Halaman

19 November 2009

Terengganu Juara Sembilan Tahun Berturut-turut

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


CATAT SEJARAH LAGI...calon UPSR dari SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu gembira dengan keputusan masing-masing. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU - 19 November 2009 : Terengganu sekali lagi mencatat sejarah dalam pendidikan negara apabila muncul negeri terbaik buat kali kesembilan berturut-turut dalam keputusan Ujian pencapaian Sekolah Rendah 2009 yang diumumkan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), hari ini.

Daripada 23,944 calon yang menduduki UPSR di 381 pusat peperiksaan, 3,664 mendapat semua A atau 15.3 peratus iaitu peningkatan satu peratus berbanding 2008.


Seorang pelajar SK Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu diberi ucapan tahniah oleh nenek dan datuknya.

Pengarah JPNT, Haji Ariffin Embong, berkata keputusan UPSR kali ini juga meningkat dalam pencapaian minimum C kepada 68.8 peratus.

Katanya, nilai gred purata negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.22, nilai ini mengatasi pencapaian tahun lalu (2.24), selain mengatasi GPN peringkat nasional yang mencatat 2.33.

Beliau berkata, daripada keseluruhan mata pelajaran, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan baik apabila pada tahun ini, sebanyak 34.6 peratus mendapat A subjek Matematik berbanding 30.6 peratus pada 2008. Manakala Sains meningkat 7.8 peratus berbanding 21.8 peratus pada tahun lalu.

“Walaupun sasaran kita 20 peratus A tidak tercapai, keputusan 15.3 peratus mendapat semua A merupakan yang terbaik berbanding pencapaian negeri lain setakat yang dimaklumkan

“Kejayaan ini adalah hasil usaha, kerjasama dan perancangan rapi semua pihak terutama guru, murid, pentadbir sekolah, ibu bapa, komuniti masyarakat dan juga pegawai-pegawai jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan Pejabat Pelajaran Daerah,” katanya ketika sidang akhbar Pengumuman Keputusan UPSR 2009, di JPNT, hari ini.

Sementara sekolah yang berprestasi tinggi berdasarkan GPN sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud apabila 47.02 peratus daripada 168 calonnya memperolehi semua A.

Manakala 39.6 peratus daripada 101 calon dari SK Tengku Mahmud II memperolehi semua A.

Dalam pada itu, SK Sultan Sulaiman II muncul sekolah terbaik di Kuala Terengganu apabila 51 calonnya memperolehi semua A berbanding 42 calon pada tahun lalu.

Menurut Guru Besar SKSS II, Haji Ahmad Muda, jumlah calon yang mendapat A meningkat 5 peratus pada tahun ini berbanding 2008 lalu , selain melebihi sasaran 50 murid mendapat 5A .

Katanya, kejayaan cemerlang itu terhasil menerusi pelan strategik bermula awal tahun, selain penekanan akademik murid sejak tahap satu melalui kelas tambahan yang bersistem.


Guru Besar SK Sultan Sulaiman II dan juga guru-guru meraikan kejayaan pelajarnya yang mendapat 5A.

UKOM

18 November 2009

Adun dan kakitangan kerajaan perlu berganding bahu

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad melihat pameran Jubli Emas Dewan Undangan Negeri Terengganu di Muzium Negeri sambil ditemani Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; YB Ramli Nuh dan Pengarah Muzium Negeri, Encik Yusof Abdullah. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan kakitangan kerajaan diminta berganding bahu dan memberi komitmen sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah rakyat yang inginkan keselesaan hidup.

Mereka tidak sewajarnya menunding jari kepada mana-mana pihak sekiranya berlaku kejadian diingini sebaliknya selesaikan masalah itu secara bijaksana.


Pengunjung veteran mengimbau kembali kisah silam ketika penubuhan DUN Terengganu.

Menteri Besar, Dato; Ahmad Said berkata, sikap negatif yang ditunjukkan pihak berkaitan hanya memburukkan keadaan dan bukannya boleh menyelesaikan aduan.

“Perkara seperti ini secara tidak langsung mengambarkan imej kurang baik selain timbulnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.


Basikal yang digunakan ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.

“Imej positif perlu dipamerkan kerana sebagai pihak bertanggungjawab, kita perlu menghidupkan slogan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, semalam (16 November).

Pameran anjuran muzium dibuka kepada orang ramai selama 45 hari dan berakhir 31 Disember, mempersembahkan pelbagai aktiviti dan sejarah.

Program penuh bermanfaat itu, mampu menjadi sumber rujukan kepada pengunjung terutama pelajar selain memberi kesedaran betapa pentingnya peranan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri.


Bekas Speaker DUN (kiri) dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkongsi pengalaman menceritakan sejarah penubuhan DUN Terengganu.

Dato’ Ahmad berkata, orang ramai perlu merebut peluang berkunjung ke pameran yang dianjurkan ini kerana mampu mengenali pemimpin terdahulu dan mengetahui sejarahnya.

UKOM

17 November 2009

15 November 2009

Kanak-Kanak Jantung Berlubang Bakal Dibedah

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said bersama kanak-kanak berusia tiga tahun, Mohd Khaidil Sharifudin, yang menghidap penyakit jantung berlubang bakal dibedah di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur, di mana kos rawatannya akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penderitaan kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang, bakal berakhir tidak lama lagi, apabila kerajaan negeri bersetuju membiayai pembedahannya di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Jaminan untuk rawatan tersebut disampaikan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, yang melawat Adik Mohd Khaidill Sharifudin, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Lesong, Kemaman, pagi semalam (14 November).


Isteri Menteri Besar, To' Puan Norliza Mahmud turut melawat kanak-kanak jantung berlubang di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersetuju membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill di hospital itu di mana sebelum ini seorang kanak-kanak yang mengalami nasib sama, Mohd Ayub Mansor, turut dirawat di situ.

“Urusan berkenaan akan dilakukan segera dan pesakit akan dibedah oleh doktor pakar yang sama iaitu Dr David Khoo Sin Keat,” katanya yang turut diiring isteri, To’ Puan Norliza Mahmud.

Bapa pesakit, Sharifudin Yaacob, 36, berkata anak keempatnya itu menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan sering berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan.

“Saya dan keluarga bersyukur di atas kesudian kerajaan negeri menanggung kos pembedahan Mohd Khaidill. Kami harap dia akan menjalani kehidupan seperti rakan-rakan sebaya selepas menjalani pembedahan,” katanya dengan nada yang terharu.

Dato’ Ahmad berkata, pihaknya sedia menimbangkan bantuan perubatan yang sama kepada kanak-kanak lain yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Menteri Besar turut menziarahi beberapa penduduk kampung berkenaan yang uzur, termasuk bekas ketua kampung, Muda Sulaiman, 70, yang diserang penyakit angin ahmar kira-kira tiga bulan lalu.


Dato' Ahmad Said turut meluangkan masa selama satu jam melawat tiga warga emas yang uzur di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.

UKOM



Haji Wahab Terima Anugerah Keluarga Terbilang

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said (tengah) dan Mohd Shafaruddin Mustaffa (Pengarah YPKT) bersama penerima Anugerah Keluarga Mithali DUN KIjal. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penerima Anugerah Keluarga Terbilang peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman, Haji Wan Abdul Wahab Idris, 68, sanggup mengenepikan keperluan sendiri demi memastikan keenam-enam anaknya dapat belajar dengan selesa dan menguasai pendidikan agama.

Beliau yang lahir pada 24 Januari 1941 di Kampung Che Wan, Kijal mendirikan rumahtangga pada 1963 dengan Tuan Kamariah Syed Abdullah, 64 serta dikurniakan tiga pasang putera dan puteri yang menjawat pelbagai jawatan penting di bidang profesional dalam dan luar negara.

Anak sulung, Che Wan Norzihan,44, berkhidmat sebagai guru agama kanan di Batu Pahat, Johor; anak kedua, Che Wan Khairul Anuar, 42, jurutera di Kanada; anak ketiga, Che Wan Saiful Baharin, 39, usahawan; anak keempat Che Wan Rosdan, 37, guru di Kuantan, Pahang.

Manakala anak kelima, Che Wan Intan Mazura, 35, akauntan di Kuala Lumpur dan anak bongsu, 33, pensyarah teknologi maklumat di Kuala Lumpur.

Kesemua anak-anak beliau melanjutkan pelajaran ke menara gading selepas tamat sekolah menengah dan kebanyakannya dihantar belajar serta tinggal di asrama sekolah agama sekitar Terengganu.



Haji Wan Abdul Wahab (gambar atas) bukan sahaja berjaya mendidik anak-anak dengan acuan sendiri yang melangkaui adat dan agama, malah beliau juga aktif menjalankan kerja kebajikan sejak muda lagi.

Sikap beliau yang tidak pernah duduk diam menyebabkan masa lapangnya tidak pernah bersisa tanpa mengisi dengan perkara berfaedah dan memberi manfaat kepada orang lain.

Beliau merupakan bekas pendidik sejak 1957 hingga 1987 sebelum diserapkan sebagai Penolong Pegawai Pendidikan daerah (1988-1996). Dalam pada itu, beliau juga individu yang bertanggungjawab menyuburkan pergerakan belia di Kemaman dan menjadi ahli jawatankuasa belia 4B Kemaman sehingga 1970-an.

Haji Wan Abdul Wahab juga bekas Pesuruhjaya Pengakap daerah, selain menjadi Pengerusi Persatuan Anak Yatim daerah. Ketika menyertai pengakap, beliau terpilih mengikuti Persidangan Pengakap Sedunia selama 37 hari di Kaherah dan Iskandariah, Mesir.

Dalam politik, beliau yang menjadi ahli Umno sejak 1964 memegang jawatan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Titian Berayun dan menjadi ahli Majlis Perbandaran Kemaman selama dua tahun bermula 2004.

Menurut datuk kepada 18 cucu, beliau tidak pernah menduga akan menerima Anugerah Keluarga Mithali Terbilang itu dan menganggap perkhidmatan yang dicurahkan tidak seberapa kerana beliau ikhlas dan tidak mengharapkan balasan dalam setiap penglibatannya selama ini.

Beliau yang kini menjadi Pengerusi Masjid Kampung Titian Berayun, Ketua Umno cawangan dan Setiausaha cawangan Titian Berayun berharap generasi muda hari ini mampu menyumbang sesuatu untuk kepentingan umat dan masyarakat sekeliling.

Kejayaan dan jasa beliau dalam pelbagai bidang untuk kepentingan belia dan masyarakat di kemaman, selain memiliki keluarga bahagia yang dikelilingi anak-anak yang cemerlang membolehkan beliau dijadikan ikon dan layak Anugerah Keluarga Terbilang yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, kelmarin (12 November).

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa.

UKOM

Pilih kontraktor bersikap telus

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Model rumah pangsa mampu milik yang bakal dimiliki penduduk sekitar Kampung Seberang Takir selepas Menteri Besar melakukan majlis pecah tanah. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kontraktor dilantik untuk menyiapkan projek kerajaan negeri perlu bersikap telus dan patuh setiap syarat ditetapkan bertujuan mengelak sebarang kemungkinan berlaku.

Setiap arahan perlu dilaksanakan sebaik mungkin termasuk memenuhi syarat 60 peratus adalah pekerja tempatan dan bukannya warga asing.


Dato' Ahmad mengendalikan jentolak melakukan majlis pecah tanah di Kampung Batin, Seberang Takir.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan memandang remeh berkaitan perkara ini kerana ia melibatkan pelbagai pihak sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Hanya mereka mempunyai rekod bersih termasuk tiada masalah mengenai kewangan dan mampu menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan sahaja akan dipilih,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah, di Kampung Batin, Kuala Terengganu, hari ini.

Lokasi itu bakal dibangunkan rumah pangsa mampu milik bernilai hampir RM102 juta di mana melibatkan 722 unit rumah.


Menteri Besar menyerahkan borang rumah pangsa mampu milik kepada wakil JKKK untuk diagihkan kepada penduduk berkelayakan.

Dato’ Ahmad turut memberitahu pembinaan rumah pangsa yang dapat membantu penduduk memiliki rumah sendiri itu bakal dibina di kawasan seluas 17 ekar.

“Projek dijangka siap akhir 2011 itu kini dalam proses menambun tanah oleh kontraktor dilantik,” katanya.

UKOM