Halaman

16 June 2010

Perlunya kerjasama IPT dan syarikat tempatan

Oleh: Nurul Faizah binti Abdullah

KUALA TERENGGANU - 8 Jun 2010 : Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan syarikat-syarikat tempatan disarankan bekerjasama untuk menangani masalah pengangguran di kalangan graduan universiti tempatan, dengan mengamalkan konsep ‘saling melengkapi’ di antara satu sama lain.

Ini kerana pengangguran di kalangan graduan IPT semakin meningkat dan mereka perlu bersaing dengan tenaga kerja asing yang semakin meningkat.

“ Gabungan aspek teori dan praktikal adalah penting untuk melahirkan graduan yang berkualiti,berdaya saing serta seiring dengan kehendak pasaran serta memenuhi syarat-syarat kelayakan jawatan yang dipohon,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, di majlis perasmian Persidangan Sumber Manusia anjuran Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, di Hotel Primula malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Dato’ Tengku Putera Awang, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri.

Terengganu merupakan destinasi ke-5 untuk persidangan ini, yang bertujuan untuk menjadi platform bertukar idea di kalangan professional sumber manusia di samping berbincang mengenai isu yang boleh diaplikasikan dari aspek akademik dan praktikal.
Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Nordin Kardi.

Katanya, sekiranya tidak dibendung pengambilan tenaga kerja asing di negara ini meningkat hingga ke angka 5 juta orang menjelang akhir tahun 2010.

Kebanjiran tenaga kerja asing merupakan satu masalah yang serius, apatah lagi majikan lebih mengutamakan golongan ini kerana kadar upah yang diberi adalah rendah, katanya.

Katanya, kehadiran pekerja asing seringkali dikatakan memberi kesan negatif, termasuklah peningkatan keluaran wang ke luar negara yang merugikan kedudukan kewangan negara, impak kepada masalah sosial, seperti jenayah, rogol, bunuh dan sebagainya yang boleh menjejaskan imej negara Malaysia.

Beliau mengalu-alukan program ‘Train and Place’ yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia khas untuk graduan menganggur dilihat dapat mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing dalam sektor pekerjaan.

“Pelaksanaan program sebegini dapat meningkatkan pasaran pekerjaan bagi graduan yang baru menamatkan pengajian di IPT,” katanya.

TEGANUKITA