Halaman

12 March 2010

Siasatan Bumbung Stadium Runtuh Didedah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad dan Dato' Mazlan menunjukkan buku laporan bumbung stadium runtuh kepada pemberita. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri hari ini mendedahkan laporan siasatan bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh tahun lalu kepada umum.

“Kerajaan bersetuju dengan laporan panel penilai mengenai punca keruntuhan itu diberitahu kepada umum, “ katanya kepada pemberita selapas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (10 Mac).

Mengikut laporan penilai, hampir semua bahagian yang terbabit dalam pembinaan struktur bumbung stadium berkenaan menjadi punca runtuhan itu terjadi.


Menteri Besar dan SUK Terengganu ketika menjawab pertanyaan pemberita.

“Ini termasuklah reka bentuk bumbung dikatakan dibina selepas kerja-kerja pembinaan stadium siap mengakibatkan kedudukan struktur bumbung tidak sejajar,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, pemilihan bahan-bahan binaan yang meragukan serta tidak mengikut spesifikasi yang ditentukan, selain pemasangan bumbung hanya mengikut anggaran tanpa mengambil kira keseimbangan sebenar bumbung terbabit.

Katanya, reka bentuk yang tidak sesuai dan gagal menyokong struktur bumbung serta bumbung tidak dibina dengan sempurna menyebabkan berlaku salah jajaran.

Berasaskan perjanjian asal katanya, kontraktor mesti mengambil tanggung jawab di atas segala kerosakan dan perlu membaiki semula kerosakan tersebut.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah mengeluarkan notis kepada kontraktor untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan bumbung yang rosak minggu ini.


Pemberita begitu berminat untuk mengetahui laporan kejadian bumbung stadium runtuh.

“Kerja-kerja pembersihan juga harus dilihat dalam banyak perkara terutama dari segi keselamatan perkakas dan peralatan yang ada dan penggunaan selepas pembersihan,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Ahmad akan memastikan pemilihan kontraktor yang tepat untuk melakukan kerja mengangkat dan membersihkan bumbung runtuh berkenaan supaya mereka lebih bertanggungjawab selain tidak merosakkan komponen yang sedia ada.

TEGANUKITA