Halaman

11 November 2009

MBKT Berubah Wajah Dalam RMK-10

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar turut melancarkan buku Pelan Strategik dan Pelan Komprehensif Sumber Manusia pada sambutan Hari Kualiti MBKT di Stadium Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sebuah jambatan yang menghubungkan Losong, Pulau Sekati dan Teluk Pasu akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10) yang bermula tahun hadapan.

“Projek ini telah diluluskan dalam RMK-9, tetapi terdapat rombakan untuk melebarkan jalan, jadi penilaian semula perlu dibuat membabitkan urusan pengambilan balik tanah,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita di majlis sambutan hari kualiti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Stadium Negeri Kuala Terengganu, hari ini (10 November).



Turut hadir, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Mat Razali Kassim; Pengarah Urusan Sirim Berhad, Dato’ Mariani Mohamad dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Encik Razali Husein.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan juga sedang merangka pelan pembangunan dalam bandar bermula dari kampung Ladang Tok Pelam hingga ke Kampung Tanjong Kapor dalam usaha merubah wajah bandar raya ini dengan anggaran kos mencecah ratusan juta ringgit.

“Dengan pembangunan yang dirancang diharap tidak ada lagi kekotoran atau bangunan lama yang terbiar dan mencacatkan pemandangan selama ini terutama di kawasan pesisir pantai.

“MBKT juga akan memiliki bangunan sendiri setinggi 18 tingkat di kawasan hadapan plaza Kampung Tanjung Kapor akan dibina tahun depan dan kini dalam peringkat menyiapkan reka bentuk bangunan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga merancang membina tempat letak kereta lima tingkat tahun depan di hadapan Wisma Darul Iman bagi mengatasi masalah parkir dan memberi keselesaan kepada kakitangan awam serta orang ramai yang ingin membuat urusan di jabatan-jabatan kerajaan berhampiran.

Dalam majlis tersebut Menteri besar turut melancarkan Buku Pelan Strategik dan Pelan Komprehensif Sumber Manusia dan penyampaian Sijil MS ISO 9001:2008 oleh Sirim Berhad serta penyampaian Sijil Amalan 5S MBKT oleh MPC.


Ab,dillah Awang, pekerja MPKT menerima Anugerah Datuk Bandar daripada Dato' Ahmad Said sambil disaksikan Dato' Mat Razali Kassim.

Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) MBKT, Encik Ab,dillah Awang Besar, 50, diumumkan sebagai penerima Anugerah Datuk Bandar dan menerima hadiah wang tunai RM2,000, plak serta sijil penghargaan.

Seramai 77 kakitangan MBKT di pelbagai unit dan pangkat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008.

UKOM

Maidam terima zakat perniagaan

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad menyaksikan penyerahan cek zakat perniagaan dari Ketengah dan anak syarikat yang diterima Maidam di Pejabat Menteri Besar. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Hamzah Ngah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM441 ribu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Haji Wan Harujan Sulaiaman di Majlis Penyerahan Wang Zakat .

Majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (10 November) di saksikan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Encik Hamzah berkata, jumlah itu berdasarkan hasil keuntungan anak syarikat milik Ketengah sepanjang sepuluh bulan pertama.

“Antaranya adalah Kumpulan anak syarikat Ketengah Holding (Syarikat Perladangan) menyerahkan wang zakat berjumlah RM387,000 dan Rakyat Ketengah Pewira Sdn Bhd (RM54,000).

“Walaupun dunia kini mengalami kegawatan ekonomi, Ketengah bersyukur kerana mampu membayar zakat seperti yang disasarkan,” katanya.

UKOM

Jefree juara Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan 2009

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Tuanku Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan menyampaikan hadiah kepada Jefree Zainuddin penunggang pasukan Royal Terengganu Endurance Stable selepas muncul johan keseluruhan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan 2009 sambil disaksikan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan, ,di majlis yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, petang semalam (8 November).

Turut berangkat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri merangkap Pengerusi Pengelola Kejohanan, Datuk Abdul Rahim Mohd Said.


Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori kuda terbaik.

Jefree Zainuddin Mohamad Arif, 25, muncul juara dan menerima hadiah wang tunai RM34,000, piala pusingan dan trofi kejohanan. Penunggang dari pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) berasal dari Kuang, Selangor ini mencatat masa sembilan jam 13 minit dan 14 saat.

Tempat kedua dimenangi oleh Dato’ Mohd Shuib Ishak mewakili pasukan Ar-Raudah Equine Centre yang menerima wang tunai RM23,800 dan trofi manakala tempat ketiga Ahmad Syazmeer Shamsuddin dari pasukan Tengku Mahkota Kelantan Equestrian menerima wang tunai RM17,000 dan trofi.

Hanya 13 penunggang berjaya menamatkan perlumbaan daripada 60 peserta yang menyertai perlumbaan dalam kategori 120 kilometer yang berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong Setiu, bermula 6 hingga 7 November lalu.


Dato' Ahmad menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Jerfee Zainuddin ketika ditemui pemberita melahirkan rasa terkejut diumum sebagai juara kerana persaingan amat sengit namun bersyukur dan mengakui terbabit dalam sukan berkuda sejak berusia 12 tahun.

UKOM

10 November 2009

ITC Jadi Milik TATiUC

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyerahkan ITC di teluk Kalong Kemaman kepada TATiUC untuk dijadikan asrama pelajar yang membuat ijazah lanjutan dan pelajar luar negara. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri akan menyerahkan Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) di Teluk Kalong, Kemaman kepada TATI University College (TATiUC) untuk dijadikan asrama bagi kemudahan pelajar yang membuat ijazah lanjutan dan pelajar luar negara.

“Keputusan tersebut diambil dalam mesyuarat Exco yang berlangsung pagi tadi,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, petang semalam (11 November).

Katanya, ITC mempunyai 216 bilik yang dilengkapi kemudahan ICT bertaraf dunia dan amat sesuai untuk TATiUC menempatkan para pelajarnya yang mengikuti pelbagai kursus diploma dan ijazah.

“Kerajaan akan membuat penyerahan kepada pihak pengurusan kolej dalam masa terdekat ini setelah mendapat tarikh yang sesuai,” katanya..

Pembinaan ITC yang dilakukan mengikut konsep Harvard Business School dimulakan pada Mei 2005 dan siap sepenuhnya pada Febuari 2008.

Namun dalam lawatan Menteri Besar Ke ITC pada Jun lalu mendapati beberapa kerosakan kecil yang perlu dibaiki segera sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

UKOM


Indonesia dan UAE tempah e-Book
Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dua pelajar kembar mencuba e-Book selepas menerimanya daripada Menteri Besar, Dato' Ahmad Said dalam majlis pengagihan papan digital itu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara negara yang berminat mengaplikasikan penggunaan e-Book kepada pelajar mereka selepas kerajaan Terengganu memperkenalkan papan digital itu kepada pelajar Tahun Lima sejak pertengahan tahun lalu.

Kedua-dua negara berkenaan masing-masing menempah 200 unit bagi menguji keberkesanan bahan elektronik itu sebelum digunakan secara menyeluruh.



Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Indonesia dijangka akan menempah 50,000 unit e-Book daripada kerajaan negeri sekiranya mereka dapat menerima sistem pembelajaran berkonsepkan teknologi elektronik.

Katanya, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang pula antara negeri yang turut menyatakan minat menggunakan e-Book, bagaimanapun kekangan kewangan menyebabkan hasrat negeri berkenaan sukar direalisasikan.

“Ada negeri berminat seperti Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang. Masalah sekarang mereka kekurangan sumber kewangan.

“Mereka boleh melaksanakan tidak sebagaimana Terengganu. Terengganu agih terus (e-Book), mereka mungkin sistem pinjaman. Sasaran sampai darjah enam atau darjah lima, selepas itu serah balik dan orang lain pula gunakan,” kata beliau kepada media selepas menyampaikan 1,088 unit e-Book kepada pelajar Tahun Lima di 12 sekolah rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (9 November).

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Ustaz Muhamad Ramli Nuh.
]
Menteri Besar berkata, buku teks yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat mungkin tidak lagi releven untuk digunakan selepas ini, sebaliknya Kerajaan Pusat boleh menggunakan e-Book dan sekiranya tidak mencukupi kerajaan negeri boleh menampung keperluan itu berdasarkan perjanjian yang dibuat.

Beliau berkata, Kerajaan Terengganu yang sudah mendapat kebenaran Intel bersedia membekal secara kredit atau membayar pendahuluan kepada negeri yang berminat untuk mendapatkan bekalan e-Book.


Pelajar sekolah dalam DUN Tepuh menerima e-Book daripada Menteri Besar.

Sementara itu, pada tahun depan lebih 50,000 pelajar dijangka dapat menggunakan kemudahan itu termasuk pelajar Tahun Empat dan Lima.

Manakala pelajar Tahun Lima pada tahun ini akan terus menggunakan kemudahan itu pada sesi persekolahan tahun depan dengan menambah perisian baru bagi memenuhi kandungan pembelajarannya pada tahun berkenaan.

UKOM

08 November 2009

Tuanku Mizan Ketuai Cabaran 120 Kilometer

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (Jersi No. 111) menunggang Jakim Murphy mengetuai 12 peserta pasukan Royal Terengganu Endurance pada acara 120 kilometer kejohanan Sultan Cup Terengganu Endurance Challenge 2009 di Terengganu International Endurance Park Lembah Bidong, Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kuda Jakim Murphy menjadi taruhan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam acara 120 kilometer kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2009, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, bermula petang kelmarin (7 November).

Baginda yang mengenakan jersi 111 mengetuai pasukan Royal Terengganu Endurance bersaing dengan 59 lagi peserta yang mewakili 21 pasukan dari seluruh negara.

Lapan negara menyertai kejohanan kali ini termasuk Uruguay, Australia, New Zealand, Chile, Thailand, Amerika Syarikat dan tuan rumah, Malaysia.


Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan merasmikan pelepasan peserta diringi Menteri Besar, Dato' Ahmad Said dan Datuk Abdul Rahin.

Perasmian pelepasan peserta disempurnakan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, di pentas hadapan TIEP, jam 5 petang.

Berkenan hadir, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan tiga lagi anakanda baginda.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri , To’ Puan Nurliza Mahmud, exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan turut hadir menyaksikan majlis pelepasan itu.

Selain Tuanku Mizan, pasukan Royal Terengganu Endurance turut diwakili lapan peserta lain. Manakala tujuh penunggang mewakili pasukan Terengganu atau Stable Terengganu Endurance Team (STET).


Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika berhenti di `Water Point' ketika menyertai acara 120 kilometer kejohanan Sultan Cup Terengganu Endurance Challenge 2009.

Pihak penganjur menaikkan jumlah hadiah kejohanan kali ini daripada RM18,000 kepada RM34,000, manakala hadiah tempat kedua RM25,000 dan ketiga RM18,000. Hadiah keempat dan kelima masing-masing RM13,000 dan RM6,800.

Persaingan melibatkan empat `loop’ dengan jarak 120 kilometer dan dijangka perlumbaan tamat kira-kira jam 7 pagi hari ini (8 November).

Sementara itu, peserta yang menamatkan perlumbaan mengikut masa ditetapkan bakal menerima hadiah bonus berjumlah RM3,400 seorang.

UKOM

MB Lawat Mangsa Banjir

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Dato' Ahmad bertanya khabar mangsa banjir yang kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Payung, Besut ketika membuat tinjauan di Hulu Besut. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengkaji jalan Jertih – Keruak bagi tujuan menaik taraf jalan berkenaan agar penduduk di kawasan hulu Besut tidak terputus hubungan apabila berlaku banjir.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, kerajaan negeri sedia melululuskan peruntukan bagi melaksanakan projek berkenaan bagi menjaga kepentingan rakyat, khususnya penduduk di hulu Besut yang sering terputus hubungan setiap kali berlaku banjir.


Penduduk mengharungi banjir untuk berpindah ke tempat selamat selepas Kampung Gong Duek, Besut, dinaiki air.

“Kita akan minta JKR supaya mengenal pasti kawasan yang sering ditenggelami banjir dan membuat penilaian kos,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, petang ini (6 November).

Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kampung di hulu Besut ditenggelami air dan kira-kira 800 penduduk berpindah ke pusat pemindahan.

Warga emas dari Kampung Keruak menceritakan pengalaman kepada Menteri Besar selepas rumahnya dilimpahi air.

Menteri Besar yang diringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Haji Nawi Mohamad dan Adun Jabir, Haji Ramlan Ali, terpaksa menaiki lori Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dari Pasir Akar ke Bukit Payong kerana banyak kawasan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Hajat Menteri Besar dan rombongan untuk meninjau banjir di Kampung Oh juga tidak kesampaian kerana kenderaan berat tidak boleh lalu di beberapa kawasan jalan menuju kampung itu kerana ditenggelami air sedalam lebih satu meter.


Beliau yang terapksa berpatah balik meneruskan perjalanan menaiki lori hingga ke pekan Jertih bagi meninjau sendiri kawasan jalan yang ditenggelami air.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta penduduk di kawasan yang ditenggelami air banjir supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak bekuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.


Jalan Kampung Duek-Bukit Payong, Besut terputus hubungan kerana banjir.

Beliau meminta ibu bapa agar mengawasi anak-anak dan tidak leka bermain air banjir kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku pada musim bah.

UKOM