Halaman

11 January 2010

JPV Terengganu Cadang Bangun Industri Burung Walit Mampu Milik

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan membangunkan industri burung walit mampu milik terutamanya di kalangan orang Melayu sebagai satu alternatif baru menambah pendapatan.

Pengarah JPV Negeri Dr Azizol Mohd Sharun berkata ini kerana penglibatan orang Melayu dalam bidang berkenaan di negeri ini, setakat ini masih rendah berbanding kaum lain.

"Peratusan orang Melayu yang terlibat dalam industri burung walit di Terengganu setakat ini hanya sekitar 21 peratus sahaja, berbanding bangsa lain.

"Sebab itu, kalau boleh kita hendak seramai mungkin orang Melayu di negeri ini terlibat dalam industri untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Ahad.

Dr Azizol berkata dalam mambangunkan industri burung walit ini, pihaknya tidak akan melupakan golongan miskin supaya turut sama terlibat dalam projek-projek yang akan dijalankan nanti.

Beliau berkata pihak jabatan sedang menimbang kemungkinan menyediakan prasarana termasuk rumah burung-burung berkenaan yang dianggarkan bernilai antara RM15,000 hingga RM100,000 sebuah, dan ia dijangka mampu memberi pendapatan antara RM400 dan RM500 sebulan sekurang-kurangnya pada peringkat awal.

"Kita masih mengkaji sama ada akan menjalankan projek ini secara berkelompok atau individu. Butir-butir mengenai projek ini masih di peringkat awal perbincangan," katanya.

Dr Azizol berkata beberapa projek burung walit tradisional yang dibangunkan di negeri ini akan dijadikan contoh untuk projek burung walit mampu milik itu.

Beliau berkata JPV akan memohon bantuan daripada kerajaan negeri sekurang-kurangnya RM300,000 untuk membangunkan industri burung walit di Terengganu tahun ini.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan industri burung walit untuk menambahkan pendapatan ekonomi negara dan individu terlibat, katanya.

-- BERNAMA