Halaman

19 October 2010

KONVENSYEN MANTAPKAN KESEJAHTERAAN UNTUK RAKYAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Suriati binti Ali


Dato' Seri Ahmad Said melihat logo 1Malaysia ketika menutup Konvensyen Terengganu 2010. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Konvensyen Terengganu 2010 yang berlangsung pada 15-16 Oktober telah memberi gambaran yang jelas bahawa keadaan politik dan pembangunan Terengganu semakin terserlah beroreantasikan ‘rakyat’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said bersyukur di atas keadaan tersebut, khususnya dengan penyatuan pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan daerah-daerah (bahagian) dalam meneruskan agenda perjuangan untuk kesejahteraan rakyat.

“Biduk lalu kiambang bertaut, marilah kita meneruskan kembali perjuangan untuk memastikan rakyat mendapat faedah dan kita semua perlu bermuhasabah diri sejauhmana kita telah laksanakan kehendak rakyat dan rakyat tidak berkecil hati kepada kita,” kata beliau sewaktu berucap menggulung dan menutup Konvensyen berkenaan di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Beliau yakin rakyat akan memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasonal (BN) dan menjadikan pilihanraya sebagai medan membalas budi dan bukannya melepaskan dendam kerana tidak berpuas hati.

Katanya perancangan pembangunan untuk rakyat akan diteruskan termasuklah usaha mengubah wajah bandar Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang terkenal.

Beliau juga memberitahu, Taman Ilmu juga akan mula dimasuki pelajar pada September tahun depan kerana pihak UiTM telah bersetuju untuk menjadikan taman itu kampus institusi tersebut dengan jangkaan kemasukan awal pelajar seramai 1500 orang.

Dato’ Seri Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, beliau gembira dan terharu dengan perkembangan positif itu yang memperlihatkan seluruh ahli sehingga ke peringkat akar umbi kembali bertaut.

Beliau yang mengharapkan semangat 'kekeluargaan' itu berterusan turut menaruh harapan agar segala permasalahan dalaman parti perlu dikikis dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.

"Kita harap semua masalah dapat dilupakan, masalah yang kita hadapi selama ini kita ketepikan. Sebagai orang politik, jangan mudah ambil hati dan kecil hati. Kita kena reda dan muhasabah diri," katanya.

Dato’ Seri Ahmad seterusnya yakin dengan komitmen tinggi mereka yang mengambil bahagian dan bertindak sebagai jurucakap mewakili UMNO di setiap peringkat bahagian pada konvensyen itu untuk menyatukan semula ahli bagi membela nasib bangsa dan agama.

Justeru itu katanya, beliau mahu semua pemimpin Bahagian mengambil perhatian dan membuat tindakan susulan bagi memastikan semua pemimpin dan ahli parti di Terengganu kembali bersatu.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sentiasa prihatin terhadap Terengganu.

TEGANUKITA