Halaman

23 March 2010

Jelapang Padi Kedua Di Setiu

Oleh: Esah Abdullah

Peruntukan RM46 juta disediakan kerajaan negeri bagi mewujudkan jelapang padi kedua di daerah Setiu, untuk menambah pengeluaran hasil beras dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

Kerja-kerja membajak sawah di kawasan seluas 140 hektar di Kampung Jelapang, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, akan dimulakan April ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengumumkan langkah terbaru kerajaan negeri itu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek jelapang padi serta cadangan pembinaan jalan dan longkang di daerah Setiu, semalam (22 Mac).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, YB Ashaari Idris; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri merangkap ADUN Jabi, YB Ramlan Ali serta ketua-ketua jabatan.

Menteri Besar berkata, tahun lalu kawasan seluas 73 hektar diusahakan 78 petani di Kampung Mak Jintan, Setiu dengan purata perolehan 3.5 – 4 metrik tan bagi sehektar.
Sementara itu, kerajaan juga bersetuju meluluskan peruntukan RM4 juta bagi membina dan melebar jalan dalam DUN Langkap dan Permaisuri di mana RM2.5 juta disalurkan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan RM1.5 juta melalui pejabat daerah.

“Sementara RM1.2 juta diperuntukan bagi pembinaan longkang-longkang dalam dua DUN berkenaan dan kita bercadang melebarkan jalan di beberapa kawasan yang kerap berlaku kemalangan di daerah itu,” katanya.

Menteri Besar turut melahirkan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah muara sungai Merang yang cetek dan menyukarkan bot membawa pelancong ke Pulau Redang serta nelayan keluar masuk membawa hasil tangkapan.

“Kerja-kerja mendalamkan sungai akan dilakukan dalam masa tiga empat hari ini oleh pihak swasta dan untuk jangka panjang, peruntukan membeli kapal korek akan dimasukkan dalam bajet tahun depan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan satu muara sungai baru di Penarik bagi keperluan dan kepentingan nelayan tempatan.

Dato’ Ahmad kemudiannya turut meluangkan masa meninjau pembinaan masjid baru di Kampung Alor Lek yang berharga RM1.86 juta serta memuatkan 350 jemaah pada satu-satu masa.

“Kerajaan akan menaik taraf semua masjid di seluruh daerah di negeri ini untuk memberi keselesaan kepada masyarakat mengunjungi rumah Allah,” katanya.

TEGANUKITA