Halaman

24 April 2010

MB Terengganu Bermandi Peluh

Laporan daripada Esah Abdullah dan Anida Abd Ghani dari Hulu Selangor



Dato' Ahmad bersama jentera parti meninjau di Ladang Nigel Gardner.

Sanggup bermandi peluh, demi untuk bertemu dengan lebih dekat dan bercakap dari hati ke hati dengan penduduk yang tinggal di Ladang Nigel Gardner walaupun terpaksa berjalan kaki mendaki bukit dan menuruni cerun yang dalam.

Tetapi itulah hakikat yang dilalui Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dalam kunjungan beliau ke Parlimen Hulu Selangor untuk membantu jentera parti dalam menghadapi Pilihanraya Kecil P094 pada Ahad ini.


Ladang Nigel Gardner didiami 70 keluarga atau 1,286 pengundi iaitu 722 India, 405 (Melayu) dan 155 orang (Cina) yang rata-rata bekerja di ladang kelapa sawit di sekitar tempat tingggal mereka.

Kunjungan Dato’ Ahmad dan rombongan diiringi petugas parti bahagian Kemaman termasuk Wanita, Pemuda, Puteri disambut oleh Pengerusi MIC Nigel Gardner, Encik Nagamutu dan Ketua Wanita, Puan Rohani Osman serta masyarakat tempatan.

Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Ahmad turut menyampaikan sumbangan hamper berupa beras, gula, gandum, susu dan sardin bagi keperluan penduduk di situ.

Dato’ Ahmad kemudiannya turut singgah ke Bilik Gerakan Cawangan Puteri di Felda Sungai Tengi dan diberi taklimat ringkas serta mengunjungi warga emas yang uzur di sekitar Felda Sungai Tengi.


Dato' Ahmad bertanya khabar warga emas Rainah Adon yang lumpur separuh badan.
Seorang warga emas, Puan Rainah Adon yang lumpuh separuh badan melahirkan rasa terharu dan terkejut kerana seorang Menteri Besar sanggup datang ke rumah beliau serta bertanya khabar.
Sementara itu Puan Misiah Riso turut terharu apabila menerima kunjungan Dato' Ahmad ke rumahnya.


Simpati ... Dato' Ahmad memegang erat warga emas yang uzur.

Encik Jailani Utoh yang uzur kerana sakit tua dan hanya mampu berbaring di katil juga seakan tergamam apabila Dato’ Ahmad mengengam erat tangannya ketika bersalam.

Dato’ Ahmad melahirkan keyakinan bahawa keprihatinan jentera Barisan Nasional (BN) yang bertungkus-lumus membantu di empat Peti Undi termasuk Kampung Sungai Dusun, Kampung Sungai Tengi dan Felda Sungai Tengi akan dapat membantu memberi kemenangan yang selesa kepada BN.

Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara P. Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.

Kerusi itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos. Daripada jumlah tersebut kaum Melayu merupakan majoriti pengundi atau 52.7 peratus, diikuti kaum Cina (16.964 atau 26.3 peratus) dan India (12,453 atau 19.3 peratus).

TEGANUKITA

berita penuh

22 April 2010

Dato’ Seri Shahrizat Kunjungi Petugas Wanita Terengganu

Oleh: Esah Abdullah dan Anida Abd Ghani



Dato' Seri Shahrizat memberi amanat kepada petugas Wanita UMNO Terengganu.

Petugas-petugas pilihanraya Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri Terengganu disaran bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen Hulu Selangor milik Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil P094 pada 25 April depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, anggaplah tanggungjawab ini satu ibadah demi memperjuangkan keutuhan agama, bangsa dan Negara.


“Puan-puan sanggup datang dari jauh, tinggalkan suami dan anak-anak kerana menjalankan tanggungjawab membantu jentera parti BN,”katanya di majlis perjumpaan dengan jentera pilihanraya Wanita Perhubungan Terengganu di Felda Sungai Tengi hari ini.

Katanya, jika ada sebarang masalah berbangkit, sila buat catatan kemudian panjangkan kepada pemimpin atasan agar dapat ditangani dengan segera.

“Setiap aktiviti yang ingin dilaksanakan biarlah selari dengan kehendak masyarakat tempatan kerana mereka lebih arif tentang kecenderungan penduduk pada satu-satu tempat,” katanya.


Dato' Seri Shahrizat bergambar kenangan bersama Petugas Wanita UMNO Terengganu.

Dato’ Seri Shahrizat melahirkan rasa yakin dengan kelebihan yang ada pada jentera wanita bagi menarik pengundi untuk memilih BN dalam pilihanraya kecil nanti.

“Kita lakukan kerja dengan ikhlas dan jujur untuk membela nasib bangsa dan agama, insya Allah tugas kita ini direstui dan diberkati,” katanya.

TEGANUKITA


berita penuh

19 April 2010

Semangat Juang UMNO Terengganu Tinggi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Semangat juang petugas UMNO Terengganu, termasuk perayu undi Wanita dan Puteri, yang membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Parlimen Hulu Selangor amat tinggi, bagi memastikan kemenangan calon BN.

Petugas-petugas Umno Terengganu kini bekerja keras mengatur ceramah-ceramah dan kunjungan rumah ke rumah bagi memastikan pengundi memilih calon BN pada pilihan raya 25 April depan.


Badan Perhubungan UMNO negeri menghantar kira-kira 250 petugas parti yang diketuai Setiausahanya , Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, untuk bertugas di sekitar Parlimen berkenaan bermula dari hari penamaan calon hingga hari pengundian dijalankan.

UMNO Terengganu ditugaskan menjaga empat peti undi melibatkan 5,985 pengundi yang sebahagian besarnya merupakan peneroka Felda dan pekerja estet.

Empat kawasan yang dijadikan kawasan ‘angkat’ UMNO Terengganu ialah Kampung Sungai Dusun, Kampung Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi dan Ladang Nigel Gardner.

Rata-rata petugas UMNO berpendapat tidak ada masalah bagi mendapatkan majoriti besar pengundi di kawasan ‘angkat’ mereka supaya mengundi calon BN, P. Kamalanathan.

Sebahagian besar daripada peneroka di kawasan berkenaan kini menikmati pendapatan lumayan antara RM1,5000 hingga melebihi RM2,000 sebulan dan segala kemudahan asas sudah disediakan kerajaan di kawasan mereka.

“Tidak ada sebab mengapa pengundi di kawasan ini mahu memberi sokongan mereka kepada pihak pembangkang,” kata Setiausaha Kerja UMNO Terengganu, Razali Bidin.

Beliau berkata, pihaknya berharap kerja keras jentera UMNO membantu calon BN akan berbaloi dengan kemenangan P. Kamalanathan Ahad depan.

TEGANUKITA



berita penuh

Peluang BN tawan Hulu Selangor cerah

Analisis oleh: Kamarudin Mat Akib di Hulu Selangor

AYAM SERAMA AYAM SELASIH,
UNDI BN TERIMA KASIH.

Pantun dua kerat di atas agak janggal bunyinya, tetapi mesej yang ingin disampaikan amat jelas, iaitu mengingatkan pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April ini.

Pantun yang dipaparkan di sebidang kain rentang yang diletakkan di tepi sebuah estet berhampiran pekan Tanjong Malim itu, sangat wajar diberi perhatian oleh para pengundi di kawasan berkenaan.


Inilah peluang mereka memilih calon yang lebih sesuai dan prihatin dalam membela nasib mereka pada masa depan. Tentunya mereka tidak akan membiarkan ‘pisang berbuah dua kali’ atas kesilapan mereka mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu.

Kali ini pengundi di kawasan berpeluang memperbaiki kesilapan lalu dengan memberi peluang kepada calon BN, P Kamalanathan untuk berkhidmat di kawasan tersebut.

“Bagi orang lama, terutama generasi peneroka asal Felda sudah pasti akan memilih calon BN pada pilihan raya kecil Ahad ini kerana sejak dulu hingga kini sokongan mereka kepada BN masih tetap tidak berubah,” kata Sajat Sajiman, seorang peneroka di Felda Sungai Tengi.

Namun jauh di sudut hati peneroka yang semakin dimamah usia itu, beliau menaruh kebimbangan terhadap generasi baru, terutama golongan belia kerana arah sokongan mereka agak sukar diduga.

“Jika kena gaya, mereka akan sokong BN, tetapi tidak mustahil mereka akan beralih arah kepada pembangkang akibat pengaruh pihak tertentu,” katanya.

Justeru, dengan masa tempoh kempen yang tinggal beberapa hari inilah jentera pilihan raya BN perlu memberi tumpuan kepada usaha-usaha memikat pengundi muda supaya mengundi calon BN.

Beberapa tindakan tidak popular Kerajaan Selangor pimpinan PKR sejak mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada BN selepas Pilihan Raya Umum ke-12 juga dikatakan memihak kepada BN.

Antara tindakan zalim pakatan pembangkang yang tidak disenangi rakyat, khususnya di kalangan peneroka Felda ialah menyekat usaha perbadanan tersebut membina 268 unit kediaman baru bagi generasi kedua di empat tanah rancangan tersebut di Hulu Selangor.
Felda berkenaan ialah Felda Tengi, Felda Tengi Selatan, Felda Gedangsa dan Felda Soeharto.

Warga Felda menganggap langkah tersebut sebagai tindakan yang menganiaya rakyat dan tidak akan dimaafkan mereka, sekaligus menyebabkan undi peneroka akan berpihak kepada BN.

“Pemimpin pakatan rakyat dan penyokong-penyokong mereka pernah bertindak untuk menguasai hak milik bangunan awam seperti balai raya dan dewan orang ramai seawal mereka memerintah negeri ini kerana menyangka ia milik kerajaan negeri,” kata Sajat.

Keadaan ini menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat setempat di mana sebelum ini mereka hidup dalam keadaan aman damai dan bersatu padu.

Perpecahan yang diwujudkan parti pembangkang di kalangan peneroka Felda dan penduduk negeri ini, membuka mata banyak pihak terhadap angkara dan gejala buruk yang dibawa pembangkang,

“Kali ini sudah pasti generasi kedua Felda dapat menilai ‘tembelang’ sebenar pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang hanya pandai menabur janji manis pada musim pilihan raya, tetapi ia tidak ditunai hingga sekarang.

“Harap-harap mereka semua sudah serik dengan tipu helah parti pembangkang dan menyokong BN pula pada pilihan raya kecil ini bagi memberi peluang calon BN menang dan seterusnya mengambil langkah tertentu memperjuangkan nasib rakyat, khususnya peneroka Felda,” tambahnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yakin dengan jaminan kerajaan membela nasib masyarakat di kawasan empat Felda berkenaan, akan membawa kesan positif kepada BN.

Sewaktu ditemui di Felda Sungai Tengi beliau memberitahu bahawa Felda menyediakan peruntukan RM36.9 juta bagi memulih dan menebus kembali tanah rancangan Felda di kawasan berkenaan yang terbiar selama ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO menaruh keyakinan tinggi bahawa rakyat, khususnya pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor akan member sokongan penuh kepada BN bagi memastikan P Kamalanathan menang 25 April ini.

Katanya, dengan kerja keras semua pihak, khususnya jentera BN, peluang BN untuk merampas kembali kerusi P94 pada pilihan raya kecil ini amat cerah.

TEGANUKITA



berita penuh

18 April 2010

YAKIN BN MENANG BESAR

Laporan Ruslan Abdul Rahman dari Hulu Selangor.

Barisan Nasional (BN) diyakini bukan sahaja memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, tetapi dapat memperolehi majority kemenangan yang lebih besar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Ahmad Shabery Cheek berkata, BN pada dasarnya telah menang di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Batang Kali, Kuala Kubu Baru dan Hulu Bernam dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu (2008).


Berdasarkan perkiraan itu, sebenarnya undi BN mengatasi undi pembangkang (majoriti 6,176) cuma atas sebab-sebab yang di luar pengetahuan calon BN Parlimen Hulu Selangor tewas tipis (198 undi) dalam pilihan raya umum yang lalu.

Bahkan pada pilhan raya umum ke 11 (2004), BN menang dengan majority 14, 483 di Parlimen Hulu Selangor manakala kemenangan bagi peringkat DUN berkenaan sehingga 22,835 undi.

“Untuk pilihan raya kecil ini yang hanya satu pengundian sahaja, iaitu undi Parlimen dan mesti dipastikan peningkatan kepada 20 hingga 30 peratus bagi setiap DUN dalam pilihan raya kecil ini,” ujarnya yang juga selaku Ketua Penerangan UMNO Terengganu.

Oleh itu, inilah fokus yang harus diberikan oleh setiap, jentera pilihan raya kecil BN, tegasnya ketika menyampaikan amanat kepada jentera pilihan raya peti undi Sungai Dusun, DUN Hulu Bernam petang semalam (17 April 2010).

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd.Nasir Ibrahim Fikri dalam perjumpaan itu meminta jentera tempatan dan sokongan saling bekerjasama dan berpadu erat.

“Kami datang hanya untuk membantu dan bukannya mengarah, kami akan ikut apa jua arahan dan kehendak jentera tempatan di samping sedikit sebanyak memberi bantuan buah fikiran dan pengalaman untuk kelicinan kempen,” katanya.

Katanya, calon BN, Kamalanathan adalah calon yang menggambarkan semangat 1 Malaysia dan mempunyai kelulusan, muda dan berketrampilan yang baik dalam hubungan semua kaum, Melayu, India dan Cina khususnya.

TEGANUKITA



berita penuh

Wanita Terengganu ‘turun padang’ di Hulu Selangor

Laporan daripada Esah Abdullah dan Anida Abd Ghani dari Hulu Selangor.

Seramai 187 orang petugas pilihan raya Pergerakan Wanita Umno Pehubungan Negeri Terengganu kini berada di kawasan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) menghadapi kempen pilihan raya tersebut.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri, Senator Hajjah Fatimah Hamat berkata, pihaknya diberi tanggungjawab menyusun jadual petugas bagi membantu jentera tempatan terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri.


“Terdapat 19 kampung membabitkan empat peti undi iaitu peti undi Kampung Sungai Dusun, Sungai Tengi, Felda Sungai Tengi dan Ladang Nigel Gardner,” katanya dalam pertemuan dengan Teganukita hari ini.

Satu majlis taklimat telah diadakan petang semalam antara petugas pilihan raya dengan ketua-ketua cawangan di dalam peti undi serta mengatur jadual gerak kerja bertemu pengundi.

“Wanita akan sampaikan amanat pemimpin tertinggi parti, agar penduduk tempatan terus menyokong dasar-dasar kerajaan BN demi untuk kesejahteraan masyarakat seluruhnya,” katanya.

Katanya, di samping kunjungan rumah ke rumah, bertanya khabar dan beramah mesra Wanita turut menyertai program yang diatur pemimpin tempatan di kawasan ini.

“Saya harap dengan kerjasama tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri usaha Wanita mampu memberi harapan kepada BN untuk merampas kerusi P094 Hulu Selangor ini,” katanya.

TEGANUKITA


berita penuh