Halaman

30 November 2010

GLC Perlu Tampil Kurangkan Beban Kerajaan-MB

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kerajaan negeri menyeru lebih banyak yarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil membantu masyarakat miskin luar bandar sekaligus dapat meringankan beban kerajaan dalam melaksanakan pelbagai kemudahan prasarana dan infrastruktur untuk kebaikan bersama.

“Kita tidak mahu ada jurang yang membezakan antara penduduk di bandar dan luar bandar,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di majlis Perasmian Sumbangan Paip Poly dan Bantuan Pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kampung Pasir Raja, Dungun semalam (25 November).

Hadir sama, Pengerusi Golden Pharos Berhad (GPB), Datuk Zubir Embong dan Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), Encik Hamidi Othman.

“Apa pun yang dilakukan sama ada kerajaan atau GLC, kepentingannya adalah untuk rakyat di kampung-kampung kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri dan tersenarai dalam golongan yang layak untuk di bantu,” katanya.

Katanya, bantuan air paip sumbangan KPKKT ini membolehkan penduduk di kampung ini membina dan meningkatkan sistem penyaluran air dari sumber semula jadi iaitu sungai ke kawasan kampung untuk kegunaan harian.

“Manakala sumbangan bantuan pentadbiran JKKK dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kehidupan seharian dalam menjalankan aktiviti kampung mereka,” katanya.

Lapan kampung yang menerima bantuan termasuklah Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Jongok Batu, Kuala Jengai, Rantau Panjang, Minda, Talong dan Kampung Tepus.

Katanya, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CRS) merupakan salah satu program yang dilaksanakan syarikat bagi mematuhi kehendak Persijilan Perhutanan Antarabangsa yang menghendaki syarikat KPKKT mempertahan dan membaiki kesejahteraan sosial kepada komuniti yang tinggal berhampiran kawasan operasi.

KPKKT merupakan salah satu anak syarikat GPB, yang majoriti sahamnya dimiliki Terengganu Incorporated Sdn Bhd (IT), iaitu syarikat pelaburan milik kerajaan negeri yang telah berjaya memperolehi pengiktirafan badan antarabangsa dalam mengurus hutan ( 2008) dan merupakan pemilik konsesi hutan tropika asli terbesar di Asia.

TEGANUKITA