Halaman

25 January 2010

MBKT Turun Padang

Oleh: Esah Abdullah

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berjaya mendekati sasaran kutipan pelbagai jenis cukai apabila memperolehi kutipan RM52 juta sepanjang tahun lalu.

Dato’ Bandar MBKT, Dato’ Mat Razali Kassim berkata, jumlah tersebut meningkat daripada tahun sebelumnya dan ianya merupakan jumlah kutipan di semua bahagian.

“Mulai tahun ini, mereka yang lewat menjelaskan sewa premis perniagaan masing-masing dua bulan berturut-turut akan diberi notis dan tindakan susulan akan diambil jika terus berdegil,” katanya kepada pemberita di tapak program ‘cakna rakyat’ di perkarangan Mydin Mall Kuala Terengganu.

Dato’ Mat Razali berkata tahun ini MBKT mensasarkan pendapatan antara RM60 hingga RM70 juta dan ia tidak mustahil dicapai jika semua pihak bekerja keras serta sanggup bekerja lebih masa untuk capai matlamat di atas.

Sementara itu usaha program turun padang yang dilakukan ini bertujuan mendekati masyarakat serta memberi peluang orang ramai membuat sebarang aduan berkaitan dengan MBKT.

Program yang sebelum ini dikenali sebagai ‘sehari bersama Datuk Bandar’ dan diadakan di kawasan pejabat, namun mulai tahun ini program cakna rakyat memberi tumpuan ke kawasan orang awam seperti Mydin Mall dan sebagainya.

“Setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diberi perhatian segera tetapi jika aduan itu berkaitan kemudahan infrastruktur yang melibatkan teknikal dan peruntukan yang besar akan mengambil masa sedirkit,” katanya.

Dari segi kebersihan, Dato’ Mat Razali secara telus menyatakan masih belum berpuas hati dan setiap bahagian akan digerakkan untuk meningkatkan kebersihan dalam kawasan dan semua program pengukuhan organisasi akan di ambil berat.

TEGANUKITA