Halaman

18 May 2010

Kompleks Tabung Haji Terengganu Siap 2012

Oleh: Esah Abdullah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan majlis Pecah Tanah Kompleks Tabung Haji Terengganu, di Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini (18 Mei).

Berkenan berangkat sama, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.


Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman; Menteri Besar Dato’ Ahmad Said; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.

Kompleks Tabung Haji (TH) yang bertaraf tiga bintang dibangunkan di kawasan seluas 3.2 hektar dengan kos RM69.3 juta ini dijangka siap pada pertengahan 2012.

Terletak 12 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu dan satu kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini dilengkapkan 182 bilik, dewan bankuet serbaguna, kolam renang tertutup untuk wanita, taman air kanak-kanak serta beberapa kemudahan lain.

Dato’ Seri Jamil Khir dalam ucapan di majlis itu melahirkan rasa terimakasih kepada kerajaan negeri kerana telah menyerahkan kawasan tapak untuk dibangunkan kompleks TH yang akan memberi banyak manfaat kepada jemaah di negeri ini begitu juga Pahang dan Kelantan.

“Kompleks yang direkabentuk khas bersesuaian untuk kegunaan kegunaan semasa dengan dewan ketibaan khas untuk jemaah, tempat berdaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas,” katanya.

Kompleks ini akan dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TH iaitu TH Properties Sdn Bhd dan akan digunakan untuk urusan operasi penerbangan haji bagi jemaah dari Wilayah Pantai Timur secara terus ke Jeddah dan Madinah tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Menurut Dato’ Seri Jamil, di luar musim haji dewan ini dapat digunakan sebagai dewan jamuan yang boleh memuat sehingga 1,000 orang disamping kemudahan lain seperti bilik mesyuarat, restoran dan kolam renang.

“Dengan adanya kompleks ini, proses mengurus para jemaah akan lebih teratur dan kawasan sekeliling yang luas dapat mengelak kesesakan trafik yang biasa berlaku apabila rombongan keluarga menghantar jemaah ke dewan berlepas,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pembinaan kompleks ini juga merupakan sasaran baru TH dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya yang lebih tertumpu kepada pasaran ekuiti.

“Dengan kadar permintaan penempatan yang tinggi dan berterusan kompleks ini dijangka dapat menjana pendapatan berulang untuk TH di samping dapat mengurangkan pendedahan TH terhadap pasaran saham yang mudah terpengaruh dengan emosi para pelabur dan ekonomi antarabangsa,” katanya.

Katanya, walaupun perkhidmatan pengurusan jemaah TH diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam lain sebagai yang terbaik di dunia, ini tidak bermakna TH terus berpuas hati, sebaliknya sentiasa mengambil inisiatif lain untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatannya.


TEGANUKITA

berita penuh

17 May 2010

Kutipan Kastam cecah RM585 juta tahun ini

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mensasarkan untuk memperoleh kutipan cukai sebanyak RM585 juta pada tahun ini berbanding sasaran RM500 juta pada tahun lepas.


Pengarahnya Dato’ Aziz Yacub berkata peningkatan sasaran perolehan cukai itu berikutan keadaan ekonomi pada masa kini yang semakin stabil dan kukuh.

"Pada tahun lepas JKDM Terengganu membuat kutipan sebanyak RM480 juta daripada RM500 juta yang kita sasarkan, tetapi pada tahun ini kami yakin kutipan itu akan meningkat.

"Lebih 90 peratus kutipan itu disumbangkan oleh cukai yang dikutip daripada industri gas dan petroleum, dan setakat bulan lepas kita berjaya membuat kutipan sebanyak RM127 juta," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas program ujian kemahiran menembak jemputan jabatan itu di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu, baru-baru ini.

Beliau berkata sejak pertengahan Februari hingga Isnin lepas, JKDM Terengganu melakukan pemeriksaan terhadap 167 premis di Kuala Terengganu dan Kemaman dan berjaya mengesan 16 kes cuba mengelak cukai kastam melibatkan rokok dan arak.

Aziz berkata ia melibatkan nilai barangan berjumlah hampir RM5,000 dengan nilai cukai sebanyak RM18,950.

TEGANUKITA

berita penuh

Maidam kumpul RM16 juta empat bulan pertama

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya memungut RM16 juta wang zakat manakala RM17 juta diagihkan kepada golongan fakir miskin bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Encik Wan Harujan Sulaiman, berkata walaupun agihan wang zakat lebih tinggi daripada perolehan, ia adalah lebihan wang zakat akhir tahun lepas yang masih belum sempat diagihkan.

"MAIDAM masih mempunyai kira-kira RM15 juta wang zakat yang belum sempat diagihkan pada akhir tahun lepas. Wang berkenaan kita agihkan pada tahun ini kepada fakir miskin," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada program MAIDAM Bersama Masyarakat Hulu Terengganu yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, 120 orang fakir miskin diberi agihan wang zakat antara RM250 dan RM300 seorang, bantuan persekolahan untuk anak-anak orang miskin, bantuan membaiki rumah dan bantuan peralatan masjid.

Wan Harujan berkata tahun ini, MAIDAM menyasarkan untuk memungut antara RM60 juta dan RM65 juta sumbangan zakat perniagaan, zakat pendapatan serta zakat emas berbanding sebanyak RM74 juta yang diperoleh tahun lepas dan RM66 juta pada 2008.

TEGANUKITA

berita penuh

Sambutan Bidang Perubatan Di Luar Dugaan

Oleh:Esah Abdullah

Permintaan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke Rusia dan Mesir mendapat sambutan di luar dugaan dan setakat ini 360 orang telah menjalani temuduga.

Daripada jumlah tersebut, 100 orang masing-masing 50 ke Rusia dan 50 lagi ke Mesir akan dipilih biarpun semua pemohon berkenaan sebenarnya mempunyai kelayakan,” beritahu Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.


Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan persediaan kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS Sesi 2010/2011 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Seramai 1,960 daripada 2,223 pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke matrikulasi dan Asasi Sains serta ke sekolah berasrama penuh menerima sijil penghargaan dan bantuan pesediaan RM500 setiap seorang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Aziz Mamat.

Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui (YT) membelanjakan RM18 juta sebagai bantuan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) membabitkan 23,000 pelajar tahun ini.

“Kita berharap anak-anak yang berjaya ini dapat merubah kehidupan keluarga masing-masing di samping dapat mewujudkan kestabilan politik negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah YT, Haji Aziz Mamat berkata, pemberian bantuan persediaan mula diperkenalkan sejak 2006 dengan peruntukan RM15.5 juta membabitkan 21,880 pelajar.

“Tahun berikutnya terdapat 22,513 pelajar dengan peruntukan RM16 juta manakala RM16.5juta membabitkan 22,813 pelajar dan tahun lalu sebanyak RM18.9 juta kepada 25,464 pelajar,” katanya.

Katanya, setiap pelajar yang berjaya ke IPTA dan IPTS menerima bantuan persediaan RM1,000 (Ijazah), RM750 (Diploma) dan masing-masing menerima RM500 kepada mereka yang mendapat tawaran ke kursus matrikulasi dan ke sekolah berasrama penuh.

TEGANUKITA

berita penuh