Halaman

13 September 2010

PELITA DALAM TRADISI MELAYU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pelita adalah simbol yang penting dalam masyarakat Melayu yang dikaitkan dengan cahaya yang menerangi kehidupan. Bukan sahaja Melayu di Malaysia juga seluruh Nusantara seperti di Brunei dan Indonesia turut menjadikan pelita sebagai simbol kejayaan.

Misalnya untuk mengambarkan betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan disebut dengan kata-kata ‘ilmu pelita hidup’, bermakna dengan ilmu kehidupan akan menjadi berjaya dan menjamin kebahagiaan.

Memanglah di zaman dahulu sebelum munculnya era elektrik, pelita adalah kaedah paling popular dan mudah disediakan untuk menerangi rumah dan kawasan persekitaran.

Bila tiba bulan Ramadan pelita dipasang di halaman rumah, masjid, surau dan jalan-jalan yang utama.

Apabila menjelang hari raya, pemasangan pelita menjadi semakin rancak terutamanya yang disebut sebagai malam ‘tujuh likur’.

Malam tujuh likur yang menjadi sebahagian daripada budaya setempat pada setiap bulan Ramadan.

Di negara ini menyimpan sejumlah tafsiran pelita dan cahaya dengan sesetengahnya dikaitkan dengan kepercayaan India, Melayu /Islam..

Ada pihak yang mengaitkannya dengan amalan masyarakat Hindu yang menerangi rumah untuk menyambut Dewi Lakshmi (Dewi Kekayaan) masuk ke rumah pada malam Deepavali manakala daripada sudut budaya Melayu /Islam ia bertujuan menerangi perjalanan
jemaah ke surau atau masjid.

Sudut agama Islam juga, malam tujuh likur sering dikaitkan dengan malam Lailatulqadar iaitu detik keemasan untuk individu Muslim merebut pahala yang berlipat ganda apabila malaikat dan akan turun ke bumi untuk mengaminkan doa orang yang bersembahyang, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah.

Di kampung-kampung dahulu menyaksikan malam tujuh likur sebagai hari masyarakat desa menyiapkan juadah untuk menyambut tibanya Aidilftri.

Berhubung tradisi memasang pelita atau dipanggil juga panjut pada masa itu, ia
dikatakan bagi membantu mereka yang menuju ke surau atau masjid bagi menunaikan
tarawih kerana suasana pada malam terlalu gelap dan mungkin membahayakan
keselamatan.

Orang kampung memasang pelita sepanjang Ramadan juga sebenarnya sebagai simbol
meraikan bulan mulia itu dan menjadi penyeri setiap rumah kerana mereka pada
waktu itu tiada kemudahan elektrik seperti hari ini dan tidaklah boleh dianggap
sesuatu yang bersalahan dengan agama.

Di Terengganu tradisi memasang pelita di sesetengah kampung di bulan Ramadhan,
khususnya mejelang hari raya dan malam tujur likur, masih lagi kekal.

Misalnya beberapa kampung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri ,Tepoh seperti
Padang Hangus, Pagar Ubi, Kg.Raja Tepoh dan Tokeng menjadikan pemasangan pelita
sebagai amalan tahunan di bulan Ramadan, khususnya malam tujuh likur.

Bahagian Pelancongan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Muzium
Terengganu telah menganjurkan pertandingan memasang pelita dengan pelbagai
kreativiti dengan menyediakan hadiah-hadiah.

Pada tahun ini nilai hadiah sebanyak RM30,000 dan sebanyak anggaran 10,000 buah
pelita dinyalakan di kampung-kampung yang menyertai pertandingan itu membabitkan
antara lebih kurang 60 hingga 70 buah rumah bermula 4 hingga 6 September
baru-baru ini.

Hadiah adalah untuk kategori individu dan kategori Jawatankuasa Kemajuan &
Keselamatan Kampung (JKKK). Kreativiti penduduk kampung menggunakan bahan terbuang dan bahan yang terdapat dalam kampung mereka digunakan untuk mencipta objek dan pelita diambil kira dalam pemarkahan selain lain-lain kreativiti.

Acara ini telah dimasukkan ke dalam kalender pelancongan negeri Terengganu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Yang Berhormat Haji Mohd.Ramli Noh, dulunya pertandingan ini diadakan secara kecilan sahaja di peringkat kawasan itu, tetapi pihak Kerajaan Negeri Terengganu melalui Muzium Negeri mengambil daya usaha mengembangkan lagi pertandingan dan tradisi itu.

“ia adalah suatu simbolik tentang betapa kehidupan masa lalu yang begitu berpadu
masyarakatnya dalam kerja-kerja gotong-royong untuk memberi sinar cahaya kepada
masyarakat lingkungan mereka,” katanya.

Pengarah Muzium, Mohd.Yusof berkata, pihaknya berasa bangga dan bersyukur kerana
mendapat kerjasama erat dari semua pihak pemimpin dan penduduk kampung bagi
menjayakan pertandingan ini.

Sesungguhnya pelita adalah lambang keagungan dan kecemerlangan kehidupan tradisi
Melayu lampau yang kukuh dengan pegangan agama Islam dan adat tradisi mereka adalah bersendikan agama dan jangan disamakan falsafah pelita dalam kebudayaan dan kepercayaan lain.

Semoga pelita terus menyala dan bercahaya, sekalipun telah digantikan dengan cahaya dari elektrik - membawa kita mengenangi nostalgia, mengetahui akar umbi budaya kini dan membenihkan jati diri kita berlapis generasi.

TEGANUKITA