Halaman

15 December 2009

MB dan Isteri Selamat Tiba Dari Mekah

Oleh: Esah Abdullah


Dato' Ahmad Said bersama isteri menadah doa sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud selepas kembali dari Tanah Suci Mekah. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 9.30 pagi tadi (15 Disember) setelah hampir sebulan berada di Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan rukun Islam kelima.

Beliau yang kelihatan ceria disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pemimpin masyarakat.



Orang ramai menyambut kepulangan Menteri Besar dan isteri.

Dato’ Ahmad dan isteri kemudiannya meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan jemaah haji yang menaiki penerbangan ketiga terus dari Jeddah dan tiba di lapangan terbang itu kira-kira jam 9 pagi.


Menteri Besar bersalaman dengan orang ramai yang menyambut kehadirannya.

Dalam ucapan ringkasnya, Menteri Besar melahirkan rasa syukur kerana rata-rata semua jemaah berada dalam keadaan sihat dan mendoakan mereka beroleh haji mabrur.


Menteri Besar melambai ke arah orang ramai yang hadir di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Beliau turut berpesan kepada ahli keluarga jemaah haji yang akan membawa pulang keluarga masing-masing supaya memandu dengan cermat dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

UKOM


berita penuh

13 December 2009

JKKK Perlu Bantu Golongan Sasar

Oleh: Esah Abdullah


YB Haji Khazan menyampaikan sumbangan kepada warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat berlaku adil dan bantuan sampai kepada golongan sasar.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit berkata, tugas JKKK melakukan yang terbaik untuk masyarakat disamping mencari jalan meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Buatlah bacian mengikut keperluan ahli masyarakat dan maklumkan kepada pihak-pihak yang bertanggung jawab seperti Pejabat Pertanian, Parit dan Saliran dan sisipkan kepada pejabat DUN,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bumi Hijau JKKK Bukit Wan, Batu Rakit petang kelmarin (8 Disember).

Turut hadir Pegawai Pertanian Kawasan Maras/Batu Rakit, Encik Zulkifli Hashim dan Pengerusi JKKK Bukit Wan, Chek Harun Ismail.

Katanya, sikap yang perlu ada dikalangan masyarakat ialah manfaatkan kawasan disekeliling rumah dengan tanaman yang boleh mendatangkan hasil seperti cili, terong, kacang dan sawi.

“Dengan usaha begini, kita dapat menjimatkan perbelanjaan dapur serta keluarga mendapat khasiat pemakanan yang bersih dan segar yang boleh menghindarkan dari penyakit,” katanya.

Di atas inisiatif JKKK, johan pertandingan bumi hijau dimenangi Haji Che Awang Che Ngah yang menerima hamper bernilai RM100 manakala 20 orang terpilih menerima saguhati mengikut zon.

Dalam majlis tersebut YB Haji Khazan turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal serta imam/bilal dan juga bekas ahli JKKK yang bersara.

UKOM

berita penuh