Halaman

13 March 2010

Hishammuddin dan MB Sertai Perarakan Maulidur Rasul

Laporan: Kamarudin Mat Akib, Mohd Hazwan Rosli dan Harun Hassan


Dato' Ahmad Said, Datuk Hishammuddin dan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengetuai perarakan Maulidur Rasul peringkat daerah Kemaman.
Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


KEMAMAN, 13 Mac -Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengetuai perarakan Mulidur Rasul peringkat daerah Kemaman, hari ini.

Lebih 28,000 peserta menyertai perarakan mengelilingi bandar Cukai sejauh tujuh kilometer, melibatkan 405 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).



Antara kontijen yang menyertai perarakan Maulidur Rasul.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek turut menyertai perarakan tersebut.

Datuk Seri Hishammuddin dalam sidang media selepas itu menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mengatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telah hantar surat peletakan jawatan.

Beliau yang menyifatkan laporan tersebut sebagai pembohongan, mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Mahmood Adam untuk memanggil editor akhbar terbabit bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Katanya, tidak mungkin pegawai tinggi polis berkenaan mereka akan letak jawatan tanpa pengetahuan beliau dan beliau tahu laporan akhbar itu adalah satu pembohongan.

Menurutnya, setakat ini Musa masih menjalankan tugas seperti biasa dan kontraknya dijangka tamat September ini.


Kontijen daripada Kampung Che Wan, Kijal turut menyertai perbarisan.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok muncul johan perbarisan peringkat sekolah rendah dan menggondol wang tunai RM5,000 manakala Tadika Kampung Tengah, Kijal johan peringkat pra-sekolah.

JKR Kemaman pula muncul johan kategori sepanduk terbaik antara jabatan kerajaan dan menerima wang tunai RM3,000 manakala kategori terbuka dimenangi Taman Perumahan Gong Pauh.

TEGANUKITA

berita penuh

12 March 2010

SPM Terengganu Atasi Pencapaian Nasional

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan umum apabila Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan serentak di seluruh negeri hari ini turut merekodkan peningkatan gred purata daripada 5.27 (2008) kepada 5.08 yang mengatasi pencapaian peringkat nasional (5.34).


Untuk rekod, semakin kecil nilai gred purata menunjukkan prestasi semakin meningkat.

Selain gred purata yang meningkat, Terengganu juga menunjukkan peningkatan dari segi peratus calon yang memperolehi semua A, peratus lulus semua subjek, peratus minimum C dan peningkatan calon layak mendapat sijil SPM.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Ariffin Embong, berkata peratusan calon yang mendapat semua A dalam semua subjek yang diambil meningkat daripada 1.35 peratus (295 calon) pada 2008 kepada 1.59 peratus (355 calon) tahun ini.

Manakala peratusan lulus semua subjek meningkat 3.97 peratus daripada 51.03 peratus atau 11,166 calon (2008) kepada 55 peratus atau 12,285 calon tahun ini.

Katanya, peratus minimum C dalam semua subjek juga meningkat sebanyak 1.45 peratus daripada 15.94 peratus (3,883 calon) pada 2008 kepada 17.38 peratus (3,487 calon) pada 2009.

“Alhamadulillah, keputusan SPM 2009 bagi sekolah seluruh Terengganu sekali lagi menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam semua aspek berbanding tahun lalu.

“Ini semua terhasil daripada kerja kuat dan sokongan kerajaan negeri, calon SPM, pengetua dan pentadbir sekolah, guru-guru, warga kerja Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan semua warga Pejabat Pelajaran Daerah,” kata beliau sejurus mengumumkan keputusan SPM 2009, di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, hari ini (11 Mac).

SM Sains Kuala Terengganu muncul antara lapan sekolah cemerlang seluruh Terengganu dengan pencapaian gred purata sekolah (gps) 1.841. Manakala sekolah lain adalah Sekolah Berintegrasi Penuh Integrasi Batu Rakit yang memperolehi gps 1.878, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong (2.048), Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu (2.053).

Sekolah lain, SM Sains Sultan Mahmud (2.097); MRSM Kuala Berang (2.115); SM Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik (2.140 dan SM Imtiaz Kuala Terengganu mencapai 2.188.

TEGANUKITA

berita penuh

Kerajaan Hulur Bantuan Kepada Dua Pesakit

Oleh Kamaruddin Mat Akib


Dato' Ahmad memakaikan kaki palsu kepada Nik Shamsiah sambil dibantu YB Yahya Khatib di Kampung Binjai Rendah, Marang. (Gambar oleh : Zulkipli bin CW. Putera)

Dua pesakit, seorang pemuda yang lumpuh dan wanita yang mempunyai sebelah kaki sahaja, diberi bantuan oleh kerajaan negeri petang semalam (10 Mac), bagi meringankan beban yang dihadapi mereka.


Sebagai tanda prihatin terhadap nasib rakyat, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, ‘turun padang’ bagi menyampaikan bantuan tilam udara dan pelbagai peralatan perubatan bernilai hampir RM10,000 kepada Mohd Nainuddin Kassim, 33, di rumah pesakit tersebut di Kampung Gong Nangka, Marang.


Menteri Besar berbual dengan Mohd Nainuddin selepas menyampaikan bantuan tilam dan peralatan perubatan di Kampung Gong Nangka, Marang.

Mohd Nainuddin yang bekerja sebagai buruh lumpuh selepas terjatuh dari bangunan tangki air di Balai Polis Jerangau Sungai, November tahun lalu.

Selepas itu, Dato’ Ahmad menyampaikan bantuan kaki palsu berharga RM3,800 kepada Nik Shamsiah Omar, 48, yang tinggal bersama-sama adiknya di Kampung Binjai Rendah.

Sewaktu menziarahi Nik Shamsiah, Menteri Besar turut meluluskan serta-merta permohonan pesakit yang memerlukan sebuah rumah, di bawah projek Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

TEGANUKITA

berita penuh

Siasatan Bumbung Stadium Runtuh Didedah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad dan Dato' Mazlan menunjukkan buku laporan bumbung stadium runtuh kepada pemberita. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri hari ini mendedahkan laporan siasatan bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh tahun lalu kepada umum.


“Kerajaan bersetuju dengan laporan panel penilai mengenai punca keruntuhan itu diberitahu kepada umum, “ katanya kepada pemberita selapas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (10 Mac).

Mengikut laporan penilai, hampir semua bahagian yang terbabit dalam pembinaan struktur bumbung stadium berkenaan menjadi punca runtuhan itu terjadi.


Menteri Besar dan SUK Terengganu ketika menjawab pertanyaan pemberita.

“Ini termasuklah reka bentuk bumbung dikatakan dibina selepas kerja-kerja pembinaan stadium siap mengakibatkan kedudukan struktur bumbung tidak sejajar,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, pemilihan bahan-bahan binaan yang meragukan serta tidak mengikut spesifikasi yang ditentukan, selain pemasangan bumbung hanya mengikut anggaran tanpa mengambil kira keseimbangan sebenar bumbung terbabit.

Katanya, reka bentuk yang tidak sesuai dan gagal menyokong struktur bumbung serta bumbung tidak dibina dengan sempurna menyebabkan berlaku salah jajaran.

Berasaskan perjanjian asal katanya, kontraktor mesti mengambil tanggung jawab di atas segala kerosakan dan perlu membaiki semula kerosakan tersebut.

Sehubungan itu katanya, kerajaan telah mengeluarkan notis kepada kontraktor untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan bumbung yang rosak minggu ini.


Pemberita begitu berminat untuk mengetahui laporan kejadian bumbung stadium runtuh.

“Kerja-kerja pembersihan juga harus dilihat dalam banyak perkara terutama dari segi keselamatan perkakas dan peralatan yang ada dan penggunaan selepas pembersihan,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Ahmad akan memastikan pemilihan kontraktor yang tepat untuk melakukan kerja mengangkat dan membersihkan bumbung runtuh berkenaan supaya mereka lebih bertanggungjawab selain tidak merosakkan komponen yang sedia ada.

TEGANUKITA

berita penuh

Cacat Bukan Halangan Nur Najmi Mendapat 8A

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pelajar cacat pengelihatan yang baru menjalani pembedahan mata yang ditanggung Kerajaan Negeri Terengganu, Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, gembira selepas melihat keputusan SPM yang memperolehi 8A 2B.

KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Pelajar cacat penglihatan, Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, mencatat sejarah dalam pendidikan negara apabila muncul antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 bagi kategori pendidikan khas.


Anak petani dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu mencatat 8A dan 2B dalam keputusan SPM yang diumumkan serentak seluruh negeri, hari ini (11 Mac).

Dia yang ditemani bapanya, Mohd Sakari, 54, dari Kampung Jerung Tuan, Wakaf Tapai, Marang menitiskan air mata kegembiraan apabila menatap keputusan yang tercatat pada slip keputusan peperiksaan yang diserahkan pengetua sekolahnya, Hajah Zabedah Muda.

“Saya mahu dedikasikan kejayaan saya kepada rakan-rakan yang senasib seperti saya supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan tidak menjadikan kecacatan ini sebagai penghalang.

“Selepas ini saya berazam untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan dan menjadi tenaga pengajar untuk membantu golongan seperti saya kerana hanya saya yang mampu merasai apa yang mereka rasai,” katanya.

Katanya, usaha dan doanya tanpa henti selain sokongan keluarga dan guru yang tiak jemu membimbing dan memberi pengajaran khas kepadanya akhirnya berbaloi dengan apa yang sudah terbukti kini.

Nur Najmi berkata, walaupun dilahirkan cacat, beliau tidak pernah merasa serba kekurangan, malah yakin kepada kemampuan diri dan tidak sesekali menyerah kalah dan berusaha untuk mencapai sasaran dan menggembirakan keluarga.

Bapa Nur Najmi, Mohd Sakari bekerja sebagai petani, yang tidak dapat membendung tangisan kesyukuran dengan kejayaan luar biasa anak keenam daripada lapan beradik itu, tidak menduga anaknya yang dilahirkan cacat penglihatan sejak kecil itu mampu membuktikan kecacatan bukan penghalang untuknya cemerlang.


Tiga gambar ini menunjukkan reaksi Nur Najmi Syamila ketika melihat keputusan SPM.

“Pak cik terharu sangat..sentiasa minta hidayah dan petunjuk dari Allah SWT supaya anak pak cik berjaya dan Alhamdulillah hari ini dia berjaya.

“Dia jadikan empat kakak dan abang yang lain sebagai contoh dan pak cik terharu sangat walaupun peringkat awal risau juga memikirkan nasib dia. Tapi apabila masuk sekolah menengah dia semakin bagus dan sentiasa cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Nur Najmi antara pelajar pendidikan khas yang menjalani pembedahan mata sumbangan kerajaan negeri pada Disember lalu.

TEGANUKITA

berita penuh

08 March 2010

Penduduk MBKT Gagal Bayar Cukai Pintu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kegagalan penduduk menunaikan tanggungjawab membayar cukai pintu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan RM50 juta setahun bagi menampung kos operasi dan pembangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).


Kadar cukai pintu MBKT (sebelum ini Majlis Perbandaran Kuala Terengganu) tidak pernah dinaikkan sejak 29 tahun lalu walaupun sudah dua kali kajian mengenainya dijalankan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata MBKT berdepan dengan kekangan hasil pendapatan berbanding majlis bandar raya yang lain disebabkan penduduk di Kuala Terengganu yang liat membayar dan melunaskan tunggakan cukai pintu.

“Kerajaan negeri terpaksa memberikan RM50 juta setahun dalam tempoh lima tahun kepada MBKT untuk membantu dan menyokong majlis bandar raya. Kalau pendapatan RM30 juta, jadi kesemua RM80 juta pendapatannya (yang diperlukan) untuk buat semua sekali.

“Sebab itu saya kata, 29 tahun cukai pintu tidak pernah dinaikkan…Bayangkan. Orang kita bayar cukai pintu. Kita tidak naikkan pun, tapi kita minta dengan kadar yang sama juga tidak bayar,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Pemantapan Hala Tuju MBKT di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (7 Mac)

Hadir sama, Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Setiausahanya, Haji Sameun Salleh. .

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri kesal dan kecewa dengan sikap penduduk Kuala Terengganu dan juga pengundi dalam MBKT yang gagal membayar cukai kerana mereka sepatutnya memainkan peranan besar menyumbang ke arah pembangunan bandar raya.

Katanya, menerusi hasil yang terkumpul melalui pembayaran cukai, MBKT dapat melakukan pelbagai pembangunan kawasan Bandar Kuala Terengganu termasuk mempertingkatkan kemudahan jalan raya, perparitan dan longkang.

“Bayar RM15 hingga RM20 seorang apa salahnya kerana kita hendak suasana yang selesa tetapi kita tidak sanggup mengeluarkan sedikit bayaran menunaikan tanggungjawab kita..jadi payahlah.

“Kalau nak ikutkan sudah dua kali kita buat kajian (menaikkan cukai pintu). Tetapi kerajaan diugut balik jika cukai dinaikkan. Itu sikap orang kita kalau menaikkan bayaran memang sensitif. Tetapi tidak tahu sampai bila kita mampu bertahan,” kata beliau lagi.

TEGANUKITA

berita penuh

Program Prihatin Bantu OKU

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Hasrat untuk menatap wajah Menteri Besar Terengganu tercapai jua akhirnya apabila pelajar ini dapat bersua dengan Dato' Ahmad selepas menjalani pembedahan mata yang ditanggung Kerajaan Negeri Terengganu.


Kerajaan negeri akan meneruskan Program Prihatin (PP) tahun ini bagi membantu golongan cacat pendengaran dan bisu mendapatkan rawatan pakar bagi memulihkan kecacatan mereka.

“Tahun ini kita akan kumpul dan bawa golongan yang cacat pendengaran dan suara (bisu) untuk pemeriksaan dan jika ada potensi dipulihkan, kerajaan akan tanggung kos perubatan,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Prihatin Kerajaan Terengganu dan penyampaian hadiah kepada murid pendidikan khas yang cemerlang dalam peperiksaan awam dan kurikulum 2009, di Wisma Darul Iman semalam (7 Mac).


Kanak-kanak kurang upaya (OKU) beratur untuk menerima bantuan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, Suhaimi Shaari dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Tahun lalu seramai dua orang pesakit jantung dan enam orang yang cacat penglihatan berjaya menjalani pembedahan dan meneruskan persekolahan dalam suasana baru.

Dato’ Ahmad berkata, enam daripada tujuh orang yang terpilih daripada 89 orang yang menerima ujian saringan berjaya dipulihkan dan mendapat rawatan di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur,

“Kerajaan membelanjakan RM80,000 untuk sepanjang rawatan pembedahan dan pemulihan mata pelajar berkenaan dan saya gembira mereka kini mampu belajar dengan lebih selesa,” katanya.


Dato' Ahmad bersalaman dengan hadirin sebaik tiba di Dewan Besar Wisma Darul Iman untuk merasmikan Program Prihatin Kerajaan Terengganu.

Kerajaan negeri menyediakan dana RM10 juta bagi tujuan PP dan meminta kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi pelbagai masalah berkaitan organ dalaman.

“Kita akan terus lakukan dengan apa cara sekali pun bagi memastikan rakyat negeri ini terus mendapat pembelaan dan orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan tahun lalu yang masing-masing menerima sebuah kamus bahasa dan peralatan pelajaran.

Dato’ Ahmad turut menerima kunjung hormat ibu bapa enam pelajar yang selamat menjalani pembedahan mata, bagi menyampaikan rasa terharu dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengembalikan cahaya dalam kehidupan mereka sekeluarga.

TEGANUKITA

berita penuh

Tiada Maaf Bagi Kes Penganiayaan Kanak-Kanak

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Seri Shahrizat bersama Dato' Ahmad bersama Skuad Sayang Terengganu di majlis pelancaran Jalinan Rakyat, Gerajan Prihatin dan Skuad Sayang di Bukit Payong, Marang, Terengganu.

Sebarang kecuaian yang dilakukan ibu bapa, pengamal perubatan atau pengasuh yang membabitkan kes penderaan atau penganiayaan kanak-kanak, bakal berdepan tindakan di bawah akta kanak-kanak yang boleh di kenakan dua tahun penjara atau denda RM50,000 jika sabit kesalahan.


“Mereka akan didakwa kerana tidak membuat laporan kepada pihak berwajib serta menyembunyikan kes penderaan,” kata Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jalinan Rakyat, Gerakan Perihatin dan Skuad Sayang di Padang Bola Bukit Payong, Marang, Terengganu.


Dato' Seri Shahrizat bermesra dengan penerima bantuan kebajikan.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud. Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Ahli –ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Merujuk kepada beberapa kes terbaru, saya mendapati penderaan itu sudah berlaku berlarutan tetapi tidak dilaporkan sehinggalah menjadi teruk dan meninggal dunia,” katanya.


Berpuas hati kerana masyarakat masih mempunyai rasa cakna kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Beliau seterusnya memberi amaran keras supaya masyarakat mengambil perhatian serius hal ini dan tidak akan memaafkan mereka yang sanggup membiarkan penderaan dan penganiayaan berlaku.

“Saya kesal kenapa ada orang yang sanggup melihat dan membiarkan insan-insan yang tidak berdosa ini dianiaya dan diseksa, sekurang-kurangnya mangsa dapat diselamatkan,” katanya.

Dato’ Seri Shahrizat berkata, kes penderaan dan penganiayaan tidak boleh dipandang ringan kerana gejala itu sudah sampai ketahap yang membimbangkan sekarang.

Mengenai skuad sayang yang ditubuhkan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia melambangkan kebangkitan semula perjuangan merah putih yang menjalankan kerja-kerja kebajikan membantu masyarakat hingga ke akar umbi.


Ribuan penduduk Marang menyambut ketibaan Dato' Seri Shahrizat, Menteri Besar dan isteri ke Bukit Payong, Marang.

“Setiap anggota sukarelawan skuad sayang ini diberi latihan dan kemahiran untuk berdepan isu-isu yang timbul dikalangan masyarakat secara profesional,” katanya.

Dato’ Seri Shahrizat kemudiannya menyampaikan sumbangan kerusi roda serta bantuan kebajikan kepada 280 keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal mewakili lapan Parlimen, seluruh negeri iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

TEGANUKITA

berita penuh

Puteri Islam Bantu Tangani Masalah Pelajar

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri menyarankan Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Negeri Terengganu (PPIM) menjadi Badan Bukan Kerajaan (NGO) perintis yang dapat membantu pihak sekolah mendekati pelajar bermasalah di negeri ini bagi menangani permasalahan golongan itu.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya akan mengenal pasti kumpulan pelajar bermasalah dari sekolah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir untuk diketengahkan dalam program bersama PPIM.

“Kategori budak bermasalah ini banyak, ada masalah di rumah dia (pelajar) yang tak boleh pergi sekolah adalah isu-isu dia dan mungkin ada juga isu kemiskinan.

“Sekolah kadang-kadang tiada masa untuk mereka (guru) tengok dan melihat setiap masalah pelajar.Peranan ini saya nak diambil melalui komuniti. Komuniti membantu, kadang-kadang Puteri Islam pergi melihat keadaan realiti pelajar ini dan beri makluman kepada kerajaan negeri,” kata beliau selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-12 2010, di Permai Inn, Kuala Terengganu, semalam (6 Mac).

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Toh Puan Norliza Mahmud yang juga pengerusi PPIM dan isteri Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Hajah Halina Zakaria.

Beliau berkata, kadang-kadang permasalahan pelajar berlaku di luar pengetahuan guru dan tiada maklumat tepat yang diperolehi menyebabkan peranan untuk mengenal pasti punca dan mengatasinya masalah itu perlu diambil oleh semua pihak termasuk NGO seperti Puteri Islam.

Haji Ahmad Razif berkata, pada peringkat awal pihaknya akan membekalkan hamper kepada PPIM untuk dibawa ke rumah pelajar bermasalah yang dikenal pasti bagi mendekati mereka dan mengetahui permasalahan mereka.

“Jika program itu betul-betul menunjukkan kejayaan, tahun depan kita boleh memperuntukkan satu bajet untuk pertubuhan NGO ini bagi membantu pihak sekolah.

“Apabila kurangnya permasalahan pelajar di sekolah, maka cikgu akan rasa selesa dan seronok, sekaligus memberi motivasi kepada guru dan pelajar sendiri, sebab pelajar pun tiada gangguan. Masalah vandalisme pun tidak akan berlaku, maka secara automatik keputusan peperiksaan pun akan meningkat lebih baik lagi dan ini salah satu cara memberi lompatan saujana kepada akademik di Terengganu” katanya.

Haji Ahmad Razif turut meminta semua pihak mempraktikkan `cara lama dimensi baru’ dalam membentuk sahsiah pelajar hari ini supaya golongan pelajar terus dibimbing dan diberi motivasi mengenai adat susila yang diwarisi generasi terdahulu yang boleh ditunjangi dalam kehidupan mereka.

Katanya, keakraban yang terjalin antara guru dan ibu bapa sebagaimana dilakukan oleh generasi guru terdahulu sepatutnya terus diamalkan bagi memastikan setiap masalah pelajar dapat dikongsi bersama dan dielakkan.

Beliau turut meminta semua komuniti dan jabatan kerajaan memainkan peranan menyampaikan maklumat melalui bengkel atau ceramah bagi menyedarkan pelajar dan memberi motivasi supaya mereka membina sahsiah yang baik.

TEGANUKITA

berita penuh

Lagak `Hero' Halang Tugas Penjawat Awam

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri kesal dengan sikap pemimpin politik parti pembangkang di negeri ini yang berlagak seperti `hero’ kononnya memperjuangkan nasib rakyat dengan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas merobohkan rumah setinggan di Paya Bunga, Kuala Terengganu, pagi semalam (2 Mac).


Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata sikap `hero’ berkenaan hanya mendatangkan masalah kepada dirinya sendiri kerana tindakannya itu boleh menyebabkan dia ditahan untuk tindakan lanjut.


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (kanan) ditemani SUK, Dato' Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Sekarang ini kalau nak jadi hero payahlah. Sebab yang terlibat 12 orang sahaja tuan tanah (yang dipindahkan). Jadi, kita sudah beri rumah kepada mereka di Mengabang Lekor (Batu Rakit), selesai masalah mereka.

“Tuan rumah tiada masalah dan penyewa rumah kita sediakan kenderaan untuk berpindah ke rumah (baru) masing-masing. Dia yang tunjuk hero dan bukan dia terlibat di situ seolah-olah dia memperjuangkan rakyat, itu tak betul. Kita yang lebih memperjuangkan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (3 Mac).

Menteri Besar menjelaskan bahawa rumah yang didiami penduduk sejak berpuluh tahun lalu di kawasan itu merupakan tanah rezab kerajaan yang perlu dikosongkan untuk tujuan pembangunan di Bandar Raya Kuala Terengganu.

Katanya, penduduk sepatutnya lebih memahami perkara itu kerana status mereka membina rumah dan mendiami tanah adalah secara haram dan apabila sudah dikeluarkan notis berpindah dengan jangka masa yang mencukupi mereka perlu akur.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan sudah menggunakan cara yang diplomatik dan mengikut peraturan sebelum merobohkan rumah mereka. Malah, kerajaan juga tidak mengenakan sebarang denda kerana ingkar notis yang dikeluarkan kepada mereka walaupun kerajaan berhak bertindak demikian.

“Enam orang daripada jumlah penduduk di situ kita sudah beri rumah di Mengabang Lekor untuk mereka pindah dan tiada masalah. Rumah yang diroboh kelmarin, barang-barang semua dah tiada seperti almari, pakaian..semua dah dipindahkan.Ada tuan rumah memberontak? Cuma yang tunjuk hero dua orang sahaja,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan kerja merobohkan rumah setinggan di Kampung Paya Bunga, di sini, pagi semalam kecoh apabila seorang pemilik rumah berkeras dan enggan keluar dari penempatan itu.

Lebih mengeruhkan keadaan, kehadiran seorang pemimpin politik menghalang jentera pihak berkuasa merobohkan rumah bukan sahaja dianggap mengambil kesempatan atas isu itu, malah menimbulkan tanda Tanya tujuan sebenar beliau berada di situ kerana majoriti penduduk di situ sudah berpindah.

Pemimpin berkenaan yang merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Mohd Fariz Musa, 40, ditahan polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum melepaskan mereka dengan jaminan polis dalam masa terdekat.

TEGANUKITA

berita penuh