Halaman

25 March 2010

Kerajaan Beli Kapal Korek

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menyampaikan amanat kepada kakitangan Kerajaan Negeri Terengganu ketika sambutan Dua Tahun Pemerintahan beliau di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 24 Mac - MASALAH sungai cetek yang sering berlaku di negeri ini akan dapat diatasi segera tanpa mengambil masa yang lama apabila kerajaan negeri memutuskan untuk memiliki kapal korek sendiri, tahun depan.



Detik bersejarah genapnya dua tahun pemerintahan Dato' Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Memandangkan masalah ini tidak pernah selesai dan kerajaan terpaksa belanja berjuta ringgit setiap tahun, kita bersetuju membeli kapal korek yang akan dimasukkan dalam bajet tahun depan,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan genap Dua Tahun Dato’ Ahmad sebagai Menteri Besar, di Wisma Darul Iman.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kakitangan perkhidmatan awam negeri.


Kecekalan dan kesungguhan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menerajui Kerajaan Negeri Terengganu terbukti apabila Buku 2 Tahun Pemerintahan beliau dilancarkan secara rasminya.

Menurut Menteri Besar, terdapat 14 muara sungai di seluruh negeri dan kerajaan terpaksa membelanjakan RM5 juta setahun bagi mendalamkan muara sungai yang cetek akibat ditimbus pasir yang menyukarkan laluan keluar masuk bot nelayan dan bot pelancong.

Dato’ Ahmad berkata, anggaran harga kapal korek adalah sekitar RM40 juta hingga RM50 juta dan memberi keuntungan pada jangka panjang di samping boleh bergerak ke setiap lokasi tanpa menunggu masa yang lama.


Kepimpinan Dato' Ahmad begitu disenangi penjawat awam dan kakitangan kerajaan negeri.

Katanya, kerja-kerja mendalamkan muara ini juga diperlukan setiap masa kerana kadang-kadang tidak sampai setahun muara sungai boleh tertimbus pasir semula.
Lagi pun, katanya, pasir yang diangkut keluar dari kerja-kerja mendalamkan muara ini boleh digunakan untuk ditambak di kawasan pembangunan di negeri ini.

Sementara itu kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan tambahan kepada Jabatan Mineral dan Geosains untuk mengkaji lebih terperinci jumlah bijih besi sebenar yang terdapat di Bukit Besi, Dungun.


Kakitangan kerajaan negeri memenuhi Dewan Besar Wisma Darul Iman bersama-sama meraikan sambutan 2 Tahun Pemerintahan Menteri Besar.

Sebelum ini, katanya kontraktor pernah memberitahu jumlah bijih besi mencecah 50 juta metrik tan, namun kajian terperinci diperlukan agar kerajaan tidak mengalami kerugian pada masa depan.

Katanya, di Kemaman juga terdapat bijih besi namun jumlahnya agak sedikit iaitu 28 juta metrik tan sahaja serta kualitinya tidak begitu bagus.



Menteri Besar, SUK dan YB Ahmad Razif melihat isi kandungan buku 2 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diterbitkan oleh Unit Komunikasi Negeri.

TEGANUKITA

24 March 2010

RM3.5 Juta Bina Jalan dan Longkang MDHT

Oleh : Aida Abd. Rahman


Dato' Ahmad Said (kiri) bersama YB Rozi Mamat dan YB Mohd Zawawi ketika meninjau projek pembinaan longkang di Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.5 juta untuk membangun dan membaikpulih jalan serta longkang di seluruh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) sepanjang tahun ini.

Peruntukan itu tidak termasuk RM11 juta yang dibelanjakan kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu bagi membina longkang untuk tadahan dan mengelak banjir di kawasan Hulu Terengganu.



Sistem perparitan yang teratur dan `oversize' akan dibina di Pekan Ajil bagi mengelak banjir.

“Untuk projek terbaru, saya mahu MDHT buat kajian terperinci tentang keperluan saiz longkang `monsoon drain’ itu kerana saya tidak mahu bila buat lain kali banjir berlaku.

“Bila bina longkang mestilah `oversize’..kalau dulu pemaju kata empat kaki tapi sekarang bukan lagi empat kaki mungkin dah jadi 10 kaki hingga 12 kaki sebab `catchment area’ kita semakin lama semakin tiada..dulu kawasan paya banyak sekarang kawasan perumahan…Ini perlu diberi penekananlah,” kata beliau selepas melawat sekitar pembangunan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Hulu Terengganu, hari ini (23 Mac).


Setakat ini kerajaan negeri berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan rumah kos rendah Ajil.

Menteri Besar berkata, daripada keseluruhan RM3.5 juta, kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta untuk pembinaan dan membaikpulih longkang, manakala RM2 juta lagi untuk projek jalan termasuk menurap semula jalan rosak serta melebarkan semula jalan sedia ada.

Katanya, peruntukan membina dan membaikpulih jalan turut melibatkan peruntukan RM500 ribu di kawasan Kuala Ping dan Telemong.

Meninjau projek penanaman jagung hybrid di Kampung Kuala Ping.

Dalam pada itu, kerajaan negeri berpuas hati dengan beberapa projek pembangunan longkang dan jalan kerana berjalan dengan baik sejak tiga tahun lalu kerana berjaya mengikut jadual, serta hanya lima hingga 10 peratus akan siap.

“Bagaimanpun ada satu projek besar yang melibatkan kira-kira RM3.5 juta yang masih terbengkalai dan hampir 40 peratus siap dan kita perlu tender semula dan menamatkan kontraktor awal berkenaan..ini semua melibatkan `monsoon drain’.
YB Mohd Zawawi menerangkan sesuatu kepada Menteri Besar di lokasi pembinaan longkang besar di pintu masuk ke Pekan Kuala Berang.

Selain itu, kerajaan negeri juga mengarahkan penambahbaikan dibuat di Pasar Kuala Berang dengan menyediakan peruntukan tambahan berikutan tempat menjual kuih dan ikan yang memerlukan pengubahsuaian.

Katanya, bangunan terminal bas di bandar itu juga perlu disiapkan segera berikutan projek itu mendapat perhatian bukan sahaja dalam negeri tetapi juga seluruh negara kerana kejadian runtuhan baru-baru ini.


Pembinaan pasar baru Kuala Berang berjalan lancar.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut meninjau projek membina 317 unit rumah kos rendah di Ajil dan projek penamaman jagung hybrid di Kampung Nibong, Ajil dan Kuala Ping, Telemong.


TEGANUKITA

23 March 2010

MB Ajak Rakyat Bersyukur

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengajak seluruh rakyat Terengganu, khususnya penganut agama Islam agar bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t di mana negeri ini mendapat rezeki yang melimpah ruah, termasuk minyak, gas dan petroleum.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta penduduk tempatan agar menjaga dengan sempurna keindahan semulajadi, keamanan negara dan bumi yang subur yang menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini.

“Selain itu beberapa penemuan baru termasuk bahan galian yang akan diumumkan kelak akan menjadikan negeri ini tidak lagi bergantung kepada sumber tradisi seperti minyak dan gas,” katanya dalam ucapan ringkas pada Majlis Doa Selamat Sempena Dua Tahun Pemerintahan Menteri Besar, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi (22 Mac).

Kira-kira 350 tetamu termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Encik Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri YB Encik Rozi Mamat.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Abdul Rahman Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’
Abdul Razak Ismail, beberapa pegawai kanan kerajaan hadir di Majlis itu.

Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan diikuti solat hajat, tahlil dan solat Isyak.

Dato’ Ahmad turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan para tetamu yang turut disajikan hidangan makan malam.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar yakin Kerajaan Pusat akan memberi perhatian sewajarnya berhubung bayaran royalti minyak kepada Terengganu selepas beliau menemui Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak minggu lalu.

TEGANUKITA

TADC Pembekal Benih Kerapu Utama Negara

Oleh: Suriati Ali

Projek pembenihan dan ternakan ikan kerapu berteknologi tinggi yang diusahakan Terengganu Agrotech Development Corp.Sdn Bhd (TADC) bakal mengubah sosio ekonomi penduduk apabila mengeluarkan hasil kelak.

Buat permulaan, 5,000 benih kerapu oren dan harimau diternak secara berasingan di dalam 2,000 sangkar khas di kawasan Tanjung Demong, Besut.
Untuk mendapat kuantiti dan kualiti ikan yang diingini, TADC mendapat kerjasama Seraya Akuatik (M) Sdn Bhd, Universiti Malaysia Terengganu dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Pengerusi Eksekutif TADC, Encik Razali Idris, berkata penglibatan secara langsung 250 penduduk Program Pembangunan Rakyat Termiskin yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil laut dan tanaman sekurang-kurangnya dapat mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

“Mereka yang sudah mempunyai asas berkaitan ternakan ikan bakal memperoleh pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM600 sebulan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ke kawasan Projek Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi di Tanjung Demong, Besut.

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Encik Rozi Mamat, Ahli Parlimen Besut, Dato’ Dr Abdullah Muhammad Zin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Selain memberi fokus untuk membasmi kemiskinan, TADC berhasrat menjadikan Terengganu sebagai pembekal benih dan ikan kerapu utama negara.

Dato’ Ahmad berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju menjadikan hasil projek di Tanjung Demong sebagai pembekal utama pembenihan dan pengeluaran ikan kerapu bagi keperluan pasaran tempatan dan luar negara.

“Keputusan itu mampu menjadikan TADC mendapat pengiktirafan selain mempunyai daya saing kerana menjadi pembekal utama pembenihan dan ikan kerapu utama negara.

“Projek yang diusahakan ini adalah inisiatif kerajaan untuk menjana ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama nelayan serta petani,” katanya.

TEGANUKITA

Jelapang Padi Kedua Di Setiu

Oleh: Esah Abdullah

Peruntukan RM46 juta disediakan kerajaan negeri bagi mewujudkan jelapang padi kedua di daerah Setiu, untuk menambah pengeluaran hasil beras dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

Kerja-kerja membajak sawah di kawasan seluas 140 hektar di Kampung Jelapang, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, akan dimulakan April ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengumumkan langkah terbaru kerajaan negeri itu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek jelapang padi serta cadangan pembinaan jalan dan longkang di daerah Setiu, semalam (22 Mac).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, YB Ashaari Idris; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri merangkap ADUN Jabi, YB Ramlan Ali serta ketua-ketua jabatan.

Menteri Besar berkata, tahun lalu kawasan seluas 73 hektar diusahakan 78 petani di Kampung Mak Jintan, Setiu dengan purata perolehan 3.5 – 4 metrik tan bagi sehektar.
Sementara itu, kerajaan juga bersetuju meluluskan peruntukan RM4 juta bagi membina dan melebar jalan dalam DUN Langkap dan Permaisuri di mana RM2.5 juta disalurkan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan RM1.5 juta melalui pejabat daerah.

“Sementara RM1.2 juta diperuntukan bagi pembinaan longkang-longkang dalam dua DUN berkenaan dan kita bercadang melebarkan jalan di beberapa kawasan yang kerap berlaku kemalangan di daerah itu,” katanya.

Menteri Besar turut melahirkan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah muara sungai Merang yang cetek dan menyukarkan bot membawa pelancong ke Pulau Redang serta nelayan keluar masuk membawa hasil tangkapan.

“Kerja-kerja mendalamkan sungai akan dilakukan dalam masa tiga empat hari ini oleh pihak swasta dan untuk jangka panjang, peruntukan membeli kapal korek akan dimasukkan dalam bajet tahun depan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan satu muara sungai baru di Penarik bagi keperluan dan kepentingan nelayan tempatan.

Dato’ Ahmad kemudiannya turut meluangkan masa meninjau pembinaan masjid baru di Kampung Alor Lek yang berharga RM1.86 juta serta memuatkan 350 jemaah pada satu-satu masa.

“Kerajaan akan menaik taraf semua masjid di seluruh daerah di negeri ini untuk memberi keselesaan kepada masyarakat mengunjungi rumah Allah,” katanya.

TEGANUKITA

22 March 2010

RM13.2 juta Untuk Tingkatkan Imej Pengangkutan Awam

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Pereka injin untuk beca roda tiga, Zulkifli Haron, mengatakan sesuatu kepada Dato' Ahmad Said ketika menaikki beca hybrib ketika melancarkan Program Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memperuntukan RM13.2 juta dalam usaha meningkat imej pengangkutan awam di negeri ini yang membabitkan bas henti-henti, kereta sewa dan beca roda tiga.

Peruntukan tersebut disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sebagai pelaksana bagi merialisasikan hasrat kerajaan yang berpaksikan kepada prinsip merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta tidak membiarkan masalah berlanjutan.


Menteri Besar ketika gimik pelancaran.

“”Kecekapan pengangkutan awam mesti selari dengan pertumbuhan bandaraya Kuala Terengganu kerana ia merupakan teras kepada kemeriahan dan rangsangan pembangunan,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika melancarkan program Peningkatan Imej Pengangkutan Awam Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (18 Mac).

Hadir sama, Dato’ Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Adzlan Mohd Dagang dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Haji Azmi Razik serta lebih 200 orang pengusaha bas, kereta sewa dan beca roda tiga.


Penerima bantuan bersama Dato' Ahmad.

RM11.2 juta daripada jumlah tersebut adalah untuk mempertingkat imej kereta sewa di mana menerusi skim bantuan ini setiap pengusaha diberi geran RM10,000 seorang untuk membeli kereta baru atau mengecat kereta sedia ada.

Sehingga ini terdapat 454 orang pengusaha kereta sewa seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut hanya 189 orang sahaja lagi yang belum mendapat kemudahan yang disediakan kerajaan.

Manakala RM2 juta lagi berupa bantuan kepada pegusaha bas henti-henti dan setiap syarikat bas layak menerima bantuan maksima RM150,000.

“Konsep bantuan ialah RM50,000 berupa geran yang tidak perlu dibayar dan RM100,000 lagi dalam bentuk pinjaman mudah,” katanya.

Sehingga ini enam buah syarikat iaitu SPBT Trevel Sdn Bhd, Syarikat Himda, Pengangkutan Bumi Pantai, Pengangkutan Hamid Yaakob, Pengangkutan Intan Unggul dan Syarikat Pengangkutan Mohd. Nor dan Hisham yang sedang beroperasi dan akan menerima bantuan berkenaan.

Dato’ Ahmad kemudiannya menegaskan bahawa kerajaan sekali-kali tidak akan meminggirkan pengusaha beca roda tiga yang menjadi ikon pelancongan sejak sekian lama.

“Kerajaan bersetuju menambah RM500,000 lagi untuk meningkatkan perkhidmatan kenderaan tersebut dan sebagai permulaan empat orang daripada 30 pengusaha telah menukar beca mereka menggunakan enjin hybrid,” katanya.


Kini kenderaan pengangkutan awam di negeri Terengganu berslogankan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan'

Katanya, segala bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dapat dipergunakan sebaik mungkin dan bukan sebaliknya menghentam kerajaan.

“Berilah perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tempatan dan pelancong serta bersama-sama menjaga imej negeri dan jauhi sikap riak dan besar hati dengan perolehan ini,” katanya.

TEGANUKITA