Halaman

25 January 2010

Syarikat Korea Melabur di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kuala Terengganu - 25 Januari 2010 (TEGANUKITA) :

Sebuah syarikat dari Korea bersetuju untuk melabur sebanyak RM45 juta bagi mengusahakan kilang memproses ikan di Terengganu.

Bagi tujuan tersebut, Syarikat GP Group LLC mengadakan usahasama dengan syarikat tempatan, AHT Fish Meal Industries Sdn Bhd, untuk membina sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Batu Rakit, pertengahan tahun ini.

Kilang tersebut dijangka mula beroperasi sebelum akhir tahun ini dan produknya yang berupa makanan haiwan, bebola ikan dan isi ikan akan dieksport ke Korea.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw berkata, kerajaan negeri meluluskan empat hektar tanah kepada syarikat berkenaan bagi membina kilang itu yang bakal memberi 100 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata, kawasan tambahan seluas 12 hektar akan diberi kepada syarikat yang sama jika mereka bercadang memperbesarkan perusahaan tersebut yang dijangka turut memberi manfaat kepada nelayan tempatan.

Katanya, apabila beroperasi kelak, kilang berkenaan memerlukan antara 200 hingga 500 tan metrik ikan sehari dan syarikat itu dijangka berusaha mendapatkan bekalan dari negeri lain bagi menampung permintaan.

Majlis menandatangani perjanjian bagi mengusahakan perusahaan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan GP Group LLC, Kwang Ho Ha dengan Pengarah Urusan AHT Fish Meal Industries Sdn Bhd, Dato’ Abdullah Haji Taib.

TEGANUKITA