Halaman

17 December 2010

SIAPA KELIRUKAN RAKYAT?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Sesuatu yang tidak boleh disembunyikan bahawa pada tahun 2003, kerajaan negeri Terengganu adalah di bawah pemerintahan Pas.

Menteri Besar ketika itu ialah Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Oleh itu isu tuntutan Riyapadu Sdn.Bhd. berkaitan tuntutan saman 1 billion terhadap kerajaan negeri adalah berlaku semasa zaman Pas memerintah Terengganu. Ini suatu fakta.

Apapun keputusan mahkamah, sama ada memihak kepada kerajaan negeri atau Riyapadu, kedua-duanya kenalah menghadapinya.

Kalau kerajaan negeri diputuskan bersalah dan kena membayar ganti rugi dan tuntutan-tuntutan pihak plaintif, ia perlulah ditanggung, sekalipun kerajaan negeri yang membuat kesilapan ketika itu ialah di bawah pimpinan Pas.

Kalau pihak Riyapadu diputuskan bersalah dan kerajaan negeri bertindak betul, semua pihak juga perlu akur, tidak perlulah takut kepada bayang-bayang.

Mengapa ada pihak yang cuba mengugut hendak mengambil tindakan saman kepada pihak yang mengelirukan rakyat? Mengapa cuba mengalih isu atau memutarbelitkan isu.

Mengelirukan rakyat? Keliru apa? Yang menandatangani perjanjian mengambil hasil hutan dari mukim Hulu Terengganu, Daerah Hulu Terengganu seluas 16,587 hektar pada 3 April 2003 adalah Menteri Besar waktu itu sendiri, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Tujuh belas muka surat perjanjian, setiap helai ditandatangani oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Hendak nafi apa lagi.

Oleh itu, kenyataan Menteri Besar Terengganu pada masa sekarang, Dato’ Seri Ahmad Said bahawa jika tuntutan Riyapadu itu berjaya, mahu tidak mahu kerajaan negeri sekarang terpaksa bayar juga.

“Kita sangat kecewa dan dukacita kerana sepatutnya kes sebegini tidak berlaku,” kata Dato’ Seri Ahmad.

Apa yang dijelaskan oleh Dato’ Seri Ahmad itu betul.

Bekas seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semasa Pas memerintah yang kini berjawatan penting dalam Pas mendakwa bahawa pihaknya (Pas) mempertahankan keputusan kerajaan negeri waktu itu yang membatalkan lesen kontrak terhadap Riyapadu.

Katanya, sebenarnya pada tahun 2003 jawatankuasa bersetuju menawarkan konsesi balak kepada syarikat berkenaan, selepas ditawarkan, ada perjanjian bahawa dalam masa tertentu mengikut jadual yang terkandung, mereka perlu membayar premium.

Dakwaannya bahawa premium itu tidak dibayar (oleh Riyapadu), itu biarlah mahkamah yang putuskan pihak manakah yang benar dan salah.

Difahamkan, mengikut penghakiman pada 27 Oktober 2010, mahkamah memerintahkan supaya defendan (kerajaan negeri Terengganu) mengembalikan wang sebanyak RM25 juta yang telah dijelaskan oleh plantif (Riyapadu Sdn Bhd) pada tahun 2003 kepada kerajaan negeri pada masa itu bagi bayaran premium konsesi balak di kawasan yang telah diusahakan.

Di samping pengembalian bayaran premium tersebut, mahkamah juga memerintahkan pembayaran fadedah sebanyak RM7.55 juta pada kadar faedah 4 peratus setahun dan baki deposit bagi bayaran lesen dan cukai balak berjumlah RM166,432,86 dibayar kepada plaintif.

Hakim juga memutuskan bahawa plaintif juga berhak mendapat bayaran keuntungan hasil kawasan balak seluas 1,200 ekar yang merupakan sebahagian dari keseluruhan konsesi yang diserahkan kepada Riyapadu Sdn Bhd.

Kenyataan tentang keputusan mahkamah itu dibuat oleh Elly Azwin Dato’ Abdul Hamid dalam satu kenyataan akhbar dan sidang akhbar baru-baru ini.

Lantaran itu tidaklah salah kalau Dato’ Seri Ahmad membuat kenyataan bahawa jika tuntutan itu berjaya (dimahkamah) mahu tidak mahu kerajaan negeri terpaksa bayar juga.

Ia bukan suatu kenyataan mengelirukan, tetapi faktanya begitu. Dato’ Seri Ahmad membuat kenyataan itu kerana kesediaannya untuk menghormati mahkamah.

Kenapa ada pihak mahu mempertikaikan apa yang telah diputuskan oleh mahkamah. Kalau berbuat demikian, bermakna sudah menghina mahkamah dan perlu diambil tindakan.

Jadi siapa yang kelirukan rakyat? Atau ada pihak kini sudah tidak senang duduk kerana membuat satu dosa dan kesalahan besar kepada rakyat Terengganu kerana jika tuntutan itu berjaya…sejumlah besar wang kerajaan negeri yang merupakan wang rakyat akan hangus begitu sahaja!!


TEGANUKITA