Halaman

12 October 2010

Pakaian Atlet Negara Di Sukan Komanwel Tak Perlu Dijadikan Isu -Shabery

KUALA TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek membidas sesetengah pihak yang terlalu banyak mengkritik atlet negara secara tidak munasabah, termasuk menjadikan soal berpakaian mereka pada Sukan Komanwel 2010 sebagai isu.

Beliau berkata kementeriannya menerima rungutan dan komen negatif daripada pihak tertentu berhubung pakaian atlet, termasuk semasa perbarisan pada pembukaan Sukan Komanwel ke-19 yang sedang berlangsung di New Delhi, India.

Terbaru, pakaian pemenang pingat emas acara angkat berat kelas 62 kilogram, Arrico Jumitih turut dikritik kerana atlet dari Sabah itu dikatakan memakai pakaian dengan lambang negeri yang tidak bersesuaian dengan acara di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kritikan seumpama itu adalah sesuatu yang negatif, selain tidak wajar untuk menghukum atlet semata-mata berdasarkan pakaian mereka.

"Saya difahamkan sukan angkat berat terlalu sensitif terhadap banyak perkara, mungkin makanan, pakaian atau persekitaran. Kadang-kadang kalau pakaian tak selesa, mereka tak boleh lakukan yang terbaik.

"Mungkin itu pakaian paling selesa untuk Arrico pada masa itu, dan ia terbukti menyumbang kepada kemenangan beliau. Pakaian atlet semasa perbarisan juga dikritik, sepatutnya ia tidak dijadikan isu kerana kita tak nak menang berbaris, tapi kalah semasa berjuang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan memperbaiki perkara itu pada masa depan, sekiranya ia didapati menimbulkan kecacatan.

Mengulas mengenai pencapaian negara setakat ini, Ahmad Shabery berkata sasaran 10 pingat emas masih tidak mustahil dicapai, walaupun temasya sukan itu semakin hampir ke penghujung.

Katanya, beliau berpuashati kerana kebanyakan acara yang diharap mampu menyumbangkan emas, berjaya mencapai sasaran, dan ada juga acara yang mencipta kejutan, seperti menembak dan basikal.

"Kita yakin dapat capai sasaran, tetapi tak bolehlah cakap besar, apa yang penting, cuba yang terbaik dan pastikan pingat itu milik kita," katanya selepas merasmikan penutupan Program Selangkah Ke Universiti (Universiti Malaysia Terengganu) yang disertai 200 pelajar Tingkatan Empat di sini hari ini.

Program anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan, selain memastikan mereka mempunyai hala tuju selepas menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

-- BERNAMA