Halaman

12 May 2010

SATU tubuh skuad kurangkan masalah NRW

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) akan menubuhkan pasukan khas di setiap daerah bagi menangani masalah paip bocor, sekaligus mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat kehilangan sumber air (NRW).

Bagi tujuan tersebut, SATU akan mengambil 30 kakitangan baru dan setiap unit akan dilengkapkan dengan kenderaan dan pelbagai peralatan bagi menangani masalah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong, berkata pihaknya serius menangani masalah NRW yang kini pada kadar 36 peratus di mana kerajaan negeri kerugian di segi hasil kutipan kira-kira RM18 juta setahun.

Beliau berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengurangkannya pada kadar 30 peratus menjelang akhir tahun 2010.

“Punca utama berlaku NRW ialah penggunaan paip-paip lama daripada jenis asbestos cement (AC) di mana sebahagiannya berusia lebih 20 tahun,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan 100 hari kepimpinan beliau di syarikat tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha mengambil beberapa langkah tertentu, termasuk menggantikan paip lama dengan paip yang baru sama ada daripada jenis Ductile Iron (DI), Mild Steel (MS) atau uPVC, bergantung kepada jenis tanah.

“Ketiga-tiga jenis paip yang akan digunakan menggantikan AC didapati lebih tahan lama dan kualitinya lebih terjamin berbanding AC,” tambahnya.

Selain itu, SATU akan meningkatkan prestasi kakitangan melalui kursus-kursus yang diadakan dari semasa ke semasa.

SATU juga akan menambah bilangan vendor bagi membercepatkan kerja-kerja membaiki kebocoran paip dan kerosakan sistem bekalan air di seluruh negeri.

Haji Husain berkata, dari segi aduan pengguna pula, bilangan aduan yang diterima SATU di seluruh negeri telah berkurangan daripada 29,860 kes pada tahun 2007 kepada hanya 20,296 kes pada 2009.

Bagi tahun 2010, sehingga 10 Mei 2010 sebanyak 10,395 dikemukakan kepada SATU di mana sejumlah 5,925 kes merupakan aduan yang berkaitan kebocoran dan paip pecah di seluruh negeri.

Mengenai krisis air yang dihadapi beberapa negeri lain di negara ini berikutan musim kemarau, pihak SATU juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan ia tidak mengancam pengguna di Terengganu.

TEGANUKITA

11 May 2010

Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Masih belum terlewat untuk menyertainya

Pertandingan mencipta blog atau laman web pelancongan anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu yang telah bermula sejak 1 April lalu telah menggerakkan semangat awam untuk turut serta mempromosi dan menjana industri pelancongan di negeri ini.

Sehingga ini hampir 100 orang mendaftar untuk menyertai pertandingan ini dan sebahagiannya telahpun mengemukakan hasil ciptaan masing-masing. Pendaftaran masih dibuka hingga 30 Jun depan, bagaimanapun penyertaan yang awal amatlah dialu-alukan bagi mengelakkan kesibukan talian di saat akhir.

Pelancongan tidak boleh dilihat dalam skop yang kecil, lokasi dan destinasi semata-mata tetapi melibatkan soal budaya, seni yang cabangnya amatlah luas dan mempunyai nilai tersendiri dalam konteks galakan pelancongan.

Banyak produk-produk pelancongan yang boleh dikemukakan dalam pelbagai bentuk dan kreativiti peserta untuk memastikan blog atau website mendapat tempat di khalayak pengamal blog dan laman web.

Sektor pelancongan telah tebukti menjana ekonomi, tetapi kefahaman dan penglibatan rakyat perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa yang menjadi tanggungjawab kita bersama menjayakannya.

Kesedaran memastikan destinasi pelancongan terpelihara dari segi khazanah alamnya, persekitaran menariknya dan budaya perlu dipertingkatkan.

Contohnya, hari ini kita dapati 200,000 pelancong setahun atau semusim berkunjung ke Pulau Redang, sudah tentu memerlukan kesedaran yang tinggi untuk menjaga dan memulihara keindahan pulau tersebut, jika tidak ia boleh mengalami pencemaran dan kemusnahan habitat dalam masa yang singkat.

Sementara itu menurut Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Rosli Zakaria pertandingan ini mendapat sambutan seluruh negara dan perkembangan ini amat positif sekali dalam usaha mempromosikan pelancangan Terengganu.

Bagaimana pun beliau berharap para peserta sentiasa mengaktifkan blog atau laman web pelancongan yang dikemukakan itu dan pihak UKOM sentiasa memantau perkembangan itu.

Kategori penyertaan pelajar sekolah wajar ditingkatkan kerana di sekolah hari ini sudah wujud Persatuan/Kelab Pelancongan Pelajar yang seharusnya menjadi medan untuk mendidik masyarakat berkaitan pelancongan seawal usia.

Begitu juga di peringkat pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) penglibatan mereka secara akademik boleh memberi input yang berguna bagi membantu mencemerlangkan pelancongan dalam konteks Terengganu.

Masih belum terlambat untuk menyertai pertandingan ini dan untuk mendapat maklumat lanjut sila layari http://www.trgtourism.blogspot.com atau hubungi Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Jalan Pejabat, 20200 Kuala Terengganu, nombor telefon: 09-6313502 (Petugas: Anida, Rozita atau Harun).

TEGANUKITA

10 May 2010

Boat On The Road Meriah

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pelepasan peserta Boat On The Road dilakukan Dato' Ahmad Said bersama Dato' Ahmad A Talib dan Dato' Manja Ismail di Seri Pentas, Kuala Lumpur. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Suasana meriah dan gegak gempita dengan bungi hon lebih 50 kenderaan pacuan empat roda yang menyertai Ekspedisi ‘Boat On The Road’ anjuran Kerajaan Terengganu dan Berita Harian melalui unit Joran bersama TV3 yang dilepaskan secara rasmi di Seri Pentas, Bandar Utama, pagi kelmarin (7 Mei ).

Acara pelepasan peserta yang disiarkan secara langsung menerusi Malaysia Hari Ini (MHI) itu dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.


Peserta Boat On The Road-Memancing Sambil Bersantai menjamu selera di kediaman Menteri Besar Terengganu di Kemaman.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Dato’ Ahmad A Talib dan Pengarang Kumpulan Berita Hal Ehwal Semasa TV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Dato’ Manja Ismail.

Dato’ Ahmad menyifatkan ekspedisi itu bakal menjadi satu lagi produk pelancongan negara yang mampu mempromosi Terengganu sebagai ‘Syurga Kaki Pancing’.

“Program ini sekaligus dapat menarik lebih ramai kaki pancing ke Tasik Kenyir dan menjayakan hasrat kerajaan negeri menjadikan pelancongan sebagai tulang belakang ekonomi negeri.

“Produk pelancongan sedia ada perlu dipertingkatkan supaya dapat memberi pelbagai pilihan kepada pelancong dan kerana itulah saya mewujudkan Kenyir Island Hoping (KIH) sebagai pendekatan terbaik untuk terus mempromosi Tasik Kenyir dan Terengganu khususnya,” katanya sebelum majlis pelepasan peserta ekspedisi.

Beliau berkata, ekspedisi itu berjaya menarik penyertaan lebih 50 pasukan yang melibatkan kira-kira 200 orang daripada pelbagai generasi dan peringkat.


Peserta menuruni Bukit Kijal Kemaman dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tasik Kenyir.

Dato’ Ahmad berharap ekspedisi itu menjadi acara tahunan yang mampu menarik minat lebih ramai ‘kaki pancing’ yang gemar membawa bot dan peralatan mereka sendiri.

Ekspedisi tiga hari sehingga Ahad (9 Mei) berhenti di Kijal, Kemaman untuk diraikan dengan jamuan makan tengah hari di rumah Menteri Besar dan menunaikan solat Jumaat sebelum meneruskan perjalanan ke Tasik Kenyir.

TEGANUKITA

Kesedaran menolak rasuah semakin tinggi

Oleh: Suriati Ali

Menolak rasuah sewajarnya dijadikan sebagai budaya dan amalan hidup bagi setiap penjawat awam, bertujuan menaikkan imej agensi kerajaan di mata masyarakat.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Encik Ahmad Saberi Hussin, berkata usaha memerangi jenayah rasuah bukan semudah yang disangka kerana setiap kes perlu diperhalusi sehingga ke akar umbi.

“Katanya, jika perkara yang dilakukan itu terbukti benar , barulah individu terbabit bakal dikenakan hukuman seadil mungkin.

“Menerusi pelbagai dasar yang diusahakan pihak berkaitan, penjawat awam dilihat telah meningkatkan tahap integriti masing-masing dan kebencian terhadap amalan rasuah semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan perangkaan SPRM, seramai 133 penjawat awam dituduh melakukan rasuah pada 2007; 104 kes membabitkan golongan yang sama pada 2008 dan angka itu terus menurun sehingga 90 kes pada 2009.

“Pelaksanaan program yang sistematik, operasi secara profesional dan kaedah penyampaian maklumat berkaitan bahana rasuah antara faktor kesedaran ini berlaku,” katanya.

Katanya, SPRM turut mengingatkan masyarakat supaya menjauhi amalan menyogok kakitangan awam, hukuman berat termasuk penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 bakal dikenakan.

Katanya, berdasarkan kajian ahli kriminologi, jenayah rasuah adalah satu perbuatan paling licik serta sukar dibanteras, sepuluh kes rasuah yang berlaku, hanya satu kes yang dilaporkan.

“Ini kerana kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah masing-masing setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Ahmad Saberi berkata, cubaan menyogok atau memberi rasuah didapati berlaku untuk mengelak diri daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

TEGANUKITA

PEJABAT SUK CAPAI TARAF EMPAT BINTANG

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU, 10 Mei : Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu telah berjaya memperolehi taraf empat bintang dalam sistem “Five Star Rating” yang diperkenalkan oleh kerajaan di peringkat negara.

Kejayaan itu diharapkan dapat memberi semangat kepada pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini untuk menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah memberitahu demikian dalam perhimpunan bulanan kakitangan perkhidmatan awam bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.

Perhimpunan ini adalah yang pertama dihadiri beliau selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu setelah dilantik sepenuhnya ke jawatan itu berkuatkuasa 15 April lalu, sebelumnya beliau memangku jawatan tersebut.

Beliau berkata, sehingga ini tiada lagi negeri yang mencapai tahap ‘five star’ kerana untuk mencapai ke tahap itu penglibatan di peringkat antarabangsa diambil kira, termasuk pembentangan kertas kerja dan seumpamanya di peringkat dunia.

Dalam amanat khas yang disampaikan, Dato’ Haji Mazlan mengingatkan kakitangan awam supaya mengutamakan khidmat awam mengatasi kepentingan diri supaya dengan itu dapat berlaku adil dan amanah.

“Sekiranya kepentingan diri mengatasi kepentingan awam dalam perkhidmatan, sudah tentu kita tidak berlaku adil dan gagal menjalankan tugas dengan amanah,” katanya.

Menurut beliau di peringkat negara Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak telah menyarankan empat gagasan utama yang perlu menjadi fokus kakitangan awam iaitu:

• 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan
• Model Baru Ekonomi
• Rancangan Malaysia Ke 10
• Program Tranformasi Kerajaan.

Pada majlis yang dihadiri oleh semua peringkat pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam di pusat pentadbiran negeri iaitu Wisma Darul Iman, Dato’ Haji Mazlan juga meminta kakitangan perkhidmatan awam peringkat negeri menghayati konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu (MPPNT) yang dicetuskan Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said.

Dalam menjayakan pendekatan MPPNT, beliau menyarankan pendekatan 3T iaitu ‘Tawakal, Tindak dan Tahu” iaitu bertawakal dalam melakukannya, mengambil tindakan yang bersegera dan mengambil tahu persekitaran serta cakna terhadap keperluan pelanggan.

Dato’ Haji Mazlan juga meminta penjawat awam membudayakan nilai-nilai pengurusan korprat iaitu kepantasan bertindak, cepat membuat keputusan, integriti dan nilai untuk wang.

“Berkhidmatlah dengan penuh kerjasama, muhibah, mesra, ikhlas dan bertanggungjawab bagi sama-sama mengubah pemikiran masyarakat serta berpegang teguh pada ajaran agama dengan sentiasa bermuhasabah diri,” tegasnya.

TEGANUKITA

Sehari MB bersama rakyat DUN Bukit Payong

Oleh: Ruslan Abdul Rahman.

Dua buah masjid, projek perumahan kos rendah dan padang bola adalah antara beberapa kemudahan yang diluluskan oleh kerajaan negeri sempena lawatan kerja sehari Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)Bukit Payong semalam (8 Mei 2010).

Masjid yang dimaksudkan ialah bagi penduduk di Kampung Laut dan di Kampung Gelugor, perumahan kos rendah 500 unit juga di Kampung Laut, padang bola di Kampung Baram Sungai Pinang dan sebuah lampu limpah di Pekan Gelugor.

Pengumuman kelulusan itu dibuat oleh beliau di kedua-dua kampung berkenaan iaitu sewaktu merasmikan Pasar di Kampung Laut dan selepas itu merasmikan klinik besar dan pasar baru di kampung Gelugor Kedai.

Kesemua projek berkenaan diluluskan di bawah peruntukan tahun depan, kecuali kemudahan lampu limpah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu untuk dilaksanakan segera.

Dalam lawatan sehari itu Dato’ Ahmad dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud mempunyai program yang amat ketat bermula jam 8.00 pagi sehinggalah ke malam.

Menteri Besar turut sama bergotong-royong membaiki atap beberapa rumah orang miskin di Kampung Surau Haji Yaakob dan Kampung Surau Haji Mat Zain di kawasan DUN berkenaan.

Di sebelah tengahari beliau merasmikan Karnival 1 Malaysia Seni Budaya di Kampung Atas Tol.

Pada sebelah malamnya selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama penduduk bertempat di masjid Padang Tanjung beliau menyampaikan hadiah kecemerlangan pelajar dan beramah mesra dengan pemimpin veteran setempat.

Sewaktu berucap di merasmikan pasar di Kampung Laut, Dato’ Ahmad meminta rakyat membuat penilaian terhadap peranan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertungkus-lumus membantu rakyat, berbeza dengan pihak pembangkang yang hanya sekadar melihat kesusahan rakyat tanpa sebarang usaha membantu.

“Pemimpin pembangkang, khususnya Pas selalu bercakap mengenai hukum-hakam dalam agama, tetapi sering kali mengubah hukum sesuka hati mereka mengikut selera dan kepentingan diri dan kumpulan mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya kalau hukum agama Islam yang sebenar, ia tidak akan berubah sampai bila-bila kerana yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram sambil merujuk kepada tuduhan Pas terhadap pendidikan di negara ini kononnya sekular, sumber pendapatan negara kononnya diperolehi secara haram dan sebagainya.

“Mereka berkata pendidikan dan sekolah yang kita bina sekular tetapi anak-anak pemimpin mereka belajar di tempat yang didakwa haram itu, begitu juga pendapatan hasil kerajaan haram, tetapi wang pendapatan itu juga pemimpin mereka nikmati bersama keluarga untuk gaji dan elaun semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat,” tegasnya.

Sementara itu sewaktu berucap merasmikan klinik desa dan pasar baru di kampung Gelugor Kedai,Dato’ Ahmad berkata, kerajaan BN amatlah adil kerana walaupun di kawasan yang tewas dalam pilihan raya, kebajikan serta kemudahan untuk rakyat turut diberi perhatian.

“Walau bagaimanapun saya berharap untuk masa akan datang, rakyat di kawasan ini memilih wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan BN bagi memudahkan perjalanan pembangunan disalurkan” katanya.

Menurutnya kehidupan rakyat sudah banyak berubah pada masa kini dengan pelbagai pembangunan dan kemudahan yang dibawa oleh kerajaan BN setelah negara mencapai kemerdekaan semenjak 53 tahun lalu.

TEGANUKITA

PENINJU TERENGGANU GIGIH CARI PENGALAMAN LUAR NEGARA

Oleh : Ruslan Abdul Rahman

Empat peninju Terengganu menyertai Kejohanan Jemputan Aceh, Sumatera, Indonesia terlebih dahulu sebelum menyertai SUKMA di Melaka Jun depan.

Mereka ialah Mohd Hassan Salman Sahari dalam kategori 51kg, Wan Mohd Ridzuan Wan Aziz (57kg), Mohd Farid Zahari(60kg) dan Tengku Nasaruddin Tengku Yeng (69kg).

Menurut sumber Persatuan Tinju Amatur Terengganu, selepas balik dari kejohanan di Acheh, peninju Terengganu ini bersama empat yang lain lagi akan berlatih di Pusat Latihan Tinju Thailand di Korat, Bangkok pada pertengahan hingga akhir Mei ini.

Selepas itu skuad tinju negeri ini akan mengikuti pula latihan fasa akhir di Kem SUKMA Terengganu di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di Gong Badak, sebelum berlepas ke Melaka bagi menyertai SUKMA.

TEGANUKITA

Kontraktor mahir baikpulih bangunan lama dilatih

Oleh : Ruslan Abdul Rahman

Jabatan Warisan melatih kontraktor supaya mereka mahir membaik pulih bangunan lama kerana kerja-kerja membaik pulih memerlukan penelitian yang tinggi, kata Pesuruhjaya Warisan Negara, Prof Emeritus Datin Zuraina Majid.

"Sehingga ini kita adakan kursus-kursus kepada kontraktor sebanyak tiga kali setahun bagi memberi kemahiran kepada kontraktor yang akan membaik pulih rumah-rumah lama seperti yang asal," katanya.

Katanya di samping pihak kerajaan membaik pulih bangunan lama dan bersejarah, orang ramai juga digalak berbuat demikian bagi mengembalikan kegemilangan dan keindahan bangunan lama.

Kita dapati bangunan lama mempunyai nilai sejarah yang begitu hebat dan ia perlu dibaik pulih agar terpulihara untuk disaksi oleh generasi akan datang,ujarnya.

Beliau memberitahu kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara telah membelanjakan kira-kira RM20 juta bagi membaik pulih 100 buah bangunan lama dan bersejarah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurutnya di Terengganu sahaja empat buah bangunan dan rumah bersejarah dibaikpulih iaitu Masjid Kampung Tuan di Kemaman, bangunan pejabat daerah lama Besut, rumah persatuan sejarah Terengganu Jalan Tok Lam dan rumah lama di Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.

Bangunan Persatuan Sejarah Terengganu mula dibaik pulih pada awal tahun lepas dan dengan peruntukan RM1.9 juta , beritahu Datin Zurina kepada pemberita selepas majlis penyerahan kerja pemuliharaan bangunan Persatuan Sejarah (Malaysia) negeri Terengganu di sini, baru-baru ini.

Bangunan itu menempatkan tiga buah pejabat iaitu Pejabat Persatuan Sejarah Terengganu, Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan juga Pejabat Warisan Zon Timur.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Sejarah Terengganu, Senator Dato’ Abdul Rashid yang hadir sama di majlis itu berkata rumah Persatuan Sejarah Terengganu akan dijadikan galeri atau 'serambi muzium' dan akan dibuka kepada orang ramai, pelancong terutama pelajar dalam masa terdekat.

"Kita buat galeri untuk orang ramai datang melihat warisan sejarah secara ringkas," katanya.

TEGANUKITA

Harga padi diberi perhatian

Oleh : Suriati Ali

Kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah petani di negeri yang menghadapi dilema penjualan harga padi lebih rendah daripada pasaran.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri menerima rungutan dan aduan daripada lebih 2,000 pengusaha padi di kawasan Besut, yang tidak berpuas hati apabila Padi Beras Nasional (Bernas) membeli hasil padi mereka pada harga RM980 bagi satu tan, berbanding harga pasaran di luar Terengganu pada RM1,300.

Katanya, pihaknya meminta kerjasama Bernas supaya menaikkan semula harga belian padi pada kadar sepatutnya dan mengeluarkan lesen kepada syarikat swasta untuk membeli padi hasil keluaran negeri ini, bagi membolehkan petani mendapat kadar pulangan yang sepatutnya.

“Kita menerima memorandum bantahan daripada penanam padi di Besut yang menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai harga padi yang begitu rendah.

“Tahun lalu, Bernas membeli padi kita pada harga RM1,150 dan sesetengah kawasan di luar Terengganu RM1,300 sedangkan pengeluaran padi kita semakin baik,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, terdapat dua alternatif iaitu kesediaan Bernas untuk meningkatkan harga beliannya dan kedua supaya Bahagian Kawal Selia Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat mengeluarkan lesen kepada syarikat swasta untuk membeli hasil padi petani kita. Ini kerana, beberapa syarikat swasta sanggup membeli pada harga RM1,200 satu tan.

"Saya sudah bercakap dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengenai masalah ini dan beliau bersedia untuk melihat perkara ini. Beliau pun memaklumkan kawasannya juga menghadapi masalah sama,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini, baru-baru ini.

TEGANUKITA

FAMA AKAN BANTU PEKEBUN PASARKAN HASIL

Oleh : Ruslan bin Abdul Rahman

Bagi memastikan petani dan pemilik kebun durian, duku, langsat dan mangis di Terengganu boleh menjual hasil itu,Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(Fama)akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 pusat pembelian buah-buahan bermusim di Terengganu tahun ini.

Pegawai Fama negeri Hasan Jusoh berkata langkah itu bertujuan untuk memastikan harga buah-buahan bermusim stabil dan petani tidak mengalami kerugian besar.

Buah-buahan itu dijangka masak dan boleh dipasarkan pada Ogos tahun ini. Fama telah bersiap sedia daripada segi peruntukan dan juga peralatan untuk membeli buah-buahan tersebut yang akan dipasarkan ke bandar-bandar utama di seluruh negara, katanya.

Beliau berkata untuk peringkat awal, Fama menyediakan peruntukan kira-kira RM150,000 untuk pembelian buah-buahan tersebut, dan peruntukan itu akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

TEGANUKITA

Dekati dan bimbing pelajar bermasalah

Oleh : Ruslan Abdul Rahman

Kerajaan negeri akan mengambil inisiatif mengumpulkan semua pelajar bermasalah terutama yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri dalam masa terdekat ini.

Mendekati serta mendalami masalah yang mendorong golongan berkenaan melanggar disiplin adalah cara terbaik dan bukannya menghukum mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber
Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan akan pastikan perancangan ini dilaksanakan sebelum peperiksaan SPM bermula tahun ini.

“Kita perlu bersemuka dengan pelajar terbabit untuk memberi ruang meluahkan segala masalah,” katanya.

Katanya sekurang-kurang dengan cara begini, kita bukan sahaja menunjukkan keprihatinan terhadap mereka, malah sedikit sebanyak membantu dan membimbing pelajar memilih masa depan selepas tamat alam persekolahan.

Haji Ahmad Razif berkata, pelajar yang dikenal pasti tidak berminat meneruskan
pelajaran pada peringkat lebih tinggi akan dibantu dan diberi pendedahan dalam bidang kemahiran bersesuaian dengan minat masing-masing.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM4 juta setiap tahun dalam usaha memberi peluang kepada pelajar menceburi bidang kemahiran yang dipanggil ‘skill planning’.

“Sekurang-kurangnya dengan cara begini, kita dapat membantu pelajar tidak berminat belajar menceburi kemahiran yang boleh menjamin masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Jamuan Kesyukuran Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, baru lalu.

TEGANUKITA

Mini Zoo dinaikkan taraf

Oleh : Ruslan Abdul Rahman

Kerja-kerja menaik taraf Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal di sini kepada zoo sepenuhnya akan dimulakan tidak lama lagi, kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Menurutnya tender pembinaan tersebut akan dibuka bulan depan dan kerja-kerja menaik taraf akan dimulakan pada Ogos ini dan 'kerja-kerja menaik taraf mini zoo ini merupakan fasa kedua pembangunan zoo di Kemaman ini.

Belia memberitahu demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Fasa Kedua Zoo Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman di Bandar Chukai baru-baru ini.

Kerajaan Terengganu berhasrat untuk memperluaskan lagi kawasan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman kerana sambutan amat menggalakkan.

"Sejak dibuka pada 11 April tahun lepas, mini zoo itu menerima seramai 114,000 pengunjung dengan kutipan jualan tiket mencecah lebih RM550,000.

Proses pembangunan tersebut dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
Dato’ Ahmad berkata, apabila zoo itu siap, ia akan dilengkapi pelbagai tarikan baru yang dijangka meningkatkan jumlah pengunjung ke sana.

Beliau memberitahu, ketika ini, terdapat 200 ekor haiwan yang terdiri 74 species haiwan dan burung berada di zoo berkenaan.

Baru-baru ini dua ekor Harimau Malaya itu masing-masing diberi nama 'Chiko' iaitu species jantan berusia dua tahun dan pasangannya yang lebih tua, 'Courtney' berumur tujuh tahun telah dimasukkan ke zoo tersebut.

TEGANUKITA

09 May 2010

Kerajaan Lahir Ramai Pakar Perubatan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri mahu melahirkan lebih ramai pakar perubatan terdiri daripada anak tempatan agar mereka ini dapat memberi perkhidmatan kepada masyarakat negeri ini.

“Saya bangga kerana permintaan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke Rusia dan Mesir mendapat sambutan di luar dugaan dan setakat ini 360 orang telah menjalani temuduga,”.

“Daripada jumlah tersebut, 100 orang masing-masing 50 ke Rusia dan 50 lagi ke Mesir akan dipilih biarpun semua pemohon berkenaan sebenarnya mempunyai kelayakan,” kata Menteri besar Dato’ Ahmad Said.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan persediaan kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS Sesi 2010/2011 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Seramai 1,960 daripada 2,223 pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke matrikulasi dan Asasi Sains serta ke sekolah berasrama penuh menerima sijil penghargaan dan bantuan pesediaan RM500 setiap seorang. .

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Aziz Mamat.

Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui (YT) membelanjakan RM18 juta sebagai bantuan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) membabitkan 23,000 pelajar tahun ini.

“Kita berharap anak-anak yang berjaya ini dapat merubah kehidupan keluarga masing-masing di samping dapat mewujudkan kestabilan politik negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah YT, Haji Aziz Mamat berkata, pemberian bantuan persediaan mula diperkenalkan sejak 2006 dengan peruntukan RM15.5 juta membabitkan 21,880 pelajar.

“Tahun berikutnya terdapat 22,513 pelajar dengan peruntukan RM16 juta manakala RM16.5 juta membabitkan 22,813 pelajar dan tahun lalu sebanyak RM18.9 juta kepada 25,464 pelajar,” katanya.

Katanya, setiap pelajar yang berjaya ke IPTA dan IPTS menerima bantuan persediaan RM1,000 (Ijazah), RM750 (Diploma) dan masing-masing menerima RM500 kepada mereka yang mendapat tawaran ke kursus matrikulasi dan ke sekolah berasrama penuh.


TEGANUKITA