Halaman

06 January 2010

Mesin X-ray HSNZ Tercanggih di Asia Tenggara

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Sejarah tercipta dalam dunia perubatan negara apabila Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dibekalkan dengan peralatan pemeriksaan menggunakan sinaran x-ray berkomputer paling canggih di Asia Tenggara.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM5.2 juta bagi membekalkan peralatan dikenali sebagai `Multi Slice CT Scan' (MSCT) yang diimport dari Jepun untuk kemudahan Jabatan Pengimejan Diagnostik hospital itu.


Mesin sinaran x-ray berkomputer `Multi Slice CT Scan' mengubah senario perubatan Terengganu, disumbangkan kerajaan negeri merupakan yang tercanggih di Asia Tenggara. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata peralatan terbaru itu seiring dengan senario bidang perubatan Terengganu yang semakin maju hasil kesedaran kerajaan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat.


Dato' Ahmad melihat pemeriksaan x-ray menggunakan Multi Slice CT Scan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Katanya, beliau sebelum ini sering mengutarakan pandangan dan permintaan terhadap kerajaan negeri supaya menyediakan kemudahan perubatan melibatkan pemeriksaan x-ray yang lebih baik dan canggih bagi memastikan rakyat mendapat pemeriksaan kesihatan yang baik.

“Sebelum ini, ketika saya menjadi exco saya berulangkali minta dengan kerajaan negeri supaya menyediakan Magnetic Resonance Imaging (RMI). Alhamdulillah hospital ini dapat MRI.

“Hari ini kehadiran peralatan perubatan yang lebih canggih seperti MultiSlice CT Scan yang mana menggunakannya seolah-olah memasuki dalam terowong dan boleh mengesan segala penyakit. Itulah kepakaran perubatan yang perlu kita gunapakai hari ini,” kata beliau ketika berucap pada majlis penyampaian peralatan Multi Slice CT Scan, di Jabatan Pengimejan Diagnostik, HSNZ, semalam (5 Januari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar dan Pengarah HSNZ, Dr T Ramelah T Senik.

Menteri Besar berkata, dengan adanya mesin tercanggih di Malaysia dan juga Asia Tenggara itu diharap mampu memberi keselesaan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memerlukan.

Menurut Ketua Jabatan Pengimejan Diagnostik, Dr Elinah Ali, mesin terbaru itu mampu mengelak daripada pesakit terpaksa melalui perjalanan tiga jam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sains Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Kuantan berikutan mesin pemeriksaan sinaran x-ray yang sedia ada mengalami kerosakan.


Dr. Mohamad Omar (kiri) menerima sumbangan mesin Multi Slice CT Scan daripada kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, Dato' Ahmad juga mengingatkan pihak hospital supaya tidak menjadikan mesin canggih dan terkini berjenama Toshiba Aguilion CX itu seperti `gajah putih’ disebabkan kekurangan atau tiada pakar yang mampu mengendalikannya.

“Tanpa berlindung dan bersembunyi lagi, alat sahaja tidak cukup kalau pakar tidak terlatih menggunakannya..Saya ada pengalaman di sebuah hospital apabila ada pegawai perubatan yang mengakui tidak mahir menggunakan peralatan yang dibekalkan di pusat perubatan berkenaan,”katanya.

MSCT amat pantas dalam menghasilkan imej radiografi digital struktur dalaman badan pesakit, selain mampu menghasilkan 64 imej pada setiap imbasan serta dapat meningkatkan keupayaan kepada 128 imej.

Malah, MSCT banyak lebihan berbanding mesin scan biasa terutama bagi imejan isotropic bagi tujuan rekontruksi multiplana yang dapat mengesan sebarang penyakit dengan lebih terperinci dan tepat.


UKOM