Halaman

20 October 2010

ZAKARIA BIN IBRAHIM DILANTIK SEBAGAI PENDAFTAR BARU UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU 20 Oktober 2010 - Haji Zakaria bin Ibrahim, 56, dilantik sebagai Pendaftar baru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggantikan Haji Mohd Suib bin Haji Maulud yang telah bersara wajib setelah berkhidmat selama 35 tahun.

Haji Zakaria bin Ibrahim berkelulusan Sarjana Pengurusan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Perundangan Islam) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Haji Zakaria bin Ibrahim, mula berkhidmat dengan UMT dari tahun 2000 ketika UMT dikenali dengan nama Kolej Universiti Terengganu (KUT) sebagai Penolong Pendaftar. Sebelum dilantik sebagai Pendaftar UMT, beliau merupakan Timbalan Pendaftar di Pejabat Pendaftar.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) UMT dan Ketua Penolong Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar ketika universiti ini masih lagi dikenali dengan nama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM). Sebelum menjawat jawatan di UMT, beliau juga pernah berkhidmat di UPM selama 18 tahun.

Beliau juga merupakan seorang staf yang aktif dalam pelbagai aktiviti luar bersama masyarakat termasuk menjadi Presiden Kelab Volkswagen Terengganu, Penasihat Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) peringkat Terengganu, Bendahari kepada Jawatankuasa Masjid Kampung Mengabang Telipot dan juga Timbalan Pengerusi Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.

Haji Zakaria bin Ibrahim juga merupakan salah seorang pemain Golf yang aktif dan menjadi wakil universiti dalam beberapa pertandingan anjuran UMT dan agensi lain termasuk Kejohanan Golf Majlis Sukan Institut Pengajian Terengganu (MASUKIT), Pertandingan Golf Maritim Sedunia dan Kejohanan Sukan Antara Pusat Tanggungjawab di UMT.

Sepanjang perkhidmatan, beliau merupakan seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan universiti terutama pengurusan hal ehwal pelajar, pengurusan akademik dan pengurusan sumber manusia.

SUMBER: Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu

UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:
NAMA : Sayed Mohd Tamimuddin bin Sayed Ibrahim
Penolong Pendaftar Kanan
TEL : 09 - 668 4557/4339
EMEL: tamimsayed@umt.edu.my
WEB : www.umt.edu.my

TARIKH SIARAN: 20 OKTOBER 2010
DISIARKAN OLEH PERHUBUNGAN MEDIA & PENGURUSAN ACARA BERNAMA