Halaman

27 April 2010

Bekas SUSK Tertekan Difitnah Hantar SMS Ugutan

Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau dan keluarga tertekan selepas difitnah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau yang terkejut apabila didakwa menghantar SMS berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, kepada Adun berkenaan pada 13 April, tahun lalu, menafikan pembabitannya dalam penghantaran SMS tersebut.

“Saya rasa terkejut bila orang tuduh saya hantar SMS itu, tambahan pula ia mendapat liputan meluas di media massa.

“Anak-anak dan isteri saya stress (tertekan) kerana berita itu, tetapi saya suruh mereka bersabar dengan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Wan Ahamad yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), berkata beliau meminta isteri dan anak-anaknya bersabar dengan berita yang tidak benar itu.

Ahmad Ramzi yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Dalam prosiding yang dilakukan di depan Hakim M.Bakri Abd Majid, Wan Ahamad memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa pun untuk menghantar SMS berbau ugutan itu kepada Adun berkenaan menggunakan telefon beliau.

Menurutnya, beliau mengetahui mengenai fitnah yang dilempar kepadanya melalui seorang kakitangan kerajaan, Haji Wan Lotfi Wan Ismail, pada 14 April iaitu sehari selepas SMS tersebut dihantar.

Katanya, selepas melihat sendiri berita mengenai kejadian itu yang mengaitkan namanya ditulis di dalam blog, beliau membuat laporan polis kerana ia tidak benar.
Sementara dalam prosiding pada sebelah petangnya pula, Wan Ahamad ditanya mengenai nombor-nombor telefon yang direkodkan pada lampiran yang dikemukakan mahkamah sama ada beliau mengenali pemilik nombor-nombor berkenaan.

Mahkamah berhenti rehat kira-kira 18 minit dan bersambung semula selepas memberi ruang kepada Wan Ahamad meneliti satu per satu nombor berkenaan dan memberitahu kepada mahkamah pemilik nombor berkenaan.

Sebelum itu, Wan Ahamad ketika disoal peguam Datuk Hazman Ahmad, beliau memberitahu mahkamah tidak bersetuju bahawa sebagai SUSK beliau banyak berurusan dengan Adun dan jawapan yang sama juga diberikan ketika ditanya adakah menyimpan nombor telefon Adun menjadi tanggungjawab beliau.

Wan Ahamad juga memberitahu mahkamah tidak bersetuju bahawa ketiga-tiga Adun (berhubung SMS ugutan tahun lalu) itu tidak penting dan tidak bersetuju bahawa beliau dengan sengaja tidak menyimpan nombor Adun berkenaan.

Perbicaraan bersambung pagi esok, 27 April 2010.

TEGANUKITA