Halaman

19 October 2010

Tidak Perlu Was-was Untuk Derma Organ

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dr Nordiyanah (tengah) ketika melancarkan Kempen Minggu Kesedaran Pendermaan Organ di HSNZ, Kuala Terengganu. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Kurangnya kesedaran selain was-was untuk menderma kerana dibimbangi disoal malaikat apabila mati kelak, antara faktor utama kurangnya penderma organ berbangsa Melayu berbanding bangsa asing.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan, berkata kerajaan boleh menyediakan prasarana canggih untuk rakyat seperti hospital, peralatan moden dan sumber kewangan namun keputusan untuk menderma organ atau tisu tidak boleh dipaksa sebaliknya perlu kerelaan hati untuk berbuat demikian.

“Berdasarkan perangkaan, kebanyakan penderma organ sama ada paru-paru, buah pinggang, jantung dan kornea adalah bangsa asing dan jarang sekali berbangsa Melayu atau umat Islam, faktor ini berlaku mungkin disebabkan terikat dengan kepercayaan, tidak boleh menderma kerana dibimbangi disoal malaikat apabila mati kelak.

“Penderma tidak perlu bimbang kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan menderma organ seperti kornea, jantung dan sebagainya apabila meninggal dunia kelak diharuskan dalam Islam,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak menjadi satu kesalahan kerana kita membantu mereka yang terdesak selain menghilangkan perderitaan mereka yang sakit.

“Pihaknya sangat mengalu-alukan masyarakat hari ini terutama golongan muda yang sihat untuk melakukan perkara baik ini, kerana buat masa ini terdapat lebih 10,000 pesakit di negara ini sedang menunggu hanya untuk mendapat sebiji buah pinggang.

“Seseorang itu, memerlukan keikhlasan hati yang cukup tinggi, tidak ragu-ragu dan mendapat persetujuan keluarga terdekat terumata ibu bapa, isteri atau suami dan anak-anak sebelum menderma,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Minggu Kesedaran Perdermaan Organ di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini (18 September) .

Katanya, mendapat persetujuan adalah perkara paling penting, kerana dibimbangi akan wujud campur tangan pihak tertentu ketika tiba saat pemindahan walaupun pada awalnya penderma bersetuju untuk menderma.

“Jumlah penderma di Terengganu cukup kecil berbanding negeri lain iaitu hanya dua orang. Kekurangan ini berlaku mungkin disebabkan kurangnya kesedaran, timbul perasaan takut, campur tangan pihak luar, dan was-was.

“Menyedari kelemahan itu, pihaknya akan mengadakan pameran bergerak atau `road show’ di seluruh Terengganu, bermula awal November ini, selain mendapatkan kerjasama pegawai agama untuk menjelaskan fatwa sebenar kepada masyarakat,” katanya.
TEGANUKITA