Halaman

31 May 2010

Perlu selidik hingga akar umbi

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad mengucapkan tahniah kepada kakitangan awam yang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kakitangan awam terutama pegawai kanan perlu menyelidik sehingga ke akar umbi, sekiranya sesuatu tugas sama ada berkaitan penyediaan infrastruktur, pentadbiran atau urusan tanah yang dilaksanakan itu masih tidak sempurna di hati rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata langkah ini cukup penting bagi mengelak rakyat mencemuh apa yang dilaksanakan kerajaan di mana secara tidak langsung memberi impak negatif kepada pemimpin politik.


Menteri Besar turut melancarkan buku bertajuk, Gagasan Merakyatkan Pentadbiran, Pembangunan Negeri Terengganu(MPPT); Merakyatkan Pentadbiran dan Budaya Kerja Cakna Rakyat disaksikan SUK, Dato' Mazlan Ngah.

Katanya, kerajaan negeri tidak menolak masih terdapat segelintir kakitangan bersikap sentiasa berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan tanpa perlu menyelidik secara terperinci dan turun padang untuk menyiasat.

“Sikap ambil mudah yang pasti menjejaskan imej kerajaan perlu dikikis dengan meningkatkan nilai intergriti, mengamalkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan secara bijak sana serta seadil mungkin.

“Tindakan itu perlu wujud dalam diri kerana penjawat awam merupakan aset penting kepada kecemerlangan pentadbiran dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini (25 Mei).


Tiga puluh kakitangan awam bergambar bersama Menteri Besar dan SUK selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan.

Seramai 30 kakitangan awam pelbagai jawatan menerima anugerah itu di mana setiap penjawat awam membawa pulang wang tunai RM7,500 dan pakej menunaikan haji atau umrah.

Pada majlis sama, Dato’ Ahmad turut melancarkan tiga buah buku bertajuk, Gagasan Merakyatkan Pentadbiran, Pembangunan Negeri Terengganu(MPPT); Merakyatkan Pentadbiran dan Budaya Kerja Cakna Rakyat.

Buku itu bakal diagihkan kepada semua penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan Terengganu sebagai langkah meningkatkan nilai intergriti dan membudayakan kreativiti dalam tugas.

TEGANUKITA