Halaman

15 July 2010

Penghulu Kenalpasti 100 Keluarga Miskin

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar bersalaman dengan sebahagian penghulu dari seluruh negeri yang hadir majlis penutup Wancana Pembangunan Daerah 2010 di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Semua penghulu di negeri ini diminta menyenaraikan 100 keluarga yang dikenalpasti sebagai miskin dan termiskin di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi mengelak berlaku keciciran dalam aspek pengagihan bantuan yang sepatutnya disalurkan menerusi program e-Kasih.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata beliau sendiri akan melihat laporan yang diserahkan penghulu berkenaan bagi meneliti kesahihan data yang dikumpulkan itu selain membandingkan data itu dengan data kemiskinan yang dikeluarkan pihak pembanci kemiskinan yang lain di setiap Dun.

“Kalau perlu turun ke setiap Dun saya akan turun dan jumpa satu persatu (penduduk miskin) dan mungkin jumlahnya antara 4,000 hingga 5,000 seluruh negeri dan jumlah di setiap daerah mungkin lebih kurang 1,000 orang.Saya mahu memeriksa laporan (data) berkenaan sama ada mereka betul-betul miskin atau tidak,” katanya di Majlis Penutup Wacana pembangunan Daerah 2010 ke arah Merakyatkan Pentadbiran dan pembangunan, di Hotel Permain Inn, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail ; Yang Dipertua Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM), Haji Zaidi Hussin dan Pengerusi KPPSM Terengganu, Haji Zabli Abd Ghani.

Menteri Besar berkata, dengan adanya maklumat benar dan tepat itu nanti pastinya akan memudahkan sebarang proses pengagihan bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada penerima selain dapat mengenalpasti rekod sebenar dan kedudukan Terengganu dalam senarai penduduk miskin serta termiskin di seluruh negara.


Dato' Ahmad ketika berucap di majlis penutup Wacana pembangunan Daerah 2010 ke arah Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di hadapan penghulu dari seluruh Terengganu.

Berdasarkan rekod terbaru yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, Terengganu kini berada di tangga ketujuh berbanding tangga kedua selepas Kelantan sebelum ini. Penurunan itu berikutan kadar kemiskinan yang semakin menurun dengan jumlah 480 keluarga termiskin dan 5,000 miskin seluruh Terengganu.

Pada masa yang sama, Menteri Besar turut mengingatkan penghulu supaya mengambil berat dan memaklumkan kes penduduk di mukim masing-masing yang berdepan dengan penyakit kronik ke pejabat beliau atau menerusi pegawai beliau untuk tindakan susulan.

“Kalau ada kes pesakit kronik penghulu perlu ambil berat dan maklum segera ke pejabat saya atau melalui setiausaha saya kerana kita ada tabung khas bagi membantu mereka yang berkenaan,” kata beliau lagi.

Program tiga hari sejak 11 Julai lalu disertai 69 penghulu seluruh Terengganu bertujuan menjelaskan hala tuju daerah semasa selaras dengan dengan konsep merakyatkan pentadbiran dan pembangunan peringkat daerah, selain mendapat maklum balas pegawai dan kakitangan yang dipertanggungjawabkan memajukan daerah serta mengemukakan resolusi untuk diperhalusi kepimpinan negeri.

Untuk rekod, sebanyak 70 peratus penghulu di Terengganu memiliki Ijazah dan seorang daripadanya mempunyai Master. Sehingga kini, terdapat kekosongan 19 jawatan penghulu di seluruh Terengganu yang sedang menunggu proses temuduga melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri.

TEGANUKITA