbuka puasa serta solat Isyak dan terawih. Saya dapat laporan, hampir kesemua mereka hadir pada setiap satu program yang diadakan itu.

"Memang kita lihat begitu ketara pada mesyuarat empat peringkat Umno apabila ramai daripada mereka tidak hadir. Tetapi program kedua dan ketiga mereka ada, jadi itu bukan menjadi petanda (Umno Terengganu berpecah)," katanya.

Hishammuddin bersama ahmad dan pemimpin Umno negeri yang lain mengambil inisiatif untuk turun padang menyelami dan bermesra dengan rakyat dengan menyertai program "Semarak Tganun Kite" di Kampung Penarik, bermula malam semalam.

Pada program yang berakhir hari ini, pemimpin-pemimpin Umno menjadi anak angkat kepada beberapa penduduk kampung dan mereka bersahur di rumah keluarga angkat masing-masing selain terlibat dengan aktiviti membina wakaf.

"Saya sangat seronok dan tak boleh lupa apabila menjadi anak angkat kepada Mak Teh di Kampung Penarik. Banyak cerita menarik yang mereka lalui.

"Walaupun kehidupan Mak Teh tidak selesa seperti orang biasa, dia dalam keadaan yang cukup gembira, jauh lebih senang daripada orang kaya," kata Hishammuddin.

-- BERNAMA

Maidam Mula Agih Bantuan Zakat

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kira-kira 40,000 golongan fakir dan miskin di negeri ini mula menerima bantuan zakat membabitkan peruntukan hampir RM10 juta, sempena Ramadan ini.

Sumbangan itu disempurnakan Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam) secara berperingkat mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Haji Mazlan Hashim, berkata sejumlah RM36.5 juta sudah diagihkan kepada kira-kira 45,000 penerima yang berlayakan termasuk mualaf, sehingga Ogos lalu.

Katanya, dalam tempoh sama, kutipan wang zakat yang dibayar pelbagai agensi termasuk anak syarikat kerajaan serta swasta berjumlah RM30juta.

“Bagi tahun ini iaitu berakhir Disember, Maidam mensasarkan kutipan zakat berjumlah RM60 juta iaitu kurang RM6 juta berbanding pungutan tahun lepas.


Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan menghantar SMS gimik kepada Pelancaran Zakat Fitrah Melalui SMS di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Pihak kami mengambil keputusan mengurangkan sasaran kutipan itu kerana menyedari faktor kelembapan ekonomi, jika ianya pulih, pungutan dijangka kembali stabil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pembayaran Zakat Fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS), di pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini (3 September).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan Naib Presiden Kawasan Timur, Celcom (Malaysia) Berhad, Dato’ Sulaiman Ahmad.

Melalui kaedah itu pengguna tidak perlu ragu kerana sistem itu menyediakan akad sama seperti pembayaran di kaunter zakat dan mendapat pengiktirafan serta kebenaran Pusat Zakat Negeri.

Dato’ Mazlan berkata, dengan wujudnya kemudahan ini, pihaknya tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan untuk tidak melunaskan tuntutan wajib itu.

Katanya, perkhidmatan inovatif ini diperkenalkan kepada umat Islam semata-mata untuk memudahkan pembayaran zakat.


Seorang pelanggan membayar zakat melalui telefon bimbit dengan menghantar SMS.

“Apa yang menarik, mereka termasuk perantau tidak perlu singgah di mana-mana kaunter pembayaran sebaliknya hanya menggunakan sms.

“Syarat dan aturan pembayaran akan dihantar dalam tempoh beberapa saat sekiranya individu itu bersetuju membayarnya,” katanya.

Terengganu adalah negeri kelima menggunakan kaedah percuma ini dan bakal mendapat sambutan menggalakan daripada pengguna.

UKOM

Serikandi Agih Kuih Raya Kepada Pasukan Keselamatan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Pemberian ini tidak seberapa berbanding pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negara daripada ancaman musuh dan dilihat sentiasa bersiap sedia memberi khidmat kepada rakyat jelata.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud berkata demikian di majlis Penyerahan Bungkusan Raya Untuk Pasukan Keselamatan Negeri Terengganu di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini (3 September).

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC II Hamzah Md. Jamil; Pegawai Pemerintah 18 RAMD, Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Lt. Kol Mohd Sobirin Mohd Yusof; Pegawai Rejimen 512 AW, Kem Padang Midin, Lt Kol. Khairuddin Mohd Ali; Penguasa Kanan II Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, Md Ridzuan Hasan dan wakil Pegawai Pemerintah Batalion 9, PGA Gong Badak, ASP Tuan Yusof Ujang.

Dalam majlis tersebut sebanyak 2,950 bungkusan kuih raya telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) (1,000 bungkus), Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Pantai (1,000), Rejimen 512 Askar Wataniah (AW), Kem Padang Midin (250), Bomba dan Penyelamat (500) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6, Gong Badak, Kuala Terengganu 200 bungkus.


To` Puan Norliza bersama wakil pasukan keselamatan pada majlis penyerahan bungkusan kuih Raya di Kediaman Seri Iman. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Sumbangan ini sebagai penghormatan dan tanda kasih Serikandi di atas pengorbanan pasukan keselamatan menjaga keamanan tanpa mengira masa dan waktu,” kata To’ Puan Norliza yang juga isteri Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Katanya, di samping mengagihkan kuih raya kepada pasukan keselamatan, Serikandi turut aktif membantu golongan miskin, warga emas dan kurang upaya melalui ahli Serikandi yang berada di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sempena bulan baik (Ramadan) ini kita telah membelanjakan lebih kurang RM90,000 untuk sumbangan hari raya termasuk menyediakan rendang dan beberapa jenis biskut raya kepada pasukan keselamatan,” katanya.

To’ Puan Norliza seterusnya berharap dengan pemberian ini terjalinnya ikatan silaturrahim antara pasukan keselamatan dan Serikandi serta dapat berganding dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan pada masa-masa akan datang.

UKOM



Promosi Media, Budi Bahasa Harus Selari

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kemajuan sektor pelancongan di negeri ini bukan hanya bersandarkan promosi besar-besaran melalui media massa, sebaliknya turut menuntut sikap ramah dan budi bahasa masyarakat tempatan melayani tetamu, terutama pelancong luar yang berkunjung ke Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata masyarakat tempatan haruslah sentiasa bersedia menerima kedatangan pelawat ke tempat mereka, selain menghormati dan memberikan layanan yang terbaik apabila disapa oleh pelancong.


Dato' Zaabar, Pengurus Besar MTPN, Fathil Abd Ghani dan Ayob bergambar bersama pemenang Pertandingan Fotografi sempena Pesta Terengganu 2009. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Tidak dinafikan peranan media mempromosikan Terengganu berjaya meletakkan negeri ini sebagai destinasi percutian dan pelancongan terbaik. Tetapi pada masa yang sama, pelancongan juga harus selari dengan sikap, cara kita terima pengunjung, cara kita berbahasa dan menunjuk arah kepada pengunjung.

“Apabila kita terapkan cara itu, pastinya hasrat kepimpinan negeri menjadikan pelancongan sebagai tulang belakang ekonomi negeri dan memberi faedah kepada ramai rakyat dapat direalisasikan,” katanya di Majlis Berbuka Puasa Majlis Pelancongan negeri Terengganu (MTPN) bersama media, di Taman tamadun Islam, Kuala Terengganu, petang semalam (2 September).

Hadir sama, Pengarah Muzium Negeri, Haji Yusof Abdullah, Pengarah Penerangan Negeri, Hajah Halimton Hamza dan Presiden Kelab wartawan Terengganu (Kawat), Encik Ayob mamat.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang utama pertandingan fotografi sempena Pesta Terengganu yang berlangsung pada bulan lalu, di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu.

Jurugambar Utusan Melayu, Mohd Fauzi Baharuddin berjaya memenangi RM1,000 hasil foto bertajuk `Hanya bayang-bayang’, diikuti Syed Mohd Azam Tuan Shayed mendapat RM750 menerusi foto `Sukarnya lahirkan sehelai kain’. Manakala Aziz Che Man di tempat ketiga dengan foto bertajuk `Goyang Bali dan menerima RM500’.

Sementara itu, seramai 15 peserta pertandingan menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM200 setiap seorang.

Pertandingan anjuran MTPN dengan kerjasama Kawat menjadi antara platform untuk mempromosikan keindahan produk pelancongan Terengganu menerusi rakaman foto-foto serta sebagai kesinambungan pertandingan fotografi sempena `Colours Of Malaysia’ tahun lalu.

UKOM

Kanak-kanak Kurang Upaya Perlu Bimbingan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kanak-kanak kurang upaya perlukan perhatian dan bimbingan daripada orang normal dan dapat merasai kehidupan seperti insan lain.

“Mereka berhak mendapat kasih sayang seperti insan normal lain dan menjadi tanggung jawab bersama membantu insan istimewa ini,” kata Penasihat Taman Sinar Harapan (TSH), To’ Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail, dalam kunjungan mesra ke TSH, Kuala Terengganu hari ini (2 September).

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu, Encik Zuhami Omar dan Pengetua TSH, Encik Fadhuli Wahab serta pelatih-pelatih TSH.

To’ Puan Seri Wan Hidayah yang juga isteri kepada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman melahirkan rasa syukur dan bangga apabila dilantik menjadi penasihat TSH dan berminat dengan kerja-kerja amal seperti membantu golongan tidak bernasib baik.


To' Puan Seri Wan Hidayah dan To' Puan Norliza bersama anak-anak istimewa ketika melawat Taman Sinar Harapan, Bukit Besar. -Foto Ihsan Utusan Malaysia

“Saya harap orang ramai turut sama tampil memberi komitmen agar mereka tidak rasa tersisih daripada masyarakat,” katanya yang juga Pengerusi Badan Amal Wanita Profesional Negeri Terengganu (Berkat).

Katanya, masyarakat juga tidak wajar menyisihkan kanak-kanak ini kerana mereka juga berhak menikmati kehidupan seperti insan lain, cuma takdirnya mereka diahirkan dengan serba kekurangan.

TSH mempunyai 73 pelatih (penghuni) yang berusia setahun hingga 30 tahun yang sebahagiannya tidak tahu mengurus diri dan mereka dijaga dan dibimbing 49 kakitangan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, To’ Puan Norliza turut menyeru orang ramai atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersama-sama menyumbang untuk memberi kegembiraan penghuni di sini.

“Mereka ini perlukan perhatian dan dapat membesar dalam keadaan penuh kasih sayang walaupun bukan daripada ibu bapa sejati mereka,” katanya.

To’ Puan Norliza juga berharap pekerja di TSH sentiasa bersabar ketika menghadapi pelbagai kerenah daripada penghuninya dan sedar tugas yang dilaksanakan itu begitu mulia disisi Allah SWT.

Selaku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), beliau kemudiannya turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada penghuni TSH.

UKOM