Halaman

04 May 2010

Produk IKS Terengganu Raih Jualan RM6.7 Juta di Dubai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Mohamed Awang Tera menjamah kek di Galeri Kek Manjaerana sambil diberi penerangan oleh pengurusnya, Johana Ibrahim pada majlis perasmian Ekspo Industri Desa di Pusat Dagangan Terengganu.

Inisiatif Kerajaan Terengganu membawa enam pengusaha produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan yang berdaya maju ke Pameran Gulfood 2010, Dubai pada Mac lalu nyata berbaloi apabila meraih kontrak jualan RM6.7 juta.


Ekspo makanan kedua terbesar dunia yang mengkhusus kepada produk halal itu membuka mata dan memberi semangat kepada Kerajaan Terengganu dan juga pengusaha produk IKS menawarkan pelbagai barangan yang boleh mendapat perhatian di pasaran Timur Tengah yang menepati aspek kualiti produk dan persijilan (Halal, GMP dan HACCP).

Antara produk yang dipamerkan Terengganu di ekspo itu termasuklah jus roselle, makanan yang ditinkan, produk penjagaan kulit dan kesihatan berasaskan serai, minuman tenaga dan cuka yang dihasilkan daripada nipah, kopi segera campuran ginseng dan Tongkat Ali serta keropok lekor sejuk beku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera yang mengetuai rombongan ke pameran berkenaan bersama sekumpulan pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengambil inisiatif mempamerkan barangan yang mampu mendapat pasaran dan tarikan pelanggan di rantau itu dan negara sekitarnya.

Katanya, penyertaan sulung Terengganu itu menjadi sebahagian daripada program Kerajaan Terengganu dalam usaha mempromosikan perusahaan IKS tempatan dan melebarkan sayap memasarkan barangan IKS ke luar negara serta meningkatkan ekonomi negeri.

"Sebab itu sekarang ini, YPU mengambil inisiatif untuk membina Halal Park (pusat makanan halal) di Chendering untuk dikembangkan lagi supaya menjadi asas kepada kita untuk mengeksport produk halal Terengganu ke luar negara.

“Jadi kita bersemangat dan tidak sangka kerana produk kita mempunyai potensi sejauh itu..Pertama kali kita atur dan susun program dengan menjurus kepada promosi kepada ejen dan penjual di negara itu ternyata mereka berminat dan membuat perjanjian jualan sebanyak itu,” kata beliau ketika sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Industri Desa, di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini (29 April).

Hadir sama, Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan & Koperasi Negeri, Mohamed Awang Tera melawat gerai-gerai selepas perasmian Ekspo Industri Desa.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga giat memasarkan produk IKS menerusi kedai serbaneka, T-Shoppe di seluruh Malaysia sebagai saluran untuk usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

Haji Azmi berkata, pihaknya mensasarkan 70 peratus daripada produk IKS dijangka dapat dipasarkan menerusi T-Shoppe dalam tempoh tiga tahun lagi, berbanding hanya 30 peratus produk IKS dalam rangkaian kedai itu sejak dibuka pada tahun lalu.

”Kita mensasarkan 70 peratus produk IKS dapat dijual di T-Shoppe yang diwujudkan di seluruh Terengganu dan luar Terengganu dalam tempoh tiga tahun lagi.

Sehingga kini, hanya 30 peratus produk IKS yang berjaya ditempatkan di 10 rangkaian T-Shoppe seluruh Terengganu termasuk yang baru dibuka di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah.

T-Shoppe terbaru di luar Terengganu bakal dibuka tidak lama lagi di Melaka, sebelum menjelangnya temasya Sukan Malaysia ke-13 di Melaka pada Jun ini.

Beliau berkata, hasil jualan di T-Shoppe amat memberangsangkan kerana ada rangkaian kedai itu mampu meraih hasil jualan sehingga RM1,000 sehari.

TEGANUKITA

berita penuh

02 May 2010

LAWATAN KE GUANGZHOU CHINA BAWA KEJAYAAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar selepas pulang dari Guangzhou, China pada 22 April lalu memberitahu misi itu sangat berjaya.

“Saya telah berjumpa dengan beberapa pelabur yang ingin membuat pelaburan di Terengganu.


Selain berminat untuk melabur dalam perusahaan menternak burung walit, mereka juga ingin membina kilang besi di sini dan cadangan itu telahpun diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya.

Pelabur dari China dijangka membuat pelaburan sehingga RM50 juta dengan membina sarang-sarang burung walit di beberapa tempat di negeri ini.

Mereka yang terlibat dalam industri berkenaan mengetahui sarang burung walit dari Terengganu mempunyai kualiti yang tinggi kerana burung walit di Terengganu masih baru dan belum tercemar.

Sehingga ini, setiap bulan kira-kira 100 kilogram sarang burung walit telah dieksport ke Cina dengan harga boleh mencecah RM25,000 sekilogram.

Beliau juga memberitahu, sebuah kilang besi milik pelabur dari China akan dibina di kawasan perindustrian Teluk Kalong di sini dengan pelaburan bernilai RM1 bilion.

Dato' Ahmad berkata, kerja-kerja pengukuran dan penyediaan tapak bagi pembinaan kilang itu telahpun dilakukan dan dijangka selesai akhir tahun ini.

Beliau berkata, apabila kilang itu mula beroperasi pada akhir tahun hadapan, ia dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada 800 penduduk tempatan pada peringkat awal.

TEGANUKITA


berita penuh

MB JUMPA RAKYAT DUNGUN DAN BESUT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Lawatan ke daerah-daerah oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said adalah suatu langkah yang berkesan bagi melihat sendiri keperluan rakyat di daerah yang dilawati.

Pada masa yang sama beliau dapat bertemu para pemimpin di daerah-daerah serta para pegawai yang ditugaskan dalam melaksanakan pembangunan, di samping menemui jentera yang paling hampir dengan rakyat iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Baru-baru ini beliau telah menemui rakyat di daerah Dungun dan sebelumnya di daerah Besut sebagai mengakhiri sesi lawatan ke daerah-daerah bagi kali ini.

Di daerah Dungun beliau mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM13.2 juta kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk proses menaik taraf sistem terbabit.

Dato’ Ahmad berkata, setelah mengadakan kajian serta membuat tinjauan ke beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berhadapan masalah itu, Kerajaan Negeri akhirnya memutuskan satu peruntukan segera diluluskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ia bagi membaiki sistem perparitan sedia ada agar ia tidak memberi kerumitan kepada orang ramai ketika berhadapan musim banjir yang biasanya tiba pada penghujung tahun nanti.

Beliau berkata, dengan projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan, ia dapat mengurangkan masalah takungan air yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat yang dipercayai berpunca daripada sistem perparitan sedia ada yang kurang sempurna.

“Ini adalah lawatan saya yang terakhir bagi daerah untuk memastikan pembaikan jalan dan longkang dalam kerajaan tempatan.

Kita bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada MPD bagi melaksanakan kerja pembinaan longkang dan jalan, termasuk pelebaran jalan RM35 juta.

“Ini menjadikan jumlah untuk peruntukan pembinaan longkang bagi Daerah Dungun selama dua tahun bagi 2010 dan 2011 sebanyak RM34 juta, yang tidak siap kita akan bawa ke hadapan,” katanya

“Saya percaya ia dapat menyelesaikan banyak sistem perparitan dan kita akan beri penekanan pada ‘monsoon drain’,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Dungun.

Sementara itu lawatan Menteri Besar ke daerah Besut merupakan suatu yang sungguh bermakna.

Dato’ Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh (Aahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh) dalam suasana yang amat mesra bersama-sama turun padang untuk melihat keperluan rakyat serta perjalanan projek pembangunan yang perlu untuk rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad, Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar serta Adun Kota Putera, Mohd Pehemi Yusof turut bersama-sama dalam lawatan Menteri Besar.

Mereka bergandingan bahu meninjau masalah rakyat khususnya longkang, kawasan perumahan, jeti nelayan, kawasan penanaman padi serta banyak lagi.

Lawatan Dato’ Ahmad bermula jam 9.00 pagi berakhir jam 5 petang dan hanya rehat makan tengah hari antara jam 2 hingga 3 petang di kediaman Pegawai Daerah Besut.

Dalam tinjauan dari Jabi ke Hulu Besut, Jerteh, Seberang Jerteh, Kuala Besut dan Kota Putera, Menteri Besar dapat menyelami sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk daerah Besut bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan pembangunan di daerah berkenaan.

Dari jumlah itu, RM7.6 juta diperuntukkan bagi membina kemudahan sistem perparitan dan saliran lebih besar bagi mengatasi masalah banjir di daerah ini, sementara RM2.4 juta pula bagi tujuan membina jalan baru ataupun menaik taraf jalan sedia ada.

Peruntukan itu tidak termasuk dalam bajet Pihak Berkuasa Tempatan, Besut yang diumumkan sebelum ini iaitu RM2.7 juta dan tambahan RM2.3 juta.

Sebenarnya jumlah keseluruhan yang diluluskan termasuk peruntukan kelmarin sebanyak RM15 juta bagi memberi kemudahan kepada rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan ahli JKKK di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong, dekat Jertih, Dato’ Ahmad berkata, antara projek pembangunan yang akan dijalankan bermula tahun ini sehingga tahun depan adalah membesarkan dan membina longkang di semua DUN.

Selain itu, usaha akan dijalankan bagi membina saliran ke kawasan sawah padi terbiar seluas 92 hektar di Baroh Raja dekat Kampung Dengir yang sebelum ini tidak dapat diusahakan kerana masalah pengairan.

Kerajaan negeri juga akan membangunkan Hutan Lipur Lata Belatan dekat Jabi dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung.

Mengenai masalah jeti nelayan di Kuala Besut, Dato’ Ahmad memberi jaminan masalah itu akan dapat diatasi pada tempoh segera.

Demikian, Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan.

TEGANUKITA

berita penuh