Halaman

30 November 2010

Jawatan Kosong Untuk 2,300 Penganggur

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Sebanyak 2,300 jawatan dalam pelbagai sektor ditawarkan kepada pencari kerja di bawah Program Penempatan Pekerjaan di bandar raya ini yang melibatkan kira-kira 50 majikan.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata 35 peratus daripada jawatan itu adalah di peringkat pengurusan, 35 peratus jawatan pertengahan seperti kerani dan juruteknik manakala selebihnya jawatan kategori rendah seperti operator pengeluaran dan pekerja am.

Fokus utama program adalah kepada golongan miskin tegar di seluruh negara, katanya kepada pemberita pada Program Penempatan Pekerjaan (3P) -- Azam Kerja peringkat negeri Terengganu pada Sabtu.

"Di Terengganu saja ada seramai 42 orang miskin tegar di bawah program berkenaan yang akan ditawarkan pekerjaan. Mereka ini berpendapatan di bawah RM440 sebulan yang perlu diberi pekerjaan untuk menambah pendapatan mereka," katanya.

Datuk Sheikh Yahya berkata terdapat 44,643 orang miskin tegar di seluruh negara, dengan 893 daripadanya termasuk di bawah Azam Kerja. Seramai 354 telah mendapat kerja manakala 539 lagi perlu dibantu untuk mendapatkan kerja.

"Di Terengganu seramai 42 orang miskin tegar di bawah Azam Kerja itu, kita pergi ke rumah mereka dan bawa mereka ke sini untuk beri peluang mendapatkan kerja," katanya.

Beliau menasihatkan pencari kerja supaya tidak memilih kerja yang setaraf dengan kelulusan mereka, kerana yang penting adalah mendapatkan pengalaman bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik pada masa depan.

Menyentuh isu lain, Sheikh Yahya menyarankan syarikat terlibat mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan.

Ini kerana ada syarikat yang menawarkan gaji agak rendah dengan gaji pokok dalam lingkungan RM430 sebulan, walaupun ada elaun dan kerja lebih masa yang boleh mencapai sehingga RM700 sebulan.

"Kita menekankan kepada syarikat-syarikat berkenaan supaya daripada segi gaji pokok supaya kaji semula untuk dinaikkan kepada yang lebih munasabah. Nampaknya majikan boleh terima syor kita dan sedia untuk mengkajinya," katanya.

Datuk Sheikh Yahya berkata garis kemiskinan tegar adalah pendapatan kurang daripada RM440, dan sekiranya majikan menawarkan gaji RM430, ini bermakna jumlah miskin tegar akan bertambah.


TEGANUKITA