Halaman

12 February 2010

Veldrom Kekal di Dungun

Lokasi pembinaan veldrom tetap dikekalkan di Dungun sebagai menghargai jasa pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang menempa nama di peringkat dunia.

Malah, hasrat Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan itu akan menjadi kenyataan dalam tempoh sebulan lagi selepas semua pihak berjaya mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tapak projek.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata pembinaan velodrom itu kekal di Dungun kerana kerajaan kini mempunyai tapak altenatif iaitu tanah seluas lapan hektar di Kampung Che Lijah (Dungun).

”Sehingga sekarang veldrom akan kekal di Dungun. Sehari selepas itu (pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek) ada cadangan bangunkan veldrom di Kampung Che Lijah seluas 20 ekar (8 hektar) sebagai alternatif.

“Melihat kepada kesungguhan Pegawai Daerah dan juga Pegawai Pembangunan Parlimen (Dungun) veldrom akan dikekalkan di situ (Dungun),” katanya beliau selepas merasmikan Sukan Terengganu (Sutera III), di Gebang Sukan, Gong Badak, Kuala Terengganu, kelmarin (5 Februari).

Beliau berkata, keputusan mengekalkan veldrom di Dungun juga dibuat selepas mengambil kira hasrat dan kesungguhan MSN dan Menteri (Belia dan Sukan ) serta kepentingan antara pihak kerajaan negeri dan pusat.

“Saya melihat bahawa bukan satu kelaziman biasa untuk mendapat kemudahan ini dan begitu susah. Malah, kehendak badan sukan di Dungun dan Terengganu pun melihat kita tidak sepatut pun menimbul isu dalam pembinaan veldrom ini,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan yang sedia ada di sekitar kawasan terutama padang golf dan kemudahan infrastruktur di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun sesuai jika suatu masa kelak digunakan sebagai penempatan sekiranya berlangsung kejohanan lumba basikal.

Katanya, waran pembinaan sudah ada dan hanya tiggal menentukan siapa kontraktor yang mungkin dapat diselesaikan dalam masa sebulan lagi.

Sebelum ini, cadangan kerajaan untuk membina velodrom di kawasan lapang di Sura, Dungun mendapat bantahan penduduk setempat kerana menganggap ia akan mengambil tanah dan mengganggu tempat anak muda beriadah.

Cadangan membina velodrom di Dungun itu diumum Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek tahun lepas sebagai menghargai jasa Azizulhasni yang mengharumkan nama negara di peringkat dunia dalam sukan lumba basikal.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Rahin menjelaskan Sutera III menjadi titik mula persiapan menjelangnya Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka Julai ini.

“Ada antara negeri yang menghantar ramai atlet yang bakal bertanding dalam Sukma dan ini menjadi persaingan kepada kita.

“Malah, ada yang dapat pingat perak di Sukma Terengganu yang lalu dan mereka tahu yang dapat pingat emas sudah melangkaui 23 tahun dan mereka akan cuba dapatkan emas pula pada temasya akan datang," katanya.

Datuk Abdul Rahin berkata, Sutera III disertai hampir 50 peratus atlet yang mewakili kontinjen Terengganu ke Sukma Melaka dan di kalangan atlet Terengganu ada yang turut mewakili Universiti Darul Iman Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu.