Halaman

14 January 2010

ECER Bantu Atasi Pengangguran

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yakin program Pembangunan Modal Insan di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bagi menangani masalah pengangguran akibat krisis kewangan dunia.



Menteri Besar, Dato' Ahmad Said melancarkan Program Kerjaya Peringkat Negeri Terengganu sambil diperhatikan Dato' Mokhtar Nong (kiri) dan Dato' Issace John. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Program kerjaya ECER ini membabitkan tiga bahagian utama iaitu Program Penempatan Graduan (PPG), Program Penempatan Pekerja (PPP) dan Program Latihan Kemahiran (PLK),” katanya pada majlis pelancaran Program Kerjaya Peringkat Negeri Terengganu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu hari ini (12 Januari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Dato’ Jebasingam Issace John: Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri.


Peserta program menerima sijil daripada Dato' Ahmad.

Sehubungan itu PPG yang bermula Oktober tahun lalu mendapat sambutan daripada graduan menganggur dan 304 orang telah mendaftar untuk bekerja sekurang-kurangnya dua tahun di syarikat-syarikat terpilih.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama peserta akan diberi pendedahan latihan di tempat kerja dengan menerima gaji minima RM1,200 sebulan,” katanya.

Katanya, 448 peserta telah mendaftar dalam PPP dan ECER telah membantu syarikat-syarikat di negeri ini mencari pekerja tetap dan sambilan dari kalangan mereka yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini.

Dato’ Ahmad berkata, 13 buah pusat latihan telah dilantik dengan mengendalikan 74 kursus-kursus kemahiran yang sesuai dengan keperluan semasa di bawah PLK membabitkan 909 peserta.

Katanya setakat ini, peserta boleh mengikuti pelbagai latihan kemahiran dalam bidang mekanikal, eletronik dan komputer, pramusaji dan pelancongan, termasuk juga kursus-kursua berteknologi tinggi seperti robotik dan otomasi.

“ECER mensasarkan 70 peratus daripada peserta yang dilatih akan layak bagi penempatan pekerjaan dengan syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya.

Menteri Besar yang baru selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelaras (ICC) Majlis Pembangunan ECER turut memaklumkan bahawa semua projek ECER di negeri ini berjalan lancar dan mengikut jadual.



Antaranya, termasuklah taman Industri Polimer Kertih (KPP); projek Pelancongan Persisiran Pantai Teluk Bidara dan Pulau Besar; Pembangunan Pelancongan Inap Desa (Homestay) dan Taman Industri Berat Kemaman.

Program Pembangunan Kelompok Ternakan Lembu dan Kambing di Ulu Tersat dan Kuala Berang; Lembah Sitrus Dungun dan projek Agropolitan Besut-Setiu.

Katanya, Terengganu sebagai gerbang utama pelancongan ke ECER bakal menyaksikan pembangunan secara bersepadu dalam sektor perhotelan di persisiran pantai dan pembangunan resort.

UKOM

berita penuh

PTG Terengganu Jabatan Terpantas Urus Tanah

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad berbual dengan kakitangan PTG ketika meninjau jabatan itu di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pejabat Tanah Galian (PTG) Terengganu muncul sebagai pejabat pentadbiran tanah yang pertama di Malaysia berjaya menyelesaikan urusan pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dalam tempoh hanya beberapa jam atau maksima sehari.


Urusan pendaftaran itu melibatkan proses pindah milik, melepas gadaian, memasukkan tegahan dan pertukaran nama pesaka kecil menerusi kaunter ekspres di PTG dalam tempoh sehari tanpa perlu menunggu permintaan pelanggan.


Dato' Abdul Razak menemani Dato' Ahmad memotong riben merasmikan kaunter pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dalam tempoh satu hari.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kejayaan yang dicapai PTG sebagaimana pencapaian Jabatan Imigresen yang berjaya menyiapkan permohonan pasport dalam tempoh masa sehari, sedangkan PTG melibatkan pengurusan yang lebih rumit.

“Tetapi berkat kerja bersungguh-sungguh dan `brainstoming’ antara pengarah, pegawai dan kakitangannya mereka dapat melaksanakan tugas ini dengan sempurna.


Pejabat PTG yang kondusif dengan sistem fail teratur, menyimpan fail-fail lama yang bersistem.

“Saya juga merasa bangga suasana persekitaran pejabat PTG yang kondusif sekali, dengan sistem fail teratur, penyimpanan fail-fail lama dan sistem stor serta berdasarkan apa yang kita lihat tadi memang menakjubkan,” kata beliau selepas taklimat PTG menuju ke arah kecemerlangan sempena pelancaran pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dalam tempoh satu hari, di PTG, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini (13 Januari).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, semua exco kerajaan dan Pengarah PTG, Dato’ Abdul Razak Ismail.

Menteri Besar berharap proses urusniaga yang cekap dan lancar itu dapat diperkembangkan ke peringkat daerah supaya semua rakyat mampu menikmati perkhidmatan terbaik dari jabatan kerajaan.

“Segala halangan pada peringkat awal bagi merealisasikan matlamat itu dapat diselesaikan jika memiliki sikap ingin berubah untuk melihat kemajuan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat maka kita boleh melaksanakannya dengan sempurna,” katanya.


Taklimat mengenai pejabat PTG.

Menurut Dato’ Abdul Razak Ismail, pihaknya mampu menyelesaikan 30 kes dalam masa sehari sejak awal Disember lalu dan pencapaian itu akan dikekalkan menerusi pengawasan serta pemantauan yang berterusan daripada ketua jabatan.

Selain itu, PTG turut mendapat pengitirafan pensijilan ISO 9001:2000 pada Mei 2008, ISO 9001:2008 pada Ogos 2009, Sijil Persekitaran Berkualiti 5S pada 19 April 2009.

Sebelum itu, PTG turut menerima Sijil Pendaftaran Sistem Kualiti MS ISO 9000 Perkhidmatan Awam Malaysia (MS ISO 9002:1994) (Skop Pendaftaran) dan tempat pertama bagi Anugerah Inovasi/Kualiti Pentadbiran Tanah 2003.

UKOM

berita penuh

SUK Dirai Sebelum Bersara

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Perasaan sebak dan terharu jelas terpapar pada wajah Dato' Mokhtar Nong, sebaik mengumumkan persaraannya dari jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika majlis meraikan persaraannya di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Pesanan keramat ibu, membuatkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, yang bakal bersara 15 April ini, tidak mampu menahan sebak hingga nada ucapannya tersekat-sekat, sempena majlis meraikan persaraannya, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini (13 Januari).

Malah, beliau terpaksa mengambil masa beberapa minit sebelum dapat meneruskan pesanan ibunya untuk dikongsi bersama-sama warga WDI dan akhirnya terpaksa menghentikan serta-merta ucapan dengan pesanan tersebut.


Dato' Mazlan Ngah (kiri) yang akan memangku jawatan SUK menyampaikan cenderahati kepada Dato' Mokhtar Nong.

Walaupun Dato’ Mokhtar hanya sempat melontar sebaris pesanan ringkas berbunyi `Setinggi mana pangkat yang kita sandang, jangan lupa orang di bawah kita kerana mereka juga perlu diberi perhatian’, ia menyentuh hati pegawai kanan dan kakitangan awam yang turut hadir pada majlis tersebut.

Sebahagian besar kakitangan awam turut menangis bersama-sama Mokhtar yang tidak mampu meneruskan ucapannya kerana amat terharu apabila mengenangkan pesanan itu serta kepiluannya meninggalkan rakan-rakan yang masih dalam perkhidmatan dan orang bawahannya.


Dato' Mokhtar Nong berbincang sesuatu dengan pegawai kanan kerajaan.

Dato’ Mokhtar akan bercuti mulai esok dan bersara mulai 15 April depan. Sepanjang tiga bulan beliau bercuti, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, akan memangku jawatannya.

Terdahulu, Timbalan Setiusaha Kerajaan (Pengurusan), Haji Husain Embong, berkata pesaraan Dato’ Mokhtar merupakan satu kehilangan besar bagi kerajaan negeri kerana beliau sentiasa komited dalam kerja.


Kakitangan kerajaan bersalaman dengan Dato' Mokhtar di majlis perpisahan beliau.

Beliau berkata, SUK mudah didekati semua pihak, bukan sahaja pegawai atasan malah kakitangan bawahan.

“Walaupun memilki suara agak lantang tetapi sangat disenangi dan mempunyai bukti pekerti yang tinggi.

“Sepanjang menjalankan tugas, pelbagai pendekatan dilaksanakan semata-mata ingin menaikkan imej dan produktiviti negeri,” katanya.

Menurutnya, usaha gigih Dato’ Mokhtar meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan, mampu menaiktaraf mutu perkhimatan kerajaan negeri hingga mencapai tahap empat bintang mengikut penilaian MAMPU.

“Sebagai kesimpulannya, Dato’ Mokhtar telah berjaya menjalankan tugas dengan sempurna dan saya percaya penggantinya selepas ini akan melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang,” katanya.

UKOM

berita penuh

12 January 2010

TUNGGUKAN KEMUNCULAN TEGANUKITA BERWAJAH BARU




berita penuh

Kumpulan Kencana Lebarkan Operasi Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- Kumpulan Kencana Petroleum Berhad, sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas, berhasrat untuk bertapak di kawasan industri minyak dan gas di Terengganu.


Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Kencana, Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir berkata sebagai permulaan, kumpulan itu akan menggunakan khidmat Kapal KPV Kapas berharga RM46 juta untuk memulakan operasi dalam industri berkenaan di kawasan perairan Laut China Selatan.

"Kumpulan Kencana melihat kawasan perairan Laut China Selatan terutamanya perairan Terengganu yang sudah mempunyai industri minyak dan gas sejak sekian lama, mampu berkembang lagi pada masa depan.

"Dengan kerjasama rakan kongsi di sini, kita akan cuba melabur di Terengganu serta di kawasan sempadan negara dengan Thailand dalam industri ini. Pada masa ini juga kita sedang mencari tempat untuk bertapak di kawasan industri minyak dan gas di Kemaman," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis perasmian Kapal KPV Kapas yang disempurnakan oleh Tengku Ampuan Besar Terengganu, Tengku Ampuan Bariah.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud.

Kapal KPV Kapas sepanjang 60 meter memiliki enjin berkuasa 5,220 kuasa kuda merupakan kapal pertama milik Kumpulan Kencana yang boleh digunakan sebagai kapal sokongan untuk pelbagai operasi minyak dan gas.

Antara operasi kapal KPV Kapas yang berdaftar di Pelabuhan Kelang yang siap dibina pada 28 Okt lepas ialah untuk kerja-kerja pemasangan pelantar minyak dan struktur-struktur lain selain menyediakan tempat kerja terapung, kerja-kerja menunda dan membawa bekalan.

Mokhzani berkata kumpulan itu juga yang sebelum ini aktif di Pantai Barat Semenanjung juga mensasarkan untuk membeli beberapa buah kapal lagi bagi kerja-kerja dalam industri minyak dan gas di perairan Laut China Selatan pada masa depan.

Katanya, pihaknya akan melihat industri pembuatan bot dan kapal di Terengganu sebelum membuat tempahan bagi tujuan tersebut.

Sementara itu Ahmad ketika ditanya penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dalam bidang petroleum dan gas, beliau berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri mengambil peluang menceburinya.

"Kita melihat industri minyak dan gas di Terengganu mempunyai masa depan yang sangat cerah dan kita berharap anak-anak syarikat kerajaan negeri juga turut mengambil peluang menceburi industri ini," katanya.

-- BERNAMA

berita penuh

Program Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) - Program English Teaching Assistant (ETA) yang menggunakan khidmat pelajar cemerlang Fulbright Scholars dari Amerika Syarikat akan diteruskan dalam usaha membantu pelajar Terengganu mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris.


Ketua Sektor Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong berkata seramai 14 pelajar berkenaan akan dibawa ke Terengganu menerusi pertukaran pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) yang akan diuruskan kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan berkenaan.

"Program kali ini merupakan kali kelima diadakan yang sehingga kini telah membabitkan lebih 50 pembantu pengajar Bahasa Inggeris diambil dan ditempatkan di sekolah-sekolah kawasan bandar dan pedalaman," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Menurutnya, kesemua pelajar berkenaan yang akan tiba di Terengganu mulai Khamis ini, terdiri daripada pelajar pelbagai kolej dan universiti di Amerika Syarikat termasuk dari Universiti Havard.

Beliau berkata kumpulan berkenaan akan diletakkan di setiap daerah setelah mereka mengikuti program orientasi selama dua minggu di sini.

--BERNAMA


berita penuh

MB lawat ADUN Pas

Oleh : Kamaruddin bin Mat Akib / Zulkipli bin CW. Putera



Walaupun sibuk dengan tugas rutin harian, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, meluangkan masa menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Dato’ Harun Taib, yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, baru-baru ini.


Beliau meluangkan masa hampir setengah jam di wad kenamaan hospital tersebut, bagi bertanyakan khabar ADUN Pas berkenaan.

Menteri Besar sempat menasihatkan Dato’ Harun supaya berehat dan menjaga kesihatan agar cepat sembuh.

Dato’ Harun dimasukkan ke hospital berkenaan pada 7 Januari lalu kerana menghidap penyakit darah tinggi dan keadaannya semakin stabil selepas mendapat rawatan.

Menteri Besar kemudiannya turut mengambil kesempatan melawat dua kakitangan hospital berkenaan yang turut dirawat di wad yang sama.

UKOM

berita penuh

11 January 2010

JPV Terengganu Cadang Bangun Industri Burung Walit Mampu Milik

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan membangunkan industri burung walit mampu milik terutamanya di kalangan orang Melayu sebagai satu alternatif baru menambah pendapatan.

Pengarah JPV Negeri Dr Azizol Mohd Sharun berkata ini kerana penglibatan orang Melayu dalam bidang berkenaan di negeri ini, setakat ini masih rendah berbanding kaum lain.


"Peratusan orang Melayu yang terlibat dalam industri burung walit di Terengganu setakat ini hanya sekitar 21 peratus sahaja, berbanding bangsa lain.

"Sebab itu, kalau boleh kita hendak seramai mungkin orang Melayu di negeri ini terlibat dalam industri untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Ahad.

Dr Azizol berkata dalam mambangunkan industri burung walit ini, pihaknya tidak akan melupakan golongan miskin supaya turut sama terlibat dalam projek-projek yang akan dijalankan nanti.

Beliau berkata pihak jabatan sedang menimbang kemungkinan menyediakan prasarana termasuk rumah burung-burung berkenaan yang dianggarkan bernilai antara RM15,000 hingga RM100,000 sebuah, dan ia dijangka mampu memberi pendapatan antara RM400 dan RM500 sebulan sekurang-kurangnya pada peringkat awal.

"Kita masih mengkaji sama ada akan menjalankan projek ini secara berkelompok atau individu. Butir-butir mengenai projek ini masih di peringkat awal perbincangan," katanya.

Dr Azizol berkata beberapa projek burung walit tradisional yang dibangunkan di negeri ini akan dijadikan contoh untuk projek burung walit mampu milik itu.

Beliau berkata JPV akan memohon bantuan daripada kerajaan negeri sekurang-kurangnya RM300,000 untuk membangunkan industri burung walit di Terengganu tahun ini.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan industri burung walit untuk menambahkan pendapatan ekonomi negara dan individu terlibat, katanya.

-- BERNAMA

berita penuh

10 January 2010

Guru Tahun Enam di Terengganu akan diberi e-Book

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengagihkan 800 unit e-Book kepada semua guru yang mengajar murid Tahun Enam di negeri ini sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata sebelum itu, guru berkenaan akan terlebih dahulu menjalani tiga siri kursus yang dikendalikan syarikat komputer Intel dengan kerjasama kerajaan negeri.


"Kita tidak mahu murid menggunakan komputer manakala guru masih menggunakan buku biasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kecemerlangan pelajar UPSR Terengganu 2009 di sini, hari ini.

Pada peperiksaan UPSR lalu, 3,664 murid di Terengganu memperoleh 5A, sekali gus menjulang Terengganu sebagai negeri yang berjaya mengungguli peperiksaan itu selama sembilan tahun berturut-turut.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga akan menampung kos bagi memasang peralatan komputer dengan kerjasama Intel untuk membolehkan guru mengawal komputer murid di dalam kelas.

Beliau berkata dengan kemudahan itu, semua murid Tahun Enam akan menjalani peperiksaan bulanan secara online bermula Jun ini, dan murid yang mendapat tempat pertama hingga ke 10 setiap bulan di setiap sekolah akan diberi hadiah wang tunai.

- Bernama

berita penuh

TATiUC Tawar Diploma NDT

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kolej Universiti Tati (TATiUC) yang menekankan aspek kemahiran menerusi bidang yang ditawarkan kepada pelajarnya terus mengorak langkah mempelbagaikan program seiring dengan perkembangan industri negara.

Bermula tahun ini, TATiUC menawarkan Diploma in Non-Destructive Testing (NDT) atau Ujian Tanpa Musnah.


Pengambilan pelajar pertama dijangka pada Julai depan sekaligus menjadikan TATiUC sebagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama di negara ini yang menawarkan program NDT peringkat Diploma.

Sebelum ini, TATiUC hanya menawarkan program NDT di peringkat sijil bermula dari tahun 1996 melalui anak syarikatnya Ruane-TATI Sdn. Bhd.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata NDT merupakan satu bidang yang berkaitan Kawalan Mutu (QC) contohnya dalam bidang industri minyak dan gas.
Katanya, ujian tanpa musnah dilaksanakan bagi menguji kualiti serta mutu sistem perpasangan minyak dan gas tanpa perlu memusnahkannya.

Bidang itu merupakan salah satu daripada sub bidang sains nuklear. Selain itu, bidang NDT ini juga boleh digunakan dalam bidang fabrikasi, industri pembinaan, aeroangkasa, automotif dan bidang penyelidikan nuklear.

Dr Mohd Rozailan berkata, permintaan tenaga kerja dalam bidang NDT ini bertambah seiring dengan perkembangan industri minyak dan gas di negara ini.

Beliau berkata, senario itu dapat dilihat apabila pelajar yang mengikuti kursus NDT di peringkat sijil ini mudah mendapat pekerjaan sama ada di dalam negara dan juga luar negara.

TATiUC merancang menawarkan kursus ini di peringkat diploma supaya graduan di bidang itu dapat mempelajari dengan lebih mendalam serta menjadikan mereka graduan NDT yang berkemahiran tinggi, berdasarkan permintaan yang tinggi dalam pasaran industri minyak dan gas dalam dan luar negara.

“Selain mempunyai pengalaman dalam menawarkan program ini, TATiUC juga mempunyai tenaga pengajar yang berkualiti dalam bidang NDT. Selain mengajar, mereka pernah bekerja di industri dan sekaligus dapat membantu para pelajar belajar dengan lebih berkesan dalam bidang tersebut,” katanya.

TATiUC turut mempunyai kemudahan-kemudahan makmal yang lengkap antaranya makmal `Penetrant Testing', makmal `Magnetic Particle Testing', makmal `Ultrasonic Testing; dan makmal `Radiographic'.

Makmal lain seperti makmal elektrik dan elektronik serta makmal instrumentasi yang terdapat di Fakulti Elektrik dan Automasi akan digunakan sebagai sebahagian makmal Diploma NDT itu.

Dalam pada itu, TATiUC juga telah menjalinkan kerjasama dengan rakan industri dalam bidang minyak dan gas, antaranya Petronas, `Schlumberger Oilfield 'dan Huntsman Tioxides (M) Sdn Bhd. Kerjasama dengan syarikat tersebut telah dapat membantu membangunkan bidang NDT di TATiUC.

TATiUC berharap dengan kepakaran dan pengalaman dalam bidang itu, program Diploma NDT dapat menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut untuk dipasarkan ke industri tempatan dan juga luar negara.

UKOM

berita penuh