Halaman

01 November 2009

Pemangku Raja Terengganu Berangkat Ke Kempori Diraja

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan bersama Tengku Nadhirah merangkak melepasi halangan pada Kempori DiRaja Pengakap Negeri Terengganu 2009 di Kem Telaga Batin, Seberang Takir, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan kekandanya Tengku Nadhirah Zahrah ke Kempori Diraja Pengakap Negeri Terengganu 2009 di Kem Telaga Batin, Seberang Takir memberi suntikan semangat kepada 1,200 peserta dari sekolah rendah dan menengah seluruh negeri.


Peserta tambah teruja apabila berpeluang mengadakan aktiviti bersama putera dan puteri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, sepanjang empat hari tiga malam program berlangsung.


Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan (tengah) bersama Tengku Nadhirah diberi taklimat oleh Ahli Majlis Pengakap, Ariffin Othman (kanan) mengenai simpulan ikatan pengakap

Pelbagai aktiviti diadakan saperti jambatan monyet, permainan wau, masakan rimba dan pameran pengakap negeri Terengganu di mana semua peserta menyertai aktiviti yang diatur pihak penganjur dengan penuh rasa tanggung jawab dan semangat yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kempori Diraja, merangkap Pengerusi Jawatankusa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber negeri, YB Encik Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Encik Othman Ismail berada bersama peserta sepanjang program berlangsung.

Ternyata keberangkatan Pemangku Raja ke majlis tahlil dan solat Isyak serta menyertai aktiviti malam unggun api bersama peserta mencatat sejarah tersendiri dan meninggalkan kenangan manis kepada pihak penganjur dan para peserta.


Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan (tengah) bersama Tengku Nadhirah berkenan mencuba permainan terompah gergasi pada Kempori DiRaja Pengakap Negeri Terengganu 2009 di Kem Telaga Batin, Seberang Takir

“Aktiviti yang disediakan memang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta dalam usaha membentuk mereka supaya mampu berdikari dan tidak terlalu bergantung harap dengan pertolongan orang lain,” kata Pesuruhjaya Pengakap Terengganu, Encik Othman Ismail.

Beliau seterusnya berharap peserta memanfaatkan program yang diatur oleh pihak penganjur sebaik mungkin, bagi menguji ketahanan diri kerana aktiviti lasak yang disediakan berguna untuk membina masa depan yang lebih mencabar.

UKOM

berita penuh

Jurunikah Terima Kenaikan Elaun 150 Peratus

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Jurunikah bertauliah seluruh Terengganu yang tidak pernah menerima kenaikan elaun sejak 25 tahun lalu mula mendapat khabar gembira apabila kerajaan negeri menaikkan elaun bulanan 150 peratus berkuatkuasa Mei lalu.


Sebelum ini jurunikah menerima RM60 dan jumlah itu meningkat kepada RM150 sebulan termasuk tambahan lain seperti bayaran yang dikenakan kepada pasangan pengantin serta insentif daripada Jabatan Hal Ehwal Agama bagi pendaftaran setiap pernikahan yang berlangsung.


YB Muhammad Ramli Nuh (kiri) menyampaikan elaun kepada jurunikah bertauliah di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.

“Walaupun elaun yang kerajaan beri tidak seberapa namun ada antara jurunikah beroleh pendapatan mencecah RM4,000 sebulan,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Muhammad Ramli Nuh di majlis perjumpaan dan penyampaian elaun kepada jurunikah-jurunikah negeri Terengganu di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam (27 Oktober).

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail; Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam, Ustaz Ismail Abdul Ghani dan Pengerusi Persatuan Jurunikah Terengganu, Encik Shafie Jusoh.

Selain elaun RM150 sebulan daripada kerajaan negeri, jurunikah turut menerima bayaran dari pasangan pengantin RM60 dan insentif RM50 dari JHEAT bagi setiap pendaftaran perkahwinan.

Menurut YB Muhammad Ramli terdapat 171 jurunikah yang bertauliah seluruh negeri ini termasuklah jurunikah negeri 16 orang, daerah Kuala Terengganu (49 orang),Kemaman (15), Dungun (14), Besut (26), Hulu Terengganu (13), Marang (12) dan Setiu (12).

Katanya, jurunikah turut diingatkan supaya sentiasa menjaga imej jabatan ketika menjalankan tugas serta mematuhi pemakaian jubah (seragam) yang disediakan oleh jabatan kepada setiap jurunikah.

“Tauliah mereka dipersetujui oleh DYMM Sultan dan mereka perlulah mematuhi syarat yang terkandung dalam pentauliahan serta tidak melangkaui kawasan yang ditetapkan dalam lantikan di samping wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

UKOM


berita penuh