Halaman

05 September 2010

Agihan Jalur Gemilang Semarak Merdeka

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-53 disemarakkan lagi dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada pengguna kenderaan yang berhenti di stesen Petronas Tok Jamal, Jalan Kuala Berang, Kuala Terengganu, petang semalam (29 Ogos).

Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama Petronas Wilayah Timur dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) berjaya mengagihkan lebih 1,000 bendera kecil untuk dilekatkan pada kenderaan dalam tempoh dua jam berada di stesen minyak itu.

Selepas majlis itu, tetamu yang hadir kemudiannya diraikan dalam majlis berbuka puasa di Seri Wangsa Seafood, bersebelahan stesen minyak itu.

Pemangku Pengarah Penerangan Terengganu, Encik Mustaffa Abdul Kadir kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan dan badan bukan kerajaan yang hadir pada majlis itu.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Encik Mustaffa meminta semua pihak sama-sama menyemarakkan sambutan kemerdekaan dan tidak melupakan sejarah penubuhan serta pembebasan negara dari tangan penjajah sehingga mampu mengecap keamanan dan pembangunan hari ini.

Katanya, dalam keceriaan dan kesibukan menyambut Ramadan serta membuat persiapan lebaran yang bakal tiba kurang dua minggu lagi, pihaknya tetap mengambil tanggungjawab untuk memastikan masyarakat negeri ini menanam semangat patriotisme selain tidak melupakan tanggal 31 Ogos setiap tahun yang seharusnya diraikan semua rakyat.

TEGANUKITA