Halaman

15 November 2010

GURU CEMERLANG DIHARGAI-MB

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bidang pendidikan akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan dan pendidik yang telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang akan diberi penghargaan.

Terbaru, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan seramai 60 guru cemerlang akan dihantar ke luar negara untuk menyertai lawatan sambil belajar sebagai penghargaan selepas Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan terbaik buat kali ke-10 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Beliau memberi jaminan guru cemerlang di sekolah menengah akan turut mendapat habuan sama sekiranya Terengganu muncul terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk kali keempat berturut-turut.

Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Guru- Guru daerah Setiu di Sekolah Menengah Lembah Bidong, Setiu semalam (13 November 2010).

Di majlis itu seramai 1,646 guru di daerah ini menerima penghargaan Menteri Besar pada majlis penyampaian hadiah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)(Elit) Lembah Bidong, semalam.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Langkap, Asha’ari Idris adalah antara yang turut hadir.

Dato’ Seri Ahmad berkata, sebelum ini, seramai 50 guru cemerlang di negeri ini sudah dihantar melawat Australia selama seminggu.

“Ia penghargaan Kerajaan Negeri kepada guru yang komited sehingga berjaya meletakkan Terengganu pada tangga teratas dalam tiga keputusan peperiksaan utama termasuk UPSR,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan pusat dan negeri membelanjakan sejumlah besar
wang untuk pendidikan kerana ia adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Ahmad turut menyentuh tentang betapa pentingnya
kita membuat persediaan untuk mencari peluang pendapatan yang baru, terutama
selepas ketiadaan sumber petroleum.

Beliau yakin bidang pelancongan boleh menjadi sumber alternative yang penting dengan syarat ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan mempastikan keamanan berterusan untuk meyakinkan kehadiran pelancong dan pelabur.

“Jika terlalu kerap berlaku tunjuk perasaan, huru hara dan sebagainya sebagaimana berlaku di negara jiran, ia sudah pasti menjejaskan pendapatan negara dan merugikan rakyat juga,”katanya.

TEGANUKITA